Seniman mahu hantar memo sekat Terjah

KUALA LUMPUR - Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sudah menyiapkan memorandum dan akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menyekat program sensasi terbitan stesen televisyen TV3, Terjah.

Presidennya, Harun Salim Bachik berkata, memorandum yang sudah siap itu hanya menunggu masa untuk diserahkan sekiranya tidak mendapat respons daripada pihak produksi Terjah untuk menghentikan program tersebut.

“Ini merupakan langkah terakhir daripada pihak Seniman sekiranya tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pihak TV3 khususnya produksi Terjah.

“Kami merasakan program itu melampau serta mengaibkan selebriti di tanah air,” katanya ketika ditemui pada sidang media permohonan maaf pelakon dan model Ammar Alfian.

Katanya, walaupun selebriti dianggap hak masyarakat namun tidak semua perihal peribadi boleh dikongsi bersama.

“Sepanjang program tersebut bersiaran, saya tidak nampak hala tuju yang boleh membangunkan industri seni tempatan.

“Tidak bagus sekiranya program ini diteruskan kerana ia hanya menjejaskan industri seni kita yang kecil,” katanya.

Sementara itu, penerbit program Terjah, Nas Ahmad atau nama sebenarnya Mohd Nasir Ahmad ketika dihubungi berkata, program yang mencatat :rating: sebanyak 1.2 juta penonton ini masih mengikut etika kewartawanan.

“Kami tidak merasakan program ini mengaibkan. Terjah sama seperti program hiburan Melodi dan Galaksi. Cuma gaya penyampaian Terjah berbeza mengikut kreativiti di mana kami tidak menggunakan pengacara sebaliknya lebih kepada perbincangan.

“Sila kemukakan bukti program ini sebagai mengaibkan selebriti. Jangan hanya mendengar aduan atau cakap orang sahaja. Sebaiknya teliti dahulu apakah mesej di sebalik program ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perbincangan yang mahu dilakukan Seniman dengan produksi Terjah, Nas berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang surat atau panggilan telefon berhubung isu tersebut.

“Sebagai sebuah persatuan yang profesional, seharusnya mereka mengikut prosedur yang betul iaitu mengadakan perbincangan sebelum menyerahkan memorandum.

“Kami sedia duduk semeja dan berbincang dengan mereka bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.SH

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.