Video Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2012, Kelantan Juara
Bojan: Aura Piala FA, Liga Super faktor kejayaan
NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH DAN SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI
JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan keyakinan tinggi serta aura menjulang Piala FA dan Liga Super lebih awal adalah antara faktor barisan pemainnya berjaya meraih misi treble musim ini dengan kemenangan bergaya.
"Ia begitu membanggakan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan corak permainan pemain.
"Pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka begitu komited mengawal pergerakan pemain lawan selain mampu mencipta beberapa peluang," kata Bojan ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
Semalam, Kelantan membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan treble musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.
Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA.
Tambahnya: "Bermula dari penjaga gol sehinggalah bahagian serangan, mereka telah membuktikan tahap kualiti yang ada pada mereka dan ini memang tidak dapat disangkal lagi."
Selain itu, Bojan turut menyifatkan keseluruhan perlawanan semalam membuktikan kedua-dua pasukan antara pasukan yang terbaik.
"Bagi saya perlawanan agak seimbang. Keseluruhan kedua-dua pasukan sama hebat.
"Malah ia perlawanan menarik yang dipamerkan kepada semua penyokong," katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai masa depannya di Kelantan, Bojan bagaimanapun menyerahkan semuanya kepada pengurusan.
"Terpulang kepada pihak pengurusan. Tapi sekiranya saya masih kekal sebagai jurulatih musim depan, saya tidak bercadang untuk membawa masuk ramai pemain baru.
"Ini kerana sekiranya banyak perubahan di dalam pasukan, ia akan memberikan banyak masalah.
"Jadi, saya tidak akan membuat perubahan dari segi pemain," katanya yang turut menegaskan, tiada pemain Kelantan akan berhijrah ke pasukan lain musim depan.
No comments
Post a Comment