SPRM sedia siasat PM berhubung ‘janji’ Sibu

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


Abu Kassim berkata semua “aduan politik wang akan disiasat”. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak telah melakukan kesalahan pilihan raya dengan menjanjikan bantuan kewangan sebagai balasan menyokong calon Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil Sibu.

Ketua Pesuruhjayanya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed berkata pihaknya akan menyiasat apa sahaja aduan yang dibuat termasuk yang membabitkan Perdana Menteri.

“Semua aduan berkaitan politik wang akan disiasat oleh SPRM. Kami akan menyiasat selagi aduan yang dibuat itu berkaitan dengan politik wang,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri forum Transparency International Malaysia.

Minggu lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika dihubungi The Malaysian Insider mendakwa ia tiada kuasa menyiasat isu yang dibawa oleh DAP, antara lain berkata ia terletak di bawah bidang kuasa SPRM.

“Ini adalah tanggungjawab kita. Kami kena menyiasat siapa yang datang kepada kami dan aduan berkaitan dengan politik wang atau apa sahaja yang berkaitan dengan rasuah,” kata Abu Kassim.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali pula menambah aduan dibuat menyentuh tentang kenyataan Najib.

“Ya, kami ada menerima beberapa aduan daripada beberapa pihak ketika pilihan raya kecil.

“Jadi, kami telah memulakan siasatan. Kami akan menyiasat mana-mana parti (terlibat),” katanya.

Menurut beliau, pihaknya ada menerima dua aduan, masing-masing satu ketika di Hulu Selangor dan satu lagi di Sibu.

“Jadi, kami mengambil tindakan ke atasnya,” katanya.

“Kami ada menerima beberapa aduan dan kami akan mengambil tindakan.

“Aduan dibuat terhadap kenyataan dibuat perdana menteri,” katanya.

Najib membuat janji itu saat-saat akhir sebelum kempen berakhir di kubu kuat DAP bahawa akan menyediakan peruntukan RM5 juta bagi projek mitigasi banjir di Rejang Park jika calon BN menang.

“Jika Robert Lau menjadi Ahli Parlimen pada hari Ahad, pada Isnin saya akan meminta supaya cek disediakan. Boleh kita buat perjanjian? Kita buat! Anda mahukan RM5 juta, saya mahukan Robert Lau menang,” kata Najib yang juga Pengerusi BN ketika kempen ceramahnya itu.

Karpal mendakwa kenyataan Najib itu sesuatu yang “memalukan” dan “tidak pernah berlaku” sebelum ini.

“Saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat Perdana Menteri. Ia satu kesalahan yang serius. Ia sangat jelas. Beliau berkata ‘kita adakan perjanjian, jika Robert Lau menang, kami akan memberi anda RM5 juta’,” kata beliau dengan merujuk kepada peruntukan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Kerusi itu dimenangi calon DAP.

Mustafar berkata, SPRM kemungkinan mempertimbangkan untuk memanggil Najib bagi tujuan siasatan.

“Bukan sakarang, tetapi jika perlu sudah pasti kami akan memanggil sesiapa sahaja intuk diambil keterangan dan relevan kepada kes ini,” katanya lagi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.