CATATAN DARI HATI PENUH CINTA.. (Serampang 2,3 mata)…



CATATAN DARI HATI PENUH CINTA..
(Serampang 2,3 mata)…

Oleh : Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi

Terasa seperti mahu berkongsi berkenaan pengalaman sekitar hampir seminggu berada di Turki mewakili delegasi Malaysia ke Persidangan Wanita al- Aqsa pada baru-baru ini. Delegasi yang diketuai YB Mumtaz Md Nawi, EXCO Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit. Ianya terpahat di dalam memori yang tidak dapat dilupakan. Saya berani katakan ianya merupakan musafir tarbiah bukan sekadar melancong, tetapi kerana Allah swt telah menerapkan ruh perjuangan ke dalam hati saya serta rombongan.

KREDIT UNTUK BANGSA TURKI :

Apabila disebut ‘Turks’ kita dapat merasakan suatu kelainan. Terasa seperti emosi mengalir bersama-sama darah perjuangan Sultan Muhammad al – Fateh. Ianya bersesuaian apabila menjadi tuan rumah kepada persidangan ini, kebanyakan ucapan dari wakil negara mereka berucap dalam Bahasa Turki. Mereka berbangga dengan bahasa mereka. Itu jati diri mereka. Saya tidak berminat untuk mengulas berkenaan politik Turki mutakhir ini, kerana sudah terdapat mereka yang arif mengulasnya.

Dari sudut sosio-demografi, ada suatu perkara yang amat unik menarik perhatian saya. Kebanyakan lelaki-lelaki Turki tidak kira tua atau muda memegang erat tangan perempuan-perempuan atau pasangan mereka. Samada ianya ayah, suami ataupun anak. Pada mulanya saya sangkakan ianya hanya fenomena pasangan muda berkelakuan sebegitu, tetapi sangkaan tersebut meleset apabila terdapat anak-anak lelaki memegang erat tangan ibunya yang sudah berumur ketika berjalan menyusuri kaki lima. Mungkin inilah yang dikatakan proses asimilasi budaya barat dan timur yang berlaku di negara unik ini. Ianya suatu pemandangan yang menenangkan.

SOSOK WANITA HEBAT :

Bermusafir bersama-sama seorang EXCO Kerajaan Negeri wanita ini telah memberikan saya suatu sudut pandang yang baru terhadap kehidupan, perjuangan serta kerjaya. Selesa dengan hanya dipanggil ‘Kak Taz’ sahaja, beliau tidak lokek berkongsi ilmu kepada kami. Apa yang paling membuatkan saya berasa kagum ialah apabila beliau sanggup membawa suaminya yang kurang upaya (ditimpa strok) ke mana-mana sahaja persidangan antarabangsa. Saya melihat sendiri dengan mata kepala saya bagaimana seorang wanita solehah ini sanggup memapah suaminya ketika bangun dari kerusi roda, ketika menaiki "flight", menguruskan keperluan suami, dan ketika mengajar suaminya terapi berjalan. Sambil itu beliau memikirkan ucapan di dalam persidangan nanti.

“Kak Taz tenang bila bawa Abang Man bersama-sama. Kalau jadi apa-apa Kak Taz ada disamping dia, Kak Taz tak akan menyesal, biarlah susah senang bersama, boleh jadi terapi juga untuk Abang Man, biar dia gembira isteri ada di samping dia” ujar Kak Taz panjang lebar. Beliau sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk suaminya mengiringi ke setiap persidangan antarabangsa.

Kebiasaan kita melihat wanita-wanita gugur dari medan perjuangan dengan alasan mahu menjaga anak-anak dan memberi tumpuan pada keluarga. Tidak pada sosok ini. Beliau memilih untuk menjaga suami dan anak-anak pada puncak kerjaya dan perjuangannya. Dari manakah beliau punya kekuatan sedemikian? Saya pulangkan kembali persoalan ini untuk anda semua fikirkan.

Beliaulah juga dengan bersemangat mahu memperkenalkan inovasi MamaPride kepada dunia.
“Kak Taz rasa MamaPride boleh pergi jauh. Kita sepatutnya menjadi ‘pioneer’ dunia islam terutama sekali dalam isu menjaga maruah ummat islam khususnya wanita muslim”

"MamaPride sudah menjadi fardhu 'ain bagi Kak Taz!", Ujarnya dengan bersemangat.

Saya juga melihat sendiri bagaimana professional dan cekapnya Yb Mumtaz dan pegawai-pegawainya melaksanakan tugas. Sememangnya terdapat kekurangan sedikit sebanyak, akan tetapi perkara yang menjadi pemerhatian saya, beliau & pegawai sedaya upaya berusaha berjimat cermat dalam membelanjakan dana peruntukan kerajaan negeri. Jika sikap professional dan amanah sebeginilah saya tidak hairan apabila 13 daripada 18 jabatan serta Agensi Kerajaan Negeri telah diberi penarafan 5 Bintang bagi kategori Akauntabiliti Kewangan bagi tahun 2015 oleh Ketua Audit Negara. Tambah membanggakan, pengurusan Kerajaan Negeri turut diiktiraf dan diberi penarafan 5 Bintang bagi indeks SSR Agensi Sektor Awam tahun 2015/2016 oleh Ketua Setiausaha Negara dan Penarafan 5 Bintang dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS 2015 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Selain mendapat penarafan 5 Bintang iaitu penarafan tertinggi, Kerajaan Negeri turut menerima Sijil Audit Bersih Penyata Kewangan Kerajaan Negeri seperti tahun-tahun sebelumnya. AlhamdulilLAH.

BAGAIMANA PULA SOLIDARITI DI MALAYSIA?

Di saat kita semua bersolidariti untuk Turki, apakah kita telah mengambil sikap yang adil dan saksama dalam menilai prestasi kerajaan di bawah satu-satunya panji Parti Islam di negara kita ini? Maka apabila ada ura-ura dari sesetengah pihak mahu menukarkan kerajaan negeri saya terasa malu sendiri. Di saat apabila sampainya delegasi Malaysia dari Negeri Kelantan, mereka menyambut kami dengan begitu meriah dan penuh takzim kerana, merasa takjub dengan prestasi pemerintahan PAS di Kelantan yang menjangkau 27 tahun dengan cemerlang ‘despite’ layanan anak tiri yang diberikan.

Oleh itu, wahai saudara-saudaraku, berhati-hatilah apabila bertemu dengan permainan persepsi. Boleh jadi berita yang disampaikan hanya sebelah pihak dan kita terus bersikap tidak adil dalam menilai.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

(Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.)
(Surah al-Maidah ayat :8)

Akhir kata,
Long long last glory for Kelantan State & Turkey!
Allah memelihara Kelantan & Turki. Bendera pun dah dekat-dekat sama. Hehehe.

#MamaPrideNo1Dunia #PrayForTurkey #MamaPride

No comments

Powered by Blogger.