Mengawal emosi dalam berpolitik

Oleh DR AMINUDIN MANSOR

Umum berpendapat tidak salah berpolitik, tetapi apa yang penting adalah mengawal emosi semasa berceramah, berkempen dan berhujah. Jika emosi tidak dikawal akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

Calon yang menang perlu mengawal emosi agar tidak terlebih gembira hingga menyebabkan pihak yang kalah berasa terhina. Begitu juga calon kalah perlu mengawal emosi dan menerima kekalahan dengan seadanya

Di mana-mana apa juga isu politik menjadi menarik dan panas. Seperti kopi panas ada manis dan ada juga terasa pahitnya, begitulah kehidupan. Sebagai pemerhati atau penyokong juga perlu mengawal emosi bagi menyelaraskan tindakan. Emosi yang baik akan menghasilkan tindakan waras, justeru berpolitik tanpa kawalan emosi akan menghasilkan tindakan kurang baik.

Menurut kajian, manusia adalah makhluk beremosi yang dapat digunakan sewajarnya untuk menegakkan kebenaran dan membenci atau memerangi kebatilan. Emosi tersebut meliputi perasaan suka, duka, kasih sayang, benci, marah, riang, sedih, bangga, dukacita, kecewa, bahagia, derita dan sebagainya. Manusia yang tidak beremosi dikatakan tidak seimbang.

Keseimbangan, jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat penting. Jelaslah emosi perlu dipupuk dan dibangunkan agar insan yang menggunakan emosi ini dapat mengawal dengan sewajarnya. Sebagai contoh sentiasa mencintai kebenaran dan kebaikan, dan membenci kezaliman dan keburukan yang berlaku dalam masyarakat.

Memetik kata-kata John Dewey, pemisah emosi yang panas hanya dengan akal dingin, adalah suatu tragedi. Menurut John Morley, anda tidak dapat memperlihatkan emosi juga tidak dapat mematikan cita-cita.

Bagi mengelakkan emosi yang terlampau, hanya dengan akal dingin dan waras. Kewarasan hanya dapat mengawal segala-galanya. Jika tidak waras dalam mesyuarat cawangan atau bahagian, kerusi boleh terbang melayang-layang disebabkan kemarahan.

Emosi adalah perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira dan takut. Beremosi mempunyai emosi sementara emosional adalah cenderung memperlihatkan emosi atau bertindak mengikut perasaan. Dalam hal ini, setiap daripada kita mestilah bijak mengawal emosi dalam melakukan sesuatu. Emosi yang terkawal ialah bertindak mengikut akal bukan perasaan.

Sifat marah dapat dikawal dengan emosi yang tenang dan akal yang bijaksana. Apabila akal sempurna tindakan yang dilakukan adalah lebih waras dan baik. Dalam kehidupan kita tidak digalakkan terlalu beremosi yang boleh mempengaruhi perasaan dan hati. Ceramah yang disampaikan melalui kempen-kempen politik mestilah dikawal dengan emosi yang baik.

Ada orang menjadi agresif kerana tidak dapat mengawal emosinya. Oleh itu kawal emosi dengan akal yang bijaksana supaya apa yang kita bicarakan, atau apa yang kita lakukan lebih sempurna dan positif hasilnya. Emosi yang terkawal akan menghasilkan sifat baik hati, tenang dan pencetus minda ke arah berfikiran terbuka.

Memetik kata-kata, J C Hare, lidah adalah wakil kebatinan kita, menunjukkan kecerdasan fikiran, keluasan kefahaman, kedalaman penyelidikan, kebanyakan pengalaman dan melambangkan kegagahan dalam kemanisan seseorang.

Peradaban yang baik melalui didikan agama akan mengawal emosi. Orang yang beradab akan sentiasa menjaga lidah dan bicaranya. Orang yang beradab juga tidak akan memburukkan orang lain melalui kata-katanya. Dia sentiasa menjaga dan mengawal emosi serta perkataannya agar tidak menyakiti hati orang lain.


Penulis ialah penyair, bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.