Jam ciptaan remaja Muslim Ahmed disangka bom akhirnya pikat Obama, firma gergasi




BANGI, Khamis – Seorang remaja Islam, Ahmed Mohamed ditahan oleh pihak polis di Amerika Syarikat selepas gurunya mengesyaki jam rekaan pelajar itu sebagai satu ancaman bom dan mempunyai bahan berbahaya.

Ahmed merupakan pelajar di sekolah MacArthur High School di Irving, Texas, mempunyai minat dalam kejuruteraan.

Dia membawa jam berkenaan ke sekolah pada Selasa untuk menunjukkan hasil rekaannya kepada guru kelas.

Namun, situasi menjadi buruk apabila guru berkenaan menghubungi pihak polis, selepas mengesyaki jam rekaan pelajar itu mempunyai ancaman bom.

Walaupun Ahmed memberi penjelasan bahawa ia bukan sebarangan bahan senjata, guru terbabit tidak mempercayai penjelasan pelajar berusia 14 tahun itu.

Susulan insiden tersebut, isu Ahmed menjadi trending di media sosial dengan sokongan menerusi #StandwithAhmed.

Kejadian itu mengundang reaksi daripada pelbagai pihak yang mengkritik tindakan pihak sekolah berkenaan dan menyelar insiden itu sebagai rasis serta ingin mempromosi ‘Islamophobia’.

ahmedis

Ia juga turut menarik perhatian beberapa golongan terkenal seperti Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Presiden Barack Obama dalam akaun Twitternya, meminta Ahmed untuk membawa jam rekaannya ke White House sebagai tanda inspirasi kepada pelajar lain untuk meminati bidang sains.

Sementara itu, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, memuji kebijaksanaa pelajar itu yang mencipta jam berkenaan pada usia muda serta menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya.

Syarikat teknologi Google juga tidak melepaskan peluang untuk menjemput Ahmed mengambil bahagian dalam pameran sains yang akan berlangsung hujung minggu ini sebagai satu tanda sokongan kepada pelajar itu.

Manakala, syarikat jaringan sosial, Twitter menawarkan peluang latihan (internship) kepada Ahmed.

Ia sekali gus membuka pelbagai peluang kepada Ahmed seperti biasiswa pendidikan dan peluang latihan industri di beberapa syarikat teknologi terkenal.

Bagaimanapun, polis Irving menutup kes itu semalam selepas mengesahkan jam ciptaan Ahmed adalah selamat untuk digunakan.

Dia kemudiannya dibebaskan dari tahanan selepas disoal siasat. – Agens

No comments

Powered by Blogger.