Sambutan Hari Belia Negara 2010, Kerajaan Negeri Pakatan Diketepikan

TANAH MERAH 12 Mei - Kerajaan PAS Kelantan kecewa kerana tidak dijemput menyertai majlis sambutan Hari Belia Negara 2010 peringkat kebangsaan di Putrajaya selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata tindakan itu boleh menggagalkan hasrat kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan matlamat gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, Kelantan bersama negeri-negeri lain di bawah pakatan pembangkang termasuk Selangor, Kedah dan Pulau Pinang tidak dijemput menyertai perayaan itu.

"Kami juga tidak pernah dipanggil untuk menyertai mesyuarat berkaitan pembangunan sukan negara," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana dianaktirikan dalam banyak perkara, termasuk dalam bidang sukan.

Beliau mendakwa Exco yang bertanggungjawab bagi pembangunan sukan di negeri yang ditadbir pakatan pembangkang juga tidak diajak berunding oleh kerajaan pusat mengenai pembangunan sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) dan jika ada penyertaan pun ia dikendalikan melalui Majlis Sukan Negeri.

Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.