Khalid Samad: Tahniah Kepada Polis Negeri Sembilan

Saya membaca dengan minatnya kisah penembakan seorang lagi remaja oleh pihak polis di Seremban. Minat itu timbul apabila saya diberitahu bahawa sebaik sahaja berlaku peristiwa tersebut, Ketua Polis Negeri Sembilan telah terus mengakui bahawa pihak polis telah tersalah dan menggantungkan anggota yang terlibat. Pada masa yang sama, Polis Negeri Sembilan meminta maaf kepada keluarga mangsa yang cedera parah dan sedang mendapat rawatan di hospital. Pengakuan ini merupakan sesuatu yang perlu dipuji dan akan menjamin anggota polis akan sentiasa berwaspada dalam persoalan senjata api terhadap anggota masyarakat yang tidak bersenjata pada masa-masa yang akan datang.

Sebenarnya, tindakan telus yang sebeginilah yang diinginkan oleh warga Shah Alam, khususnya yang di Seksyen 11, berhubung kes Allahyarham Aminulrasyid. Ramai yang terpingga-pingga dengan pendekatan Polis Negeri Selangor dalam kes tersebut di mana pihak polis seolah-olah bersungguh-sungguh membela dan mempertahankan anggota polis yang menembak mati Aminulrasyid. Begitu juga dengan kes polis yang mengganas di Dataran Shah Alam beberapa hari selepas itu.

Tidakkah pihak polis menyedari bahawa pembelaan dan penafian terhadap kesalahan tingkah laku anggota polis akan memberi mesej yang salah kepada anggota polis sendiri sehingga mereka menganggap diri mereka seolah-olah kebal? Ini akan menyebabkan tahap professionalisma mereka dalam berurusan dengan rakyat jelata berkurangan dan dalam pada masa yang sama menggalakkan sikap dan tindakan samseng di kalangan mereka.

Kalau dikaji dari sudut ini, amat jelas bahawa pembelaan membuta tuli terhadap anggota polis oleh pengurusan tertinggi polis adalah tindakan yang tidak bertanggung jawab dan akan menghancurkan institusi polis. Mereka inilah yang menghancurkan imej polis dengan tangan-tangan mereka sendiri.

Saya tidak boleh elak dari bertanya kepada diri sendiri samada pendekatan yang berbeza ini adalah disebabkan Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang diperintah oleh BN dan Selangor pula adalah di bawah PR? Adakah pihak polis menganggap rakyat di negeri yang menyokong PR sebagai musuh dan lawan mereka dan perlu dilayani sedemikian rupa? Atau adakah mesej yang ingin disampaikan adalah bahawa di negeri BN mereka akan lebih professional dan di negeri PR, sebaliknya? Adakah dianggap bahawa dengan itu rakyat akan merasa terdorong untuk menyokong BN?

Saya amat berharap dan berdoa itu bukanlah ‘game-plan’ mereka. Pihak polis seharusnya bersikap neutral dalam soal politik walaupun dasar sebegini jelas tidak mampu dilaksanakan selama ini. Walaupun gagal dilakukan selama ini yang mungkin kerana kuatnya sokongan terhadap BN, tetapi pihak polis harus sedar akan perubahan yang berlaku di peringkat akar umbi masyarakat serta berubah bersamanya. Jika tidak, mereka akan dilihat sebagai alat BN yang digunakan untuk menghalang dan menindas kehendak rakyat; dan sudah pasti keadaan serta sikap rakyat terhadap polis akan berubah menjadi semakin negatif.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji keterbukaan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan menyeru Ketua Polis Negeri Selangor untuk mencontohi sikapnya. Rakyat, khususnya warga Shah Alam, mengetahui dan menyakini Allahyarham Aminulrasyid bukan penjenayah dan anggota polis berkenaan telah tersilap dan terlanjura dalam insiden berkenaan. Pihak polis sepatutnya mengakui sahaja kesilapan tersebut, meminta maaf kepada keluarganya, membersihkan namanya dan menuntut keadilan yang sebenarnya demi menjaga nama baik institusi polis. Begitu jugalah berhubung kes Nazmi, mangsa di Dataran Shah Alam. Tindakan yang sebaliknya akan hanya membawa padah kepada masyarakat dan negara.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.