Penubuhan MPM: Langkah Perkasa memperkukuhkan imej semata-mata

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat langkah menubuhkan Majlis Perwakilan Melayu oleh 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat sebagai satu usaha bersepadu oleh golongan nasionalis Melayu menjadi satu wadah baru bagi membela nasib penduduk bumiputera terutamanya orang Melayu. MPM juga dikatakan berperanan sebagai benteng yang mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu yang sering dipertikaikan. AIC yakin perkara ini adalah sebagai satu usaha penolakan senyap MPM terhadap fungsi dan kredibiliti Umno yang ternyata gagal dalam perjuangan nasionalismenya.

Ini adalah kerana sejak akhir-akhir ini, NGO Melayu terutamanya Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali begitu mendominasi usaha-usaha kehadapan dalam memperjuangkan Melayu sedangkan Umno seperti hilang fungsi mereka lebih-lebih lagi setelah gagal memimpin kerajaan campuran mereka memenangi 2/3 kerusi majoriti di Parlimen dan kehilangan kerusi di negeri-negeri penting seperti Selangor,Pulau Pinang,Kedah dan Perak disampinh pengekalan teraju pemerintahan PAS di Kelantan.

Antara NGO yang menyertai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Justeru itu, kenyataan respon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang menyatakan Umno mengalu-alukan penubuhan MPM dan sanggup bekerjasama demi perpaduan Melayu dilihat sebagai satu kenyataan yang menggambarkan parti Melayu itu tidak mampu dengan sendirinya menjadi tunjang perpaduan orang-orang Melayu.

Seorang penganalisis politik berpendapat, Perkasa berupaya menjadi dominasi dalam MPM ini pada masa hadapan dan menenggelamkan imej pertubuhan lain, dan tidak menyangkal bahawa akan wujud satu bentuk persaingan diantara Perkasa dan Umno sendiri dalam mencari ruang kesepakatan kerana sebagai sebuah NGO, Perkasa tidak banyak terikat dengan sentimen kaum-kaum yang lain sedangkan Umno perlu lebih banyak berhati-hati dalam menjaga hubungan dengan MCA dan MIC.

Namun, AIC yakin dan percaya penubuhan MPM ini juga hanyalah bersifat sebagai alat sesetengah pihak untuk mencari kepentingan politik. Isu pembelaan Melayu ini adalah sesuatu yang sangat subjektif dan basi, kerana telah terbukti tiada sebarang bentuk penindasan Melayu pun yang berlaku. Kalaupun wujud ianya berpunca daripada kelangsungan pemerintahan Umno/BN yang penuh dengan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang terbukti merosakkan potensi umat Melayu Malaysia untuk menjadi bangsa yang berjaya.

Tuntasnya, AIC melihat sekiranya MPM benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan nasib Melayu, maka langkah pertama yang wajar diambil ialah menyeru rakyat Malaysia seluruhnya untuk menolak Umno tanpa kompromi atas kerosakan ke atas sistem ekonomi, politik dan sosial Malaysia yang telah dilakukan oleh Umno sejak 53 tahun yang lepas. AIC juga melihat bahawa penubuhan Majlis Perundingan Melayu ini tidak lebih sebagai salah satu usaha Perkasa untuk mengukuhkan imejnya dan bukan atas nama pembelaan Melayu dalam erti kata sebenarnya.

Saifuddin Shafi Muhammad
Setiausaha Agung

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

Anak Bugis said...

Perkasa ni sebenarnya bertindak sebagai Mole Umno.. cuba menarik undi melayu kerana umno terpaksa kelihatan neutral gara-gara 1 Malaysia...

Powered by Blogger.