Bagaimana Amerika Syarikat jumpa bukti tapi Malaysia tak jumpa?



Bagaimana Amerika Syarikat jumpa bukti tapi Malaysia tak jumpa?

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat secara rasminya mengambil tindakan memfailkan saman sivil untuk mendapatkan kebenaran menyita aset-aset yang berkaitan dengan 1MDB.

Peguam Negara AS Loretta E Lynch mengumumkan tindakan ini adalah untuk melucutkan dan mendapatkan kembali dana sebanyak USD 1 bilion berkaitan dengan 'konspirasi antarabangsa' mengubah dana haram yang diperolehi daripada 1MDB.

Apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan dan bapa tiri kepada Riza Aziz akan terus menyepi?

Apa yang menarik di dalam kertas saman sivil yang difailkan Jabatan Keadilan AS ialah siasatannya mendapati bahawa Good Star Limited dimiliki oleh Low Taek Jho dan bukannya PetroSaudi seperti yang ditegaskan Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen pada 26 Mei yang lalu.

Selain itu, kertas saman sivil itu juga menegaskan bahawa Aabar-BVI adalah satu syarikat yang tiada kena mengena dengan Aabar Investment PJS, sebuah anak syarikat IPIC, yang dimiliki Abu Dhabi.

Cuma pelik bagaimana Jabatan Keadilan AS dapat menjumpai bukti mengenai syarikat yang berpengkalan di Malaysia tapi tidak pihak berkuasa Malaysia.

Apakah status siasatan Ketua Polis Negara terhadap 1MDB? Apakah Ketua Polis Negara akan bekerjasama dengan Jabatan Keadilan AS untuk mendapatkan bukti-bukti yang gagal diperolehi selama ini dalam penyiasatannya ke atas 1MDB?

Bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara? Apakah beliau kini dapat melengkapkan laporan auditnya yang kini di bawah OSA dengan maklumat-maklumat baru ini?

Apa pula tindakan Peguam Negara dan SPRM selepas ini? Apakah masih tetap bahawa dengan pendirian yang ada?

Bagaimana pula dengan Gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim yang telah menutup kes terhadap 1MDB? Apakah dengan maklumat terkini, kes 1MDB akan dibuka semula?

Rakyat sedang melihat apakah kalian sedang bekerja untuk negara dan rakyat, atau individu tertentu?

Dan kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda, fikirlah apa langkah terbaik seterusnya buat anda dan negara.

PAS menggesa agar satu Suruhanjaya DiRaja Siasatan yang dianggotai termasuk ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan.

Siasatan harus menumpukan kepada dua aspek. Pertama, pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap, iaitu strategi dan jangkaan pelaburan yang salah. Perkara ini dalam ekonomi konvensional adalah biasa, tetapi dalam ekonomi Islam ada hukum berbeza.

Kedua, aspek penyelewengan seperti tuduhan Jabatan Peguam Negara Amerika yang gagal disiasat pihak berkuasa negara, melibatkan pengubahan dana haram iaitu perpindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.

Kedua-dua ni perlu disiasat oleh Suruhanjaya DiRaja untuk menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
21 Julai 2016

No comments

Powered by Blogger.