Hukum Orang Islam Ke Majlis Pengkubumian Orang Bukan Islam
AKU MAHU HADIR MAJLIS PENGKEBUMIAN TEOH BENG HOCK
Salah seorang Setiausaha politik exco kerajaan Negeri Selangor dari parti PAS menghantar sms kepadaku, bertanya hukum kehadiran orang islam dalam majlis pengkebumian Teoh Beng Hock yang tidak beragama Islam.
“ana nak pegi” jawapan ringkasku.
”kita jumpa di Nirwana Semenyih, Jam 12:30, isnin, kita jumpa di kajang dalam jam 11” jawapnya.
Mungkin persoalan tentang kehadiran orang islam dalam majlis pengkebumian jenazah non Muslim akan menjadi isu dari sudut hukum. Persoalan ini jadi rumit, jika tidak dibahas terlebih dahulu. Justeru, artikle ini akan mengulasnya dengan serba ringkas.
HUJJAH
Secara asasnya, hukum menghadiri majlis pengkebumian jenazah Non Muslim adalah harus. Dalil-dalil yang menyatakan sedemikian adalah seperti berikut;
PERTAMA:
Dalam satu hadis yang sahih, diriwayatkan bahawa Nabi SAW hadir ke maqam ibu baginda, iaitu Aminah binti Abdul Wahab. Baginda SAW meminta izin dengan Allah untuk mendoakan keampunan dosa terhadap ibunya, perkara itu dilarang oleh Allah SWT. Adapun kehadiran nabi SAW menziarahi kubur ibunya yang tidak mengucap syahadah; yang mati atas agama kaumnya, itu tidak dilarang oleh Allah terhadap Nabi SAW. (sila rujuk)
http://majles.alukah.net/showthread.php?t=36337
KEDUA:
Sabda Nabi SAW;
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّ فِي زِيَارَتِهَا تَذْكِرَةً
Maksudnya;
”Aku pernah mencegah kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Ini kerana, dalam ziarah kubur itu terdapat unsur mengingati mati[1]”
Dari hadir ini, kita akan fahami bahawa Nabi SAW menyuruh menziarahi kubur dengan tujuan untuk mengingati mati. Dalam hadis ini, tidak dibataskan kubur yang diminta ziarah adalah kubur orang islam sahaja. Justeru, menziarahi kubur non muslim adalah dibenarkan dalam islam.
KETIGA:
Diceritakan Qais bin Saad dan Sahl bin Huniaf berkata;
إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جَنَازَةٌ فَقَامَ فَقِيلَ إِنَّهُ يَهُودِيٌّ فَقَالَ أَلَيْسَتْ نَفْسًا
Maksudnya;
”Sesungguhnya Rasulullah SAW telah dilalui oleh satu jenazah. Apabila melihat itu, nabi SAW berdiri. Diberitahu kepada baginda, bahawa jenazah itu adalah seorang yahudi. Nabi SAW menjawab, ’bukankah ia adalah manusia?[2]”
Dari hadis ini, menampakkan kepada kita bahawa Islam tidak menafikan hak kemanusian, waimma berbeda agama sekalipun.
Justeru, menghadiri majlis pengkebumian non Muslim adalah tidak haram dalam Islam, malah ia dibenarkan.
IGAUAN DAN JAWAPAN
Firman Allah;
وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ
Maksudnya;
”Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik”
(Surah At-Taubah : 84)
Dalam ayat ini, Allah SWT melarang kita berdiri di atas kubur orang munafiq, kerana mereka pada hakikatnya adalah kufur kepada Allah SWT. Apabila orang munafiq pun sudah tidak dibenarkan berdiri di kubur mereka, inikan pula kubur orang yang nyata kekafirannya.
JAWAPAN
Perlu dibedakan antara non mulim yang merupakan musuh islam, dan non muslim yang tidak menjadi musuh islam. Sebaliknya, wujud dari kalangan manusia yang mengucap syahadah itu, ada muslim yang mendokong islam, juga ada muslim yang melawan islam.
Apabila seseorang itu mengucap syahadah, tetapi didapati dia melawan islam, mereka sebenarnya adalah orang munafiq. Apabila mereka menjadi musuh Allah, maka tidak hairanlah Allah melarang berdiri di kubur mereka.
Adapun orang non Muslim yang tidak melawan islam, mereka ini digelar dengan istilah ”zimmi”. Menghadiri majlis pengkebumian mereka tidak menjadi salah, malah dibenarkan dengan alasan ”keadilan”.
Firman Allah;
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya;
”Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”
(Surah Al-Mumtahanah : 8)
Sekian
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
19 Julai 2009 * 2:13 pagi
[1] Sunan Abi Daud : 2816.
[2] Sahih Muslim : 1596.
No comments
Post a Comment