Gerakan Islam Malaysia Perlukan Transformasi

Oleh Sidiqin Omar

AMPANG 23 Mei - Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mengesyorkan gerakan Islam di Malaysia melakukan transformasi dan gerak kerja yang lebih bersifat dinamik bagi mendepani cabaran globalisasi.

Ini penting kata beliau kerana sistem Islam boleh menempatkan diri dalam arus persaingan politik semasa tanpa menggugurkan prinsip perjuangan dan syariat Islam.

Beliau menganggap dunia kini semakin mencabar dan gerakan Islam perlu mengambil inisiatif agar menjadi masyarakat contoh kepada dunia.

Nasrudin mengingatkan bahawa kitab suci Al-Quran tetap menjadi panduan umat Islam walaupun mereka merujuk kepada cabang ilmu lain.

"Dalam era globalisasi dan demokrasi sebagai sebuah sistem yang diamalkan masyarakat dunia, gerakan Islam tidak boleh tertinggal bahkan mesti menggunakan fungsi demokrasi sebagai peluang mengembangkan syiar Islam," katanya.

Beliau berucap demikian dalam Seminar Gerakan Islam dan Persaingan Demokrasi anjuran Gabungan Mahasiswa Islam, Unit Amal Pandan, akhbar Harakah, Jundi Recources dan Sekretariat ADUN Cempaka di sini semalam.

Turut hadir pada program tersebut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Cempaka, Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor.

Seminar tersebut berpeluang mendengar pendapat beberapa tokoh akademik terkenal antaranta Dr Zuhdi Marzuki yang menjelaskan dalam sistem ekonomi dan politik yang lebih terbuka, gerakan Islam perlu mengambil peluang untuk mengembangkan mesej dan dakwah terutamanya di negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam.

"Kita lihat bagaimana peranan pendakwah terutamanya di negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Aktivisme haraki bukan terhad di dalam komuniti Islam sahaja, bahkan perlu dikembangkan agar gerakan Islam akan terus relevan," kata beliau.

Wakil Partai Keadilan Sejahtera Indonesia, Nabil Ahmad Fauzi dalam kertas kerjanya yang bertajuk 'PKS, Umat Islam dan Politik Indonesia' mendedahkan bahawa situasi di Malaysia dan Indonesia tidak jauh bezanya terutama apabila berhadapan dengan cabaran keberagaman budaya dan kepercayaan dalam masyarakat.

Manakala jalur politik di Indonesia pula semakin rencam selepas era reformasi.

Ini membuatkan aktivis Islam tidak boleh terpisah dengan sebarang proses bagi pembinaan negara. Nabil berpendapat kampus dan institusi masjid adalah medan yang penting bagi melahir dan membentuk kader dan aktivis Muslim yang ideal.

"Gerakan Islam juga perlu keluar dari lingkaran isu yang bersifat fiqah atau syariat semata-mata. Apa yang perlu dibangkitkan pada masa ini adalah perkara berkaitan masyarakat. Contohnya isu pentadbiran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," jelas Nabil lagi.

Beliau berkongsi pengalaman PKS di Indonesia yang berjaya memenangi pemilihan umum dan menjawat beberapa portfolio kementerian penting dalam kerajaan. Pembaharuan yang menjadi manifesto dan dasar dapat dilaksanakan secara berperingkat tanpa mencairkan sikap parti.

Seorang lagi panelis, Prof Dr Redhuan Othman daripada Umniversiti Malay mengupas perkembangan mutakhir politik Turki sambil menyatakan optimis dengan usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.

Dr Redhuan berkata walaupun dogma kepada legasi Kamal Ataturk itu masih wujud, tetapi kaedah yang mendorong perubahan tersebut adalah strategik dan taktikal.

Pemerintah Turki berjaya menghakis simbol-simbol lama Kamalisme tersebut secara berhemah, walaupun mendapat tentangan yang kuat dari simpatisan Kamal Ataturk.

"Saya yakin Turki akan kembali ke akar umbinya semula. Golongan muda Turki yang mulai sedar tentang keperluan meletakkan Islam sebagai tonggak akan mula menggali khazanah yang tersimpan lama dalam tradisi mereka," jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa gerakan Islam mesti meletakkan nilai keilmuan dan pendidikan sebagai pendekatan terbaik bagi menarik minat masyarakat untuk menyertai mereka.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.