Wacana ilmiah Pemuda PAS-Umno dijangka sebelum Ramadan

PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yakin pertemuan pertama wacana ilmiah dengan Pemuda Umno pusat dapat diadakan sebelum bulan Ramadan hujung Ogos ini.

Kata Nasrudin, sekurang-kurangnya pertemuan pertama dapat diadakan bulan depan.

"Ya, sebelum bulan puasa bermula," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu kata Nasrudin, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan mesyuarat selepas 26 Julai ini untuk membentuk jawatankuasa teknikal ke arah merealisasikan wacana membabitkan Pemuda PAS dan Umno.

"Jawatankuasa teknikal ini akan membincangkan format, tempat dan masa wacana," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak pasti siapa yang akan mengetuai jawatankuasa teknikal itu.

Kelmarin, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, pihaknya kini menunggu maklumat lanjut dari Dewan Pemuda PAS mengenai wacana ilmiah yang dicadangkan oleh Pemuda PAS itu.

Razali berkata, Pemuda Umno telah bersetuju dengan pelawaan tersebut dan hanya menunggu Dewan Pemuda PAS menetapkan tarikh, masa dan tempat.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Pemuda PAS menjemput Pergerakan Pemuda Umno pusat untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Nasrudin menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Razali yang mewakili Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Khairy juga telah menyatakan persetujuan menyertai wacana berkenaan dua hari kemudian.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membincangkan aspek lanjut selepas berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Pilihan raya kecil itu selesai 14 Julai lalu.

Perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

1 comment

Samdol said...

adalagi orang nak buat kerja2 bangang ni dengan ameno rupanya....

Powered by Blogger.