Malaysia mesti tolak Perjanjian Copenhagen

S M Mohamed Idris

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia supaya menolak Perjanjian Copenhagen yang tidak diterima pakai oleh negara-negara yang menyertai rundingan mengenai perubahan iklim pada Disember 2009.

Perjanjian Copenhagen pernah menimbulkan kontroversi kerana ia didraf dalam cara yang tidak telus dan tidak demokratik, yang muncul daripada mesyuarat eksklusif 26 pemimpin politik, padahal Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dianggotai oleh lebih 190 negara ahli.

Kami berasa kesal, khususnya berhubung amalan tidak demokratik dan tidak sah satu kumpulan kecil untuk merangka teks di luar medan rundingan biasa, dengan membelakangkan sejumlah besar negara anggota lain termasuk Malaysia.

Perjanjian itu membayangi usaha keras selama bertahun-tahun kumpulan-kumpulan di bawah UNFCCC dan Protokol Kyoto (KP).

Memandangkan Perjanjian itu tidak diterima pakai dalam Rundingan Pelbagai Pihak di Copenhagen, tetapi sekadar “diambil perhatian”, terdapat pula kempen untuk “mengaitkan” negara-negara ahli dengan perjanjian tersebut.

Perjanjian itu tidak dapat diterima kerana ia akan mengubah imbangan hak dan tanggungjawab di kalangan negara-negara maju dan membangun yang menganggotai UNFCCC.

Perjanjian itu menggantikan model mitigasi Protokol Kyoto (iaitu mengukuh dan mencukupkan sasaran agregat dan individual kebangsaan) dengan sistem perakuan sukarela dan unilateral oleh setiap negara maju, tanpa sebarang semakan dibuat mengenai kecukupan sasaran kebangsaan atau implikasi daripada paras agregat mereka.

Negara-negara maju yang sepatutnya menunjukkan kepimpinan dalam mengurangkan pengeluaran asap ternyata mengabaikan tanggungjawab mereka dalam Protokol Kyoto dengan menggalakkan Perjanjian Copenhagen.

Perakuan yang dibuat oleh negara-negara maju hanya membabitkan 11-19% pengurangan dalam pengeluaran asap sedangkan Panel Antara Negara mengenai perubahan Iklim menuntut sekurang-kurangnya 25-40% pengurangannya menjelang tahun 2020 berbanding paras pada tahun 1990. Banyak negara membangun termasuk Malaysia telah menggesa pengurangan sekurang-kurangnya 40% menjelang 2020 berbanding paras tahun 1990.

Perjanjian Copenhagen juga meletakkan tanggungjawab mitigasi yang lebih besar ke atas negara membangun berbanding yang dipersetujui dalam Pelan Tindakan Bali atau dalam konvensyen itu sendiri.

Hanya USD100 bilion telah dipersetujui untuk digerakkan di bawah perjanjian tersebut untuk mengetengahkan langkah-langkah mengawal perubahan iklim tetapi ini jauh daripada apa yang dianggarkan oleh pihak PBB iaitu sekurang-kurangnya dalam lingkungan USD500 hingga 600 bilion.

Lanjutan daripada rundingan mengenai isu iklim di Bonn April lalu, teks baru untuk mengadakan rundingan telah disiapkan untuk rundingan pada Jun nanti. Banyak perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut sudah tergambar dalam teks baru itu sebagai pilihan untuk pihak-pihak yang terbabit mengadakan rundingan, berikutan desakan negara-negara maju.

Dengan mengaitkan diri dengan Perjanjian tersebut, Malaysia kini mengikat dirinya sendiri dalam proses rundingan. Justeru itu, ia mengurangkan kemampuannya untuk mengambil tempat iaitu demi kepentingan negara.

Malaysia tidak akan mengalami kerugian jika tidak mengaitkan diri dengan Perjanjian Copenhagen tetapi sebaliknya akan menikmati keuntungan kerana ia lebih berpeluang untuk memutuskan apa yang terbaik untuk negara dan penduduknya dalam usaha mengawal perubahan iklim.

Tambahan pula, Malaysia tidak akan bersendirian dalam hal ini kerana sejumlah besar negara membangun tidak menyokong perjanjian tersebut.

Perjanjian Copenhagen tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara, tetapi lebih kepada melemahkan tanggungjawab negara-negara maju yang sedia ada dan sebaliknya mengubah beban itu kepada negara-negara membangun.

Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada tekanan daripada negara-negara maju tetapi sebaliknya terus kekal menolak Perjanjian Copenhagen itu atau sekurang-kurangnya tidak mengaitkan diri dengannya.

Jika perjanjian itu diterima, ia akan menjejaskan usaha-usaha untuk menjaga kerjasama di peringkat antarabangsa secara adil dan saksama berhubung perubahan iklim.


S M Mohamed Idris

Presiden

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.