Mahathir restu kapal nuklear Amerika masuk Malaysia

http://www.keadilandaily.com/wp-content/uploads/2012/10/KAPAL.jpg

(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 11 Oktober: Kerajaan Umno BN pernah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk membenarkan kapal tentera negara itu menggunakan kemudahan ketenteraan di sini, dedah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Menurutnya, perjanjian oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan kapal-kapal perang Amerika yang sarat dengan senjata nuklear berlabuh di perairan negara.

“Kita perlu faham, kapal Amerika yang penuh dengan senjata nuklear bukan bersifat pertahanan tetapi provokatif.

“Amerika telah menghantar kapal perang mereka jauh dari sempadan negara mereka ke negara-negara Asia dan ini merupakan tindakan yang sangat provokatif.

“Di negara lain termasuk NATO, mereka tidak membenarkan kapal perang yang bersenjata nuklear berlabuh ke negara mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Sebelum itu, Kamaruddin mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat di bawah Perkara 18 (1) bagi mendesak sidang mesyuarat membincangkan kekerapan kehadiran kapal perang bersenjata nuklear Amerika.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun menolak usul tersebut dengan alasan perkara tersebut tidak perlu disegerakan dan boleh dibahas pada sidang mesyuarat akan datang.

Kamaruddin berkata, banyak kapal perang Amerika bersenjata nuklear berlabuh di perairan negara sejak Jun lalu.

Antara kapal tersebut termasuk kapal pengangkut pesawat USS George Washington yang diiringi kapal perang bersenjata nuklear berlabuh di Pelabuhan Kelang selama lima hari bermula 7 Oktober lalu.

Beliau berkata, kapal perang Paul Hamilton pernah berlabuh di Teluk Sepanggar Sabah, pada 5 hingga 9 Oktober lalu.

Pada 30 September hingga 2 Oktober lalu, dua kapal perang John Stanish dan dua kapal pembawa pesawat telah berlabuh di perairan negara ini.

Menurut Kamaruddin lagi, kehadiran kapal perang bersenjata nuklear Amerika bercanggah dengan dasar luar negara yang mahu menjadikan Asia sebagai rantau bebas nuklear.

“Kita mendesak kerajaan mengambil kira dasar luar negara dan pandangan daripada rakan-rakan lain yang mahu menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan aman daripada nuklear,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, Pakatan Rakyat tidak mahu Malaysia dijadikan sebagai pangkalan tentera asing di rantau ini.

“Kehadiran mereka seolah-olah kita sedang dipantau atau ada yang tidak kena dan jelas bertentangan dengan dasar negara,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.