MCA DIINGAT TIDAK CAMPURI URUSAN AGAMA ISLAM

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: MCA tidak berhak mengeluarkan resolusi yang bersifat mencampuri hal ehwal urusan agama Islam.

Apatah lagi berkaitan perundangan Islam di mana negara ini memiliki institusi yang bertanggung jawab khusus terhadap perkara tersebut iaitu Mahkamah Syariah, demikian ditegaskan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya.

Beliau berkata sedemikian sebagai merujuk kepada resolusi Perhimpunan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Ke-56 pada 7 Mac lalu yang antaranya meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam.

Bersama resolusi tersebut, MCA juga meminta kerajaan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai “Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita” (CEDAW).

Menurut Ustaz Ahmad, resolusi itu juga menunjukkan pertikaian lanjut MCA terhadap hal ehwal agama Islam selain membuktikan kegagalan Umno untuk memahamkan MCA terhadap perkara berkaitan Islam walaupun telah bersama sebagai satu komponen lebih setengah abad.

“MCA sepatutnya selesaikan kemelut dalaman mereka, bukan bincang untuk pertikai urusan agama Islam tanpa memahami Islam.

“MCA perlu menghormati hak Islam sebagai Agama Persekutuan, lagipun undang-undang itu hanya untuk umat Islam, apa perlu mereka sibuk?” pertikainya, 8 Mac lalu.

Jelas beliau, tidak timbul isu diskriminasi seperti difahami MCA kerana perundangan Islam meliputi pembelaan terhadap wanita selain menjaga kepatuhan kepada agama.

Lagipun katanya, hukuman ketika ini belum menepati syariat sebenar kerana jumlah sebatan dilaksanakan kurang berbanding undang-undang asal.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.