Perdana Menteri Harus Hentikan Politik Kebencian
Lizawati Madfa
SHAH ALAM 11 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak diseru untuk menyatakan pendirian dan tindakan tegas terhadap usaha pihak-pihak tertentu yang giat menyemai fitnah terhadap Pakatan Rakyat (PR).
Bercakap dalam sidang media di Parlimen semalam, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memberitahu usaha jahat tersebut seolah-olah disemai untuk menanam benih kebencian di kalangan rakyat terhadap kredibiliti PR.
Mengambil contoh terbaru dakwaan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa kononnya DAP menganjurkan doa supaya Malaysia menjadi negara Kristian, Kit Siang berkata perbuatan seperti ini harus dihentikan.
“Saya fikir sudah sampai masanya untuk Perdana Menteri bertindak menentang perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Lebih-lebih lagi oleh pihak Umno dan medianya seperti Utusan.
“Ini semua tidak bagus dan tidak sihat untuk negara ini yang Najib selalu uar-uarkan sebagai sebuah negara demokrasi terbaik,” jelasnya yang juga MP Ipoh.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa isu Nasharuddin meupakan antara contoh usaha jahat menggunakan isu agama untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Inilah contoh serangan 4R iaitu religion, race, rulers dan riots yang dicipta Umno dan ejen-ejennya.
“Kononnya mereka mendakwa andai PR menang, kedudukan agama Islam, raja-raja Melayu, bangsa serta semua aspek penting lain akan terancam.
“Sedangkan kesemua dakwaan ini terbukti tidak berasas dan tidak benar kerana DAP sepertimana PR sendiri menjunjung tinggi perkara-perkara yang terkandung dalam perlembagaan negara,” tegas beliau.
No comments
Post a Comment