Penjelasan ringkas isu Baiah Taklik

PERTAMA: Patutkah Baiah ini dibuat, tidakkah ia kelihatan zalim dan kejam kepada isteri?

Jawapan: Melihat kepada zahir sesuatu perkara tanpa memahami tujuan kenapa perkara itu dibuat akan membuatkan kita tempang dalam membuat penilaian.

Nabi menyuruh minum air yang dimasuki lalat dengan merendamkan sepenuhnya lalat itu tidakkah kelihatan jijik? Tetapi apabila kita memahami tujuan kenapa dibuat maka kita akan mudah menerimanya.

Hidup di padang pasir yang sememangnya sangat menghargai nikmat air walau segelas sudah cukup memadai dan menginsafkan kita kepada keperluan dan kepentingan air daripada dibazirkan kerana seekor lalat.

Baiah disertai Taklik talak tiga kepada isteri secara zahirnya kelihatan dahsyat dan zalim. Tetapi apabila kita memahami tujuan dan sebab ia dibuat akan membuatkan kita menyedari kepada keperluan Baiah sebegitu dibuat.

Sikap sebahagian manusia zaman sekarang yang mudah menjual harga diri tanpa mempedulikan kepentingan orang lain sudah menjadi lumrah kehidupan.
Terutamanya dalam politik, di mana persaingannya cukup genting dan tidak mengira cara bagi menjatuhkan parti lawan.
Untuk mereka yang biasa membaca sejarah Islam zaman Imam Malik, mereka sedar baiah sebegini pernah berlaku.

Untuk mereka yang biasa berhadapan dengan masalah nikah cerai di mahkamah Syariah, mereka juga menyedai hal ini biasa berlaku.

Bahkan ada kes seorang lelaki yang melafazkan taklik talak kepada isterinya jika dia menonton video lucah. Tujuannya ialah untuk dia bertegas terhadap nafsu dirinya sendiri.

Dalam soal politik di Negeri Kelantan, umum mengetahui bagaimana Kelantan cuba dijatuhkan sejak berzaman oleh tiga perdana menteri namun tidak berjaya.
Bahkan Kelantan pernah berada di hujung tanduk dengan kelebihan satu kerusi sahaja pada tahun 2004. Namun walau dengan kelebihan satu kerusi ini, kerajaan Kelantan dapat bertahan sehingga ke akhir penggal.
Sarjana Islam dalam Siyasah Shar'iyyah sendiri menegaskan bahawa pemerintah berhak mencipta hukuman yang tegas sesuai dengan perubahan jenayah masyarakat pada zamannya.
Zaman nabi Muhammad, Nabi melarang menghukum manusia dengan membakarnya hidup-hidup.

Namun zaman Sayyidina Ali, beliau memerintahkan hukuman bakar hidup-hidup bagi mereka yang terus berdegil mempertuhankan Ali. Hukuman ini diperakui oleh sarjana Islam sebagai bersesuaian dengan maslahah mengatasi jenayah tersebut.

Sekarang ini, timbul isu Baiah Taklik. Isu ini timbul setelah mereka yang berbaiah taklik itu sibuk mahu menukar parti. Mereka mempertikaikan kembali baiah taklik yamg pernah mereka sendiri lakukan.

Sepatutnya soalan PATUT atau TIDAK PATUT baiah taklik ini tidak lagi menjadi persoalan kerana mereka sendiri telah bertanding dalam pilihan raya beberapa kali menggunakan Baiah Taklik tersebut.
Seperti orang yang telah makan nasi dua tiga pinggan kemudian bertanya kepada tuan rumah, patut atau tidak nasi tersebut dihidangkan.

KEDUA: Berlaku penafian oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri ketika ditanya oleh wartawan tentang kewujudan Baiah Taklik ini, macam mana?

Jawapan: Mereka yang mengesahkan kewujudan Baiah Taklik ini telah membuktikan kewujudannya. Maka penafian tentang kewujudannya yang perlu dipersoalkan.

Apakah wartawan telah tersalah memetik kenyataan, atau kenyataan yang dibuat itu di luar konteks yang sepatutnya atau individu yang membuat penafian itu bercakap bagi dirinya sendiri yang tidak perlu membuat Baiah Taklik tersebut atau pelbagai andaian lain lagi.

Soalnya perkara ini telah dibuktikan, justeru, jika ada penafian yang dibuat, maka penafian itu yang perlu dipersoalkan.
Tambahan pula, individu yang dikatakan mengangkat sumpah Baiah Taklik hanya mendiamkan diri yang menunjukkan bahawa beliau sebenarnya memang pernah mengangkat sumpah Baiah Taklik tersebut. Tuan punya badan yang terkena senyap, tiba-tiba penyokong yang tidak tahu apa-apa sibuk mempertahankan.

KETIGA: Bagaimana untuk membebaskan diri daripada Baiah Taklik ini?

Mereka yang telah melakukan baiah taklik ini dengan rela untuk menjadi wakil rakyat kepada PAS perlulah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat iaitu memulangkan kembali amanah yang diwatikahkan kepada mereka dengan cara yang sepatutnya.
Mereka bertanding mewakili PAS dan menang, maka mereka perlu meletakkan jawatan yang dimenangi tersebut sebelum menyertai parti lain tanpa menggunakan jawatan tersebut untuk mewakili parti lain pula.

Dengan cara ini, baiah taklik mereka akan gugur dengan perletakan jawatan mereka. Mereka juga akan kelihatan lebih AMANAH dan PROFESIONAL.

Wallahu'alam.
Sekian, wassalam.
Ahmad Fathi Muhammad
B.A & M.A Uni Qadi Iyyad
Marrakech. Morocco.
Anak Kpd Dr Muhammad Daud (Bekas Adun Tendong)
12:57 PM 3/9/2015

No comments

Powered by Blogger.