Sultan: Keharmonian Punah Tanpa Keadilan

Bersempena sambutan Ma’al Hijrah Peringkat negeri Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar rakyat di negeri ini sentiasa menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang berbilang kaum.

Baginda bertitah perpaduan yang wujud harus meliputi semua bangsa tanpa mengira agama dan keturunan.

“Bersempena sambutan Ma’al Hijrah 1431 Hijrah yang kita sama-sama sambut hari ini, Beta juga ingin terus mengingatkan supaya kita sentiasa memelihara keharmonian dan kesejahteraan yang sememangnya telah lama kita sama-sama kecapi ini. Pada hemat Beta, perpaduan rakyat di negara kita ini mestilah meliputi semua bangsa dan kaum tanpa mengira agama dan keturunan,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika menghadiri Majlis Perasmian Masjid India Muslim Tengku Kelana dan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Klang hari ini.

Dianggarkan seramai 3000 orang hadir ke perkarangan masjid untuk bersama-sama meraikan sambutan Ma’al Hijrah yang disempurnakan oleh Sultan Selangor.

Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada Tokoh Ma’al Hijrah dan pelajar cemerlang Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor.

Mantan Senator, Hassan Shukri dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor.

Beliau yang merupakan pentadbir Sekolah Agama Darul Tarbiah, Gombak memegang jawatan Senator selama enam tahun.

Penglibatan beliau dalam aktiviti persatuan, politik, dan program peringkat antarabangsa melayakkan beliau menerima anugerah itu.

“Yang pertama saya bersyukur kepada Allah dan menyembah kasih kepada DYMM sultan Selangor yang telam menyampaikan anugerah kepada saya, tokoh maal hijrah 1431 Hijrah,” kata beliau.

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 dan cenderahati.

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan wang saguhati yang diterima, beliau berkata,

“Bagi saya tiada apa insyallah itu perkara biasa dan saya syukur lah. Mudah-mudahan kita akan gunakan juga sedikit sebanyak akan saya sumbangkan,” katanya.

Seramai 13 orang pelajar cemerlang di sekitar Selangor turut menerima wang tunai RM3,000 dan cenderahati sebagai tanda penghargaan oleh DYMM Sultan Selangor. - Hadri Yaziz

No comments

Powered by Blogger.