"POLITIKUS BERHENTI MAINKAN ISU HUDUD"
KENYATAAN MEDIA PKPIM
27 Julai 2016
"POLITIKUS BERHENTI MAINKAN ISU HUDUD"
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kekesalan kami atas kenyataan segelintir ahli politik yang gemar memainkan isu hudud bagi meraih sokongan politik masyarakat tertentu.
Kami merujuk kenyataan media oleh MCA bertarikh 26 Julai 2016 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berjudul "MCA strongly opposes the Private Member's Bill to amend the Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act".
Dalam kenyataan media itu, MCA menyatakan pendiriannya untuk menentang secara total cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
PKPIM berpandangan, kenyataan media ini adalah salah satu strategi populis meng"kambing-hitam"kan isu hudud bagi meraih sokongan politik. Kenyataan yang seumpamanya juga pernah dikeluarkan oleh parti politik yang lain seperti DAP. Justeru, seruan PKPIM kepada para politikus, 'berhenti mainkan isu hudud'.
Kami melihat Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta 355 berkaitan Mahkamah Syariah adalah suatu cadangan yang dibuat secara berperlembagaan (constitutional). Malah, perkara-perkara berkaitan Mahkamah Syariah punya peruntukan sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan.
PKPIM juga berpendapat, adalah terlalu awal untuk menyatakan Rang Undang-undang Persendirian Pindaan Akta 355 sebagai Rang Undang-undang Hudud kerana ia hanyalah cadangan bagi meningkatkan hukuman maksimum oleh Mahkamah Syariah kepada hukuman yang selaras dengan syarak.
Setakat ini, cadangan yang dikemukakan tidak ada pertindihan dengan undang-undang jenayah sivil. Malah untuk melaksanakan hudud, perlu pindaan terhadap beberapa bahagian dalam perlembagaan, bukan hanya Akta 355. Jelas, setakat ini, ia tiada kaitan dengan hudud.
Oleh yang demikian, persoalan kami kepada para politikus, mengapa terus-menerus memainkan isu hudud ini dalam waktu sekarang?
Apakah para politikus "kurang modal" dalam meraih simpati dan sokongan rakyat? Atau ini kaedah MCA bagi melencongkan permasalahan lebih besar dalam negara seperti skandal besar 1MDB? Ini menghairankan kami.
PKPIM secara tegas menolak kenyataan dan pendirian seperti MCA ini. Ia hanya akan membina 'pandangan awam' (public opinion) yang didasari oleh salah-faham serta membentuk 'budaya takut' dan Islamophobia, khususnya kepada masyarakat bukan Islam.
MCA seolah-olah tidak faham ataupun sengaja 'buat-buat tidak faham' tentang peruntukan Mahkamah Syariah yang tidak menyentuh atau terpakai ke atas orang bukan Islam. Sudah begitu ramai pakar dan orang cerdik pandai dalam MCA, mengapa masih memutarbelitkan isu seperti ini. Mereka harus bersikap objektif.
Secara realitinya, PKPIM menyedari, hudud adalah suatu isu yang sekian lama dipolemikkan. Malah, apabila memperkatakan tentang undang-undang Syariah, banyak isu berbangkit melibatkan pertentangan antara bidang kuasa Mahkamah Sivil dengan jurisdiksi Mahkamah Syariah. Kami akui ini masih perlu kepada penambahbaikan dan pengharmonian.
Dalam masa yang sama, kami juga terfikir dan tercari-cari apakah cadangan atau formula terbaik dalam mengharmonikan kod undang-undang jenayah sivil dengan undang-undang jenayah syariah hudud sekiranya ia ingin dilaksanakan. Jelas sekali, ia akan membentuk dualisme dan ini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana akan mendatangkan masalah rumit di hari muka kelak.
Walaupun begitu, permasalahan ini harus dirundingkan secara bersama oleh pakar-pakar perundangan dan wakil masyarakat. Betul, hak bersuara dan berpendapat adalah hak semua. Malah orang bukan Islam pun punya suara dalam menyatakan pandangan mereka tentang hudud (walaupun mungkin tidak menyentuh orang bukan Islam secara langsung), kerana Malaysia adalah negara kita bersama.
Akan tetapi, sudah sampai masanya para politikus berhenti menjadikan isu hudud sebagai polemik politik. Ia tidak akan berkesudahan. Dalam politik, parti pilihan hati rakyat adalah parti yang berprestasi, transparen dan beramanah, mempunyai keupayaan urus-tadbir yang baik dan peduli kepada rakyat. Banyak lagi kerja lain yang perlu politikus lakukan selain mempolitikkan isu hudud.
PKPIM, sebagai suara pelajar dan mahasiswa Islam di Malaysia, menyatakan pendirian sikap ini demi hasrat melihat negara tercinta ini terus membangun dengan cemerlang dan seluruh anak bangsa Malaysia tanpa mengira ras, keturunan dan agama dapat mengecapi buah hasil daripada kemakmuran negara.
"Hidup Biar Berjasa"
Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
27 Julai 2016
No comments
Post a Comment