Perkasa desak lembaga pengarah Sime Darby letak jawatan

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 15 Mei — Kesemua ahli lembaga pengarah Sime Darby Berhad harus meletakkan jawatan bagi memikul kerugian RM1.63 bilion yang direkodkan berikutan lebihan kos dalam beberapa projek tenaga dan utiliti konglomerat itu.

Desakan itu dibuat pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa atas alasan beban tanggungjawab tidak harus diletakkan pada bahu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid semata-mata, yang telah diminta bercuti sementara kontraknya berakhir 26 November ini.

Selain itu, Perkasa juga mendesak kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas termasuk jika perlu suruhanjaya diraja untuk menyiasat ‘krisis’ korporat terbaru negara ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mahu isu itu diselesaikan secara kolektif dengan kesemua ahli lembaga pengarah Sime Darby meletakkan jawatan.

Dalam siri kritikan terhadap kelemahan diperlihatkan oleh agensi kerajaan, Perkasa yang ditubuhkan lebih setahun lalu berpendapat, berdasarkan kerugian dalam bentuk projek pelaburan itu tidak mustahil hanya membabitkan ketua eksekutif kumpulan.

“Urusan pelaburan, projek atau sebagainya mesti melalui keputusan ahli lembaga pengarah, ahli lembaga pengarah yang terlebih dahulu sepatutnya memperincikan sebelum meluluskan sesuatu projek pelaburan.

“Tidak boleh hanya persalahkan ketua eksekutif. Semua sekali mesti bertanggungjawab dalam perkara ini,” kata Ibrahim selepas Majlis Pelancaran Perkasa di Sekolah Kebangsaan kebakat, Wakaf Baru dekat sini lewat malam tadi.

Kelmarin, Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam mengumumkan kerugian itu sambil berkata Zubir telah diminta bercuti manakala tempatnya akan dipangku oleh Naib Presiden Eksekutif (Perladangan) Datuk Azhar Abdul Hamid.

Musa berkata, berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).

Ibrahim yang menyifatkan kerugian tersebut sebagai satu tragedi membabitkan masalah prinsip kerana ia adalah sebuah GLC dipimpin oleh warga korporat Melayu.

“Ini bukan masalah kecil. Ini masalah prinsip sebab Sime Darby adalah GLC iaitu syarikat kepunyaan kerajaan yang melabur dalam Sime Darby dan dipimpin oleh korporat Melayu.

“Bila peristiwa seperti ini berlaku sudah tentu kita semua orang Melayu rasa malu dengan tragedi ini,” kata Ibrahim sambil menambah, pihaknya tidak dapat menerima jika seorang sahaja diminta berundur dan meletakkan jawatan.

“Dengan itu kita tidak dapat terima kalau hanya CEO letak jawatan, meletakkan CEO sebagai kambing hitam tak boleh, pada saya semua sekali mesti kena letak jawatan,” katanya dengan tegas.

Sehubungan itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas mendesak agar kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas menyiasat secara telus punca kerugian konglomerat ini.

“Termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, bahkan jika perlu suruhanjaya diraja mesti ditubuhkan kerana angka ini (kerugian) bukan satu jumlah yang kecil... besar.

“Ini betul-betul memalukan, jadi kita hendak tahu sebab kerugian adakah kerana adanya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau sebagainya,” katanya.

Bahkan hasil siasatan punca kerugian tersebut, tegas Ibrahim wajar didedahkan kepada umum kerana ia juga melibatkan hak rakyat.

“Sime Darby adalah syarikat GLC iaitu syarikat kepunyaan kerajaan, jadi bila sebut kerajaan maka di situ adanya rakyat, maka RM1.63 bilion itu juga adalah wang rakyat, cukai rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan kerugian tersebut bakal menjadi satu topik akan dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

“Sudah semestinya isu Sime Darby akan menjadi topik hangat akan dibangkitkan di Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Semalam, OSK Research Sdn Bhd berkata, punca bagi masalah Sime Darby adalah kerana syarikat itu adalah terlalu besar dan terlalu dipelbagai untuk diurus dan dikawal dengan betul.

Oleh kerana itu, adalah tidak wajar untuk menyalahkan kos konglomerat yang berlebihan sebanyak RM964 juta itu dipertanggungjawabkan kepada Zubir semata-mata.

Kelemahan kawalan dalaman dalam konglomerat bukan sesuatu yang baharu seperti dalam insiden sebelumnya, kerugian dagangan di ladang Sime Darby yang menyebabkan pengawal kewangan syarikat diganti, kata OSK.

“Sementara kami mempersetujui bahawa seorang ketua pegawai eksekutif dipertanggungjawabkan bagi kerugian syarikat yang besar itu, kami percaya dalam kes Sime Darby ini, memang terlalu mudah untuk mempersalahkan beliau,” katanya.

Jika Sime Darby terus dilanda kerugian daripada satu segmen ke segmen yang lain, penyelesaian yang hanya wajar ialah untuk memecahkan kumpulan itu kepada unit-unit yang lebih strategik untuk diuruskan, kata OSK.

OSK menambah, jika diandaikan kerugian RM964 juta itu berada pada tahap bersih, unjukan tahun kewangan 2010 akan dicantas sebanyak 35 peratus kepada RM1.743 bilion daripada unjuran terdahulu RM2.707 juta.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.