SU Akhbar MB Kedah Fitnah Almarhum Ustaz Azizan Isu Air



Assalamualaikum Saudara Nahar Tajri, Setiausaha Akhbar YAB Dato' Seri Ahmad Bashah Mad Hanipah, Menteri Besar Kedah DA.

Sila tarik balik komen fitnah melampau saudara kepada Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan yang telah saudara tulis atau saudara panjangkan di facebook.

Seberapa segera, sila buat kenyataan permohonan maaf terbuka kepada ahli keluarga, sahabat taulan, pimpinan dan ahli PAS Kedah diatas fitnah yang saudara lemparkan kepada Almarhum.

Sesungguhnya beliau adalah insan yang tidak pernah mementingkan dirinya, tidak mengambil kesempatan atau peluang di atas kedudukannya, dan beliau tidak hidup dalam gaya seperti pemimpin dalam parti yang saudara pilih untuk cari makan dan beri khidmat saudara.

Rekod perkhidmatan beliau bersih dan cemerlang, kerja dan komitmen beliau kepada tanggungjawab beliau berkelas dunia. Pengorbanan, pandangan dan gagasan beliau untuk rakyat dan negeri ini melangkaui kepetingan diri, keluarga, malah partinya.

Hasil dedikasi beliau kepada amanah yang dipikulnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin negeri yang pernah saudara kenali.

Ada sejumlah besar daripada pendapatan yang sepatutnya menjadi hak beliau mengikut undang-undang, beliau sumbangkan kembali untuk pendidikan anak negeri ini yang dikasihi melalui Tabung Tengku Mahmud.

Daripada gajinya sendiri, disumbangkan kepada parti, petugas jemaah, orang-orang miskin, pelajar, sekolah agama, para balu mantan pemimpin, ibu tunggal dan anak-anak yatim mengatasi angka yang saudara sanggup bayangkan. Jauh mengatasi sesiapapun... dan kehidupan beliau bersama keluarga besarnya sangat-sangatlah sederhana. Dan... beliau tidak perlu 'mencuri' wang daripada SADA/negeri milik rakyat untuk melakukan itu semua seperti saudara maksudkan dalam tulisan saudara.

Sekelian yang menghormati dan mengasihi insan hebat ini pasti terluka dengan tulisan saudara itu. Fitnah seperti ini bukan perangai politik yang wajar diamalkan oleh saudara atau sesiapapun. Kami tidak akan membiarkan sesiapapun mencemari integriti dan reputasi beliau dengan politik murahan seperti ini.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1215447258479800&id=100000436113775

No comments

Powered by Blogger.