Kerugian Sime Darby Mungkin Lebih RM1.63 Bilion

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 14 Mei - Parti Keadilan Rakyat menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung kerugian RM1.63 bilion yang ditanggung syarikat konglomerat kaitan kerajaan, Sime Darby Berhad.

Kerugian berlaku akibat lebihan kos berpunca dari kegagalan tiga projek minyak gas di Qatar dan projek Empangan Bakun di Sarawak.

Projek di Qatar membabitkan pembinaan platform di lapangan minyak Bulhanine dan Maydan Mahzam bagi dilaksanakan untuk Qatar Petroleum yang telah melebihi kos sebanyak RM500 juta.

Satu lagi projek sama yang dilaksanakan untuk Maersk Oil Qatar (MOQ), yang diperoleh pada Januari 2007 dan dijadual siap pada Oktober 2009, juga mengalami kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian RM526 juta bagi tahun kewangan 2010.

Bagi projek Bakun pula, dianggarkan potensi kos tambahan sebanyak RM450 juta akan ditanggung oleh Sime Darby bagi tahun kewangan semasa.

Ekoran itu, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Mursyid diarah bercuti sehingga tamat tempoh kontraknya oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula berjanji skandal kerugian itu tidak akan ditutup.

Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, beliau percaya kerugian kos yang ditanggung oleh Sime Darby dianggarkan lebih daripada yang didedahkan kepada umum.

"Kerajaan menyatakan jumlah kerugian yang ditanggung Sime Darby ialah RM1.63 bilion, tetapi saya menjangkakan kerugian sebenar lebih daripada yang dinyatakan kerana tempoh perakaunan yang diberikan mungkin hanya disedari kerugian setakat itu.

"Kerajaan pastinya melaporkan kerugian yang minima tetapi saya tidak menolak kemungkinan jumlahnya adalah sekali ganda dari yang diumumkan," katanya kepada Suara Keadilan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.