Rosli Dhobi Pejuang Kemerdekaan Sarawak Dipinggirkan SUPP-BN

Oleh Dzulkarnain Taib

SIBU 14 Mei - Nama Rosli Dhobi harum sebagai pejuang bangsa terulung Sarawak namun memori anak kelahiran Sibu ini hanya menjadi satu lipatan dalam sejarah Bumi Kenyalang tanpa sebarang penghargaan kepada nama beliau mahupun keluarga terdekat daripada kerajaan negeri SUPP-Barisan Nasional setelah 50 tahun mengorbankan nyawa agar negerinya bebas daripada penjajahan.

Kenangan yang wujud mengenai Rosli hanyalah sebuah rumah keluarga yang sederhana besarnya di Jalan Jasmin, Kampung Bandong yang didiami oleh kakak beliau, Yak Fatimah Dhobi, 81 tahun.

Rasa sebak dan sedih terpancar daripada raut wajah wanita yang sudah dimamah usia ini tetapi ingatan dan kenangan bersama adik tersayang masih segar dan tidak liputan daripada memori Yak Fatimah.

"Rosli seorang yang rajin belajar dan taat kepada kedua ibu bapanya. Dia seorang yang berani dan sayangkan kepada ilmu. Selepas balik dari sekolah dia terus ke biliknya membuat kerja sekolah.

"Dia juga suka berbakti kerana selepas belajar disekolah pada sebelah pagi, Rosli akan mengajar di sekolah rakyat di Sibu pada sebelah petang," kata beliau ketika dikunjungi Suara Keadilan semalam.

Mengimbau kembali peristiwa 50 tahun dahulu yang menimpa adik kesayangan beliau yang ketika itu muda belia pada usia 16 tahun, Yak Fatimah berkata Rosli ditangkap penjajah Inggeris setelah menikam Gabernor Inggeris Sarawak yang kedua, Sir Duncan George Stewart dengan sebilah pisau beracun pada 1948.

"Mereka berempat bermesyuarat malam sebelum peristiwa berdarah itu dan apabila ditanya siapa yang sanggup membunuh gabernor itu hanya Rosli yang mengangkat tangan.

"Dia ditangkap sementara kawan-kawan lain lari dari tempat kejadian. Rosli dihantar ke Penjara Kuching sehinggalah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati," kata beliau lagi.

Rosli bersama-sama tiga rakan beliau, Morshidi Sidek Awang Ramli Amit Awang Matsarudin dan Bujang Suntong di gantung sampai mati di Penjara Kuching pada 2 Mac 1950 dan dikebumikan di perkarangan penjara tersebut.

Setelah 46 tahun bersemadi di Kuching, keempat-empat pejuang kemerdekaan itu disemadikan semula pada 2 Mac 1996 dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak,berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.

Dikatakan ketika keranda yang dibaluti bendera negeri Sarawak membawa tinggalan jenazah mereka, hujan renyai-renyai turun di Kuching dan Sibu seolah-olah meratapi kepulangan pejuang anak bangsa yang mengorbankan jiwa dan nyawa mereka demi ibu pertiwi.

Rosli serta rakan seperjuangannya menanggotai Pertubuhan Rukun 13, sebuah organisasi rahsia yang mensasarkan pegawai kolonial Inggeris di Sarawak.

Rosli dilahirkan pada 1932 di Kampung Pulo, Sibu yang selain Yak Fatimah beliau mempunyai seorang adik lelaki bernama Ainie.

Ditanya mengenai penghargaan yang diberikan kepada Rosli oleh kerajaan BN atas pengorbanan besar beliau untuk memerdekan bumi Sarawak, Yak Fatimah termenung sebentar melontarkan pandangan mata redupnya jauh ke luar halaman rumah sebelum berkata,"tapak rumah ini diberi oleh penjajah Inggeris kepada keluarga kami beberapa tahun selepas peninggalan Rosli. Itu sahaja yang kami dapat selama ini. Tidak ada selain itu. Kami ada mohon kepada pejabat tanah untuk kurangkan sedikit premium tanah ini hampir RM400 setahun tapi kata kakitangan di situ,'kalau makcik mahu orang lain juga mahu yang sama'," kata beliau yang mempunyai 13 anak dan lebih 50 cucu dan 20 cicit.

Beliau juga sedih apabila mengenangkan bagaimana masyarakat satu ketika dahulu memandang serong terhadap keluarga Rosli yang dilabel sebagai 'keluarga pembunuh'.

"Saya rasa sayu dan sedih. Ibu dan ayah saya tidak sempat jumpa Rosli kerana pihak penjara berkata beliau akan digantung pada pukul 5 pagi tapi apabila mereka tiba di Penjara Kuching sebelum masa tersebut hukuman sudahpun dijatuhkan.

"Ibu saya pengsan setiap kali beliau mengenangkan Rosli," kata Yak Fatimah lagi.

Walau bagaimanapun cucu saudara Rosli, Nadiah Abang Abu Bakar, 10, menyatakan beliau amat berbangga mempunyai seorang datuk saudara seperti Rosli.

"Saya pun mahu menjadi seorang pejuang seperti Rosli," kata Nadiah.

Sebagai menghargai pengorbanan Rosli, Pakatan Rakyat akan mengadakan majlis tahlil di rumah Yak Fatimah pukul 4 petang hari ini.

Ini diikuti dengan 'Malam Memperingati Pejuang Rakyat - Rosli Dhobi' pada pukul 7 petang dengan dihadiri Ketua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan ceramah.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.