Jawapan kepada Soalan Dewan: Rumah Ibadat Bukan Islam, Alam Sekitar dan Mahasiswa

Tiga soalan yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam Sidang Dewan Negeri terbaru.

Soalan: Rumah Ibadat bukan Islam
a) Apakah prosedur dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Negeri Selangor di dalam berhadapan dengan masalah rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram?

YB Dr. Xavier Jayakumar, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin menegaskan bahawa tindakan yang mesti diambil segera oleh Pihak Berkuasa Tempatan adalah dengan mengeluarkan kompaun bagi binaan tersebut. Sekiranya tiada tindakan oleh pemilik rumah ibadat tersebut, Pihak Berkuasa Tempatan boleh merobohkan tetapi dengan memaklumkan Kerajaan Negeri terlebih dahulu. Bagi binaan yang dibuat selepas 8 Mac 2008, tindakan tegas mesti diambil di peringkat awal pembinaan rumah ibadat tersebut bagi mengelakkan mereka menjadi lebih besar.

b) Apakah langkah yang diambil pihak kerajaan dalam memastikan rumah ibadat bukan Islam didirikan secara lebih tersusun dan lebih mesra kepada masyarakat bukan Islam?

Dr. Xavier menyatakan garispanduan sedia ada menetapkan bahawa sekiranya majoriti penduduk bukan Islam melebihi 2500 orang ataupun penduduk keseluruhannya melebihi 5000 orang, rizab rumah ibadat bukan Islam mestilah disediakan.

Penduduk 40 rumah sekitar tapak tersebut akan diberikan notis, dan sekiranya kawasan bersebelahan adalah kawasan penduduk Islam, maka zon pemisah sebanyak 50 meter mestilah disediakan.

Soalan: Alam Sekitar dan gerakan hijau
a) Apakah langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di Selangor terutama yang melibatkan hutan simpan?

YB Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar menyatakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30% kawasan tanah negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Sehingga tahun 2008, keluasan Hutan Simpanan Kekal ialah 241,568 ha dan dari jumlah ini, seluas 164,278 ha telah dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan manakala seluas 98,267 ha telah diwartakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Fungsi Hutan Perlindungan ialah untuk memastikan kestabilan sumber bekalan air, kesuburan tanah, kualiti alam sekitar, pemeliharaan bio-diversiti mencegar/meminimakan kerosakan akibat hakisan tanah dan banjir serta mengekalkan nilai-nilai estetika yang boleh dinikmati masyarakat menerusi pemeliharaannya. Hutan Perlindungan juga mengambil kira pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem mengikut jenis hutan iaitu Hutan Darat, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut.

Projek pemuliharaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ialah tanaman mengaya hutan miskin, tanaman pemulihan hutan terosot (degraded forest), tanaman pokok pesisiran pantai, tanaman pokok herba, lading hutan serta menjalankan aktiviti pengusahasilan hutan secara mampan menurut ketetapan Pensijilan Hutan yang diiktiraf antarabangsa iaitu Malaysia Criteria & Indicator (2002).

b) Apakah inisiatif dan perkembangan usaha kerajaan terhadap tenaga boleh perbaharui sebagai langkah mampan memelihara alam sekitar?

Elizabeth memaklumkan bahawa Dasar Teknologi Hijau Negara telah dilancarkan pada 24 Julai 2009 oleh Kerajaan Persekutuan.

Menyedari hal ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan Selangor Conference On Alternative And Renewable Energy 2009 (SelCARE’09) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Sains dan Teknologi pada 15 Oktober 2009.

Selain SELCARE, Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan dan menyokong seminar yang mengkaji keperluan Malaysia menggunakan tenaga nuklear dan juga sebuah seminar tenaga mampan.

Kerajaan Negeri juga berancang untuk mengalakkan pihak industri dan pengguna untuk mengambil langkah-langkah mengurangkan penggunaan tenaga yang kini diwajibkan oleh undang-undang ataupun diberi insentif cukai.

Kerajaan Negeri juga telah menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Q-Cell, sebuah syarikat yang menghasilkan wafer dan sel solar dari Jerman bagi menghasilkan produk berkaitan system solar di Sepang, Selangor.

Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa akan mendapatkan khidmat daripada pakar-pakar terbaik dan bekerjasama dengan Pusat Tenaga Malaysia bagi mewujudkan koordinasi pelaburan mantap serta menyedia insentif-insentif lain seperti tanah, air, infrastruktur dan terutamanya tenaga mahir bagi menarik minat pelabur dalam industry tenaga alternatif dan tenaga diperbaharui di negeri Selangor.

Elizabeth turut menekankan bahawa pelaburan yang Selangor ingini adalah pelaburan dalam industri hijau yang moden, cekap dan bersih, dan bukan apa yang dikenali sebagai “sunset industries,” iaitu industri yang sedang menurun kepentingannya.

Pada masa sama Elizabeth merasakan sektor swasta telah jauh lebih maju dari kerajaan-kerajaan sama ada negeri atau persekutuan dalam segi menangani perubahan iklim dan lain-lain krisis alam sekitar. Kerajaan Negeri Selangor berhasrat menggiatkan usaha agar tidak ketinggalan, malah menjadi contoh kepada semua pihak yang lain.

Soalan: Mahasiswa dan kebebasan akademik
a) Apakah dasar pengajian tinggi di Selangor bagi memastikan pengajian tinggi di Selangor kompatatif dan berdaya saing?

YB Dr. Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan menegaskan antara keutamaan termasuklah mendapat akreditasi dari badan-badan relevan, memastikan hubungan pintar dengan pihak industri, menerapkan konsep kesepaduan ilmu dan membina jaringan kerjasama akademik dan profesional dengan universiti-unversiti terkenal dalam dan luar negara.

b) Adakah mahasiswa dan ahli akademik diberikan ruang secukupnya di dalam mempraktikkan ilmu serta mengembangkan wacana akademik di universiti?

Dr. Halimah menerangkan bahawa mahasiswa dan ahli akademik sentiasa diberikan ruang secukupnya melalui aktiviti-aktiviti seperti penyertaan dalam seminar kebangsaan dan antarabangsa, penblibatan dalam penulisan dan penerbitan jurnal, mengadakan program bicara Intelek, mengadakan program usrah kakitangan dan pelajar serta penyediaan sepakers corner untuk mahasiswa berkongsi ilmu antara mereka.

http://www.niknazmi.com/wordpress/?p=1531

No comments

Powered by Blogger.