LAWATAN KELANTAN-KRABI MENGHASILKAN HUBUNGAN POSITIF



LAWATAN KELANTAN-KRABI MENGHASILKAN HUBUNGAN POSITIF

Oleh : Mohamad Sahrulnizam Mat Rashid
Pegawai Khas

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan ke Wilayah Krabi, Thailand pada hari ini diteruskan dengan mengadakan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Krabi. Disamping berseminar berkaitan pengurusan tanah, delegasi kerajaan turut mengadakan lawatan ke Majlis Agama Islam disini bagi meninjau pengurusan Masjid dan pengurusan hal ehwal agama Islam di Krabi.

Didalam sesi perbincangan dua hala, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Krabi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pimpinan dan delegasi Kerajaan Kelantan kerana sudi hadir ke Pejabat Majlis Agama Islam Krabi. Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat lebih 200 buah Masjid diseluruh wilayah Krabi yang diselia oleh Majlis Agama Islam disini. Berbeza dengan wilayah lain di Thailand, pengurusan Masjid disini lebih kehadapan dengan menjadikan teknologi diatas talian (IT) sebagai medium menyampaikan informasi dan maklumat berkaitan Islam kepada orang ramai malah keberkesanan sistem yang digunakan ini telah dijadikan contoh oleh wilayah-wilayah lain di Thailand. Majlis Agama Islam Krabi juga telah diberikan mandat oleh Kerajaan Thailand untuk membangunkan industri halal.

Bagi perancangan masa hadapan juga, Majlis Agama Islam Krabi sedang dalam proses untuk menghantar pelajar-pelajar Islam di wilayah ini bagi mendalami ilmu agama di pondok-pondok di Negeri Kelatan disamping membina rangkaian strategik didalam pembangunan ilmu agama diantara Kelantan-Krabi.

Dalam pada itu, Dato' Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata pihak kerajaan sangat berbesar hati dan bersedia untuk mengadakan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Krabi bersama-sama Jabatan Agama Islam Kelantan untuk membina jaringan terutamanya melibatkan pertukaran pelajar yang ingin mendalami ilmu agama diantara kedua wilayah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Dato' Mohd Nassuruddin Daud turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan kuliah agama di Pondok An-Harul U-Loom, Koh Klang, iaitu sebuah institusi pemulihan dadah yang terdapat di wilayah Krabi.

Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan ke Wilayah Krabi tidak hanya mengadakan seminar dan perbincangan berkaitan hal ehwal tanah, tetapi disertakan dengan pelbagai program rasmi bagi membina hubungan dan jaringan antara Negeri Kelantan dan Wilayah Krabi. Antara aspek dan sektor yang menjadi perhatian selama lawatan adalah pembangunan Islam, pelancongan, pembangunan hub halal, pemerkasaan institusi pondok dan pengajian agama serta pengurusan majlis agama Islam yang terdapat disini.

No comments

Powered by Blogger.