Kembalikan rasa hormat, hak kesaksamaan wanita

Rodziah Ismail

Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada wanita yang jumlahnya lebih 50% daripada penduduk dunia ini. Maka tahun ini sambutan adalah untuk kali yang ke-99. Semenjak diisytiharkan pada tahun 1911 dalam satu Konferensi Wanita Bekerja dan diberi pengiktirafan rasmi oleh Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1975, masyarakat dunia telah mula memberi perhatian kepada keperluan dan kepentingan hak saksama antara kaum lelaki dan perempuan.

Wanita di serata dunia kini, mula menikmati hak-hak setimpal dengan kaum lelaki, di antaranya hak mengundi (dengan pengecualian segelintir negara), hak bersuara, hak menerima pendidikan, hak bersosial dan berpolitik, hak menyertai kegiatan ekonomi dan menerima bayaran gaji atau upah yang sama dengan kaum lelaki dan sebagainya.

Menginsafi perkara ini, Kerajaan Selangor yang mempunyai lebih 49% daripada penduduknya terdiri daripada kaum wanita, kami selaku pimpinan negeri cukup prihatin dan mengambil kira wanita di setiap perancangan dan pembangunan negeri. Ini dibuktikan dengan dimulakan dengan meletakkan kepimpinan tertinggi negeri lebih 30% adalah wanita.

Namun begitu, semenjak mengambil tampuk pemerintahan Selangor, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mendapati peratusan wanita yang menduduki kedudukan di peringkat pembuat dasar dan keputusan tidak kira di sektor awam atau swasta masih tidak memuaskan. Penyertaan wanita dalam kegiatan ekonomi juga rendah dengan kadar pengangguran di kalangan wanita adalah jauh lebih tinggi jikalau dibandingkan dengan kaum lelaki.

Lebih membimbangkan ialah kaum wanita masih lagi menerajui senarai atau statistik mangsa jenayah seperti rogol, ragut, keganasan seksual, keganasan rumahtangga, sumbang mahram serta kegiatan memperdagangkan manusia (human trafficking) untuk tujuan pelacuran dan kegiatan penyeludupan dadah juga menjadikan wanita sebagai sasaran utama mereka.

Realitinya, diantara sebab yang menyumbang kepada masalah ini, adalah kerana kaum wanita masih belum cukup diberi penghormatan dan pengiktirafan sebagai pasangan perkongsian masyarakat yang seimbang dan setaraf (equal partnership) serta adil. Akibat ketiadaan rasa hormat terhadap wanita ini, maka timbullah pula ketidaksamaan hak yang sudah semestinya membawa kepada pencabulan hak wanita yang berdaya.

Pastinya, kesan langsung akibat perkara ini akan memberikan impak yang negatif serta hilangnya nikmat rasa aman dan selamat kepada wanita yang berdaya dalam memberikan sumbangan yang maksima kepada pembangunan fizikal, ekonomi, politik dan semestinya pembangunan sosial Negara dan dunia.

Sewajarnya kita perlu mengambil iktibar daripada dua contoh tauladan kepimpinan yang adil dan prihatin terhadap kaum wanita. Pertama bila mana Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin agung ditanya mengenai jaminan keselamatan dan keamanan sesebuah negara itu, Rasululah s.a.w. menegaskan salah indikasi sesebuah negara itu aman dan selamat bila mana wanita selamat berjalan pada waktu malam.

Keduanya, seorang usahawan wanita Muslim di Syam sedang berniaga telah diganggu oleh sekumpulan tentera yang rakus, apabila berita ini sampai kepada Khalifah Saidina Omar Al Khattab, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada pemimpin negara tersebut bahawa sekiranya hak wanita itu tidak dibela seadilnya beliau akan segera mengarahkan sepasukan tentera muslimin, yang jumlahnya sepanjang dari Kota Madinah ke negara tersebut hanya untuk membela nasib seorang wanita.

Satu pelan tindakan yang proaktif dan substantif serta kerjasama masyarakat terutamanya badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa satu perubahan positif yang mampu mengembalikan rasa hormat terhadap wanita dan hak saksama wanita demi pembasmian keganasan dalam sosial dan jaminan keselamatan bagi wanita.

Jangan biarkan wanita terus kekal dan hanya dikenangi sebagai satu statistik atau sekadar angka mangsa keganasan dan penindasan dalam negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor amat komited untuk mengangkat martabat kaum wanita dalam Negeri Selangor dan marilah kita berusaha ke arah memberikan jaminan serta menyediakan sistem sokongan yang sewajarnya untuk pencapaian tersebut.

Justeru itu, sempena hari Wanita 2010 marilah kita, tidak kira lelaki atau wanita berperanan mengembalikan rasa hormat dan hak kesaksamaan kepada wanita demi pemulihan keselamatan sosial. Tiada keselamatan sosial jika tiada rasa hormat dan ketidaksamaan gender dimanifestasikan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA SEDUNIA

YB PUAN RODZIAH ISMAIL,

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita,

Kebajikan dan Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.