Ketuanan Melayu Atau Kehantuan Melayu?

Oleh: Shirzad Lifeboat

Ibarat kicauan siburung murai, nampaknya Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali tidak sudah-sudah memperkatakan tentang ‘Ketuanan Melayu’?

Selain daripada retorik politik ketara, tidak jelas apakah sebenarnya diperjuangkan oleh beliau menerusi ungkapan ‘Ketuanan Melayu’ yang disadur bulat-bulat dari tagline UMNO (yang digunakan selepas Merdeka sehinggalah Pilihanraya Umum ke-12 apabila parti itu sendiri merasakan pemanis kata tersebut sudah basi dan hilang daya pemikatnya).


Ramai berpendapat hal-hal seperti ini boleh menimpa ke atas ahli politik tidak laku dan yang tidak berada di sebelah sini mahupun di sebelah sana kerana sifat semula jadinya yang sekejap berada di sebelah sini dan sekejap lompat ke sebelah sana dan kemudian lompat lagi sehingga tidak lagi berada di sebelah sini mahupun di sebelah sana tapi masih menyimpan harapan agar permaindani merah dihamparkan agar dia dipersilakan melompat semula ke tempat asalnya.

Apapun, selain daripada penyakit psikologi yang merasuk Ahli Parlimen berkenaan dan juga para penganut kepercayaan Ketuanan Melayu, polemik mengenainya seperti tidak menampakkan akan ada penghujungnya.

Sebenarnya selama 50 tahun UMNO membentuk minda, sikap, kepercayaan siasah malah keperibadian orang Melayu, banyak tuan-tuan Melayu yang telah terbentuk. Siapa dia tuan penagih dadah? Siapa dia tuan ponteng sekolah? Siapa dia tuan buang bayi? Siapa dia tuan bohsia? Siapa dia tuan mat rempit? Siapa dia tuan rasuah? Siapa dia tuan politik wang? Siapa dia tuan lobi kontrak kerajaan?

Dalam dunia perniagaan Malaysia pula, berapa ramaikah yang menjadi tuan perniagaan besar tanpa mendapat pertolongan kerajaan? Berapa ramai pula yang menjadi so-called tokoh korporat, sama ada dalam syarikat GLC atau syarikat yang sahamnya dikuasai oleh badan-badan kerajaan yang menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah disebabkan merit mereka sendiri dan bukan kerana mempunyai connection dengan orang politik yang berkuasa?

Selepas 50 tahun mengaku memperjuangkan nasib orang Melayu dan setelah tak kering air liur berpidato sana sini tentang ketuanan Melayu, apakah orang Melayu sudah benar-benar merasakan diri mereka tuan dalam erti kata sebenarnya?

Apakah Ketuanan Melayu hanya memenuhi makna sempit bahawa ia berkait rapat dengan golongan pemimpin UMNO tertentu dan golongan elit Melayu yang mempunyai connection dengan golongan pemimpin ini? Bukankan pemimpin UMNO dari golongan ini sahaja yang menjadi tuan?

Nampaknya inilah sahaja yang boleh dimengertikan sebagai Ketuanan Melayu. Sementara tagline ini bertujuan mengekalkan kuasa politik di tangan orang Melayu dari golongan ini, ia tidak banyak menyangkut kepada orang Melayu dari kalangan rakyat biasa.

Dalam pada itu, ramai juga para penganut Ketuanan Melayu ini akhirnya telah murtad dan merasakan bahawa pemanis kata Ketuanan Melayu berlabel UMNO itu sudah tidak relevan lagi.

Namun bagi mereka yang tidak percaya kepada cakap-cakap kosong tentang ketuanan ini dan lebih percaya bahawa meritokrasi adalah anak kunci segala-galanya, Ketuanan Melayu tidak wujud dalam kamus kehidupan mereka dan justeru soal relevan atau tidak relevan tidak timbul sama sekali.

Begitupun tentu sekali UMNO mempunyai kamusnya tersendiri. Ia boleh sahaja memberikan makna kepada apa sahaja kepada apa sahaja sebagaimana parti itu bebas menggubal undang-undang atau menterjemahkan undang-undang yang sedia ada menurut selera tuan-tuan UMNO yang juga merupakan tuan-tuan UMNO. Ini sebagaimana yang ditakrifkan oleh kamus UMNO: “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.”

Sedap betul bunyinya. Boleh membakar emosi. Boleh menyebabkan sesetengah orang yang mudah terpengaruh dengan temberang seperti ini merasakan betapa yang perlu hidup cuma orang Melayu sahaja dan orang lain perlu dihapuskan atau diusir atau dinafikan haknya walaupun dia adalah warganegara di bawah Perlembagaan.

Malangnya, tanpa disedari oleh para penganut ajaran Ketuanan Melayu ini, sesungguhnya ajaran ini adalah merupakan satu ajaran sesat. Bukan sahaja dari segi normal tetapi dari segi Islam.

Setelah menunaikan fardhu Haji terakhir sebelum kewafatannya, Rasulullah s.a.w. telah berpesan mahfumnya: “Semua kamu dari Adam. Adam itu daripada tanah. Tiada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang Ajam, melainkan dengan taqwa.”

Justeru Nabi s.a.w. sendiri pun tidak menggunakan pemanis kata Ketuanan Arab atau Ketuanan Quraisy dan ketuanan sebagainya.

Oleh itu tak payahlah puak-puak terlibat berhujah lagi tentang perkara tak mendatangkan faedah ini. Ia bukannya sesuatu yang menepati prinsip Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bahawa Islam tidak mengiktiraf ketuanan sesuatu bangsa.

Begitu juga yang dinyatakan oleh ahli Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ketua Lajnah Penerangan & Dakwah PAS, Aiman Athirah Al Jundi, “Memperjuangkan hak sesuatu keturunan (dalam konteks sesebuah negara majmuk), sama ada dilakukan oleh UMNO atau Ibrahim Ali, adalah salah. Kita tidak pernah menerima konsep sempit memperjuangkan hak sesuatu kaum ini. Ia tidak sejajar dengan ajaran Islam.”

Dan tak perlulah juga puak-puak ini memutar-belitkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Sebagaimana yang diketahui oleh orang Melayu yang lebih rasional dan sebagaimana dijelaskan semula oleh Ahli Parlimen PAS Parit Buntar, Muhajid Yusof Rawa betapa perkataan ‘ketuanan’ yang menjadi ramuan utama politik UMNO dalam kempen pilihanraya mereka dan sebagainya tidak terkandung dalam dokumen berkenaan.

Memang betullah kata Mujahid bahawa dalam konteks negara kita tidak ada sesiapa yang patut menjadi tuan. Maknanya kita semuanya bangsa Malaysia. Apa hal pula ada keturunan yang sibuk-sibuk nak jadi tuan?

Berpuluh tahun lamanya kita telah melihat apakah kesan dari pembentukan minda Melayu oleh UMNO dan bagaimana slogan Ketuanan Melayu akhirnya memberikan kesan terbalik. Dalam lain perkataan, jauh dari melahirkan tuan-tuan Melayu (kecuali tuan-tuan dalam UMNO), lebih ramai orang Melayu, terutaman golongan muda yang terjebak dalam ‘kehantuan Melayu’ kerana merasakan diri mereka tuan dan boleh buat apa sahaja.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.