40 peniaga bantah 109 tapak bazar diambil syarikat besar

KUALA LUMPUR: Seramai 40 peniaga bazar Ramadan Masjid India membabitkan 109 tapak yang didakwa sebagai hak penjaja kecil, kini diambil alih syarikat besar yang membeli tapak berkenaan hingga dikatakan menggugat rezeki mereka.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Bahrim A Razak, berkata berikutan pengambilan kaki lima oleh beberapa syarikat besar itu, mereka kini hilang mata pencarian apabila tidak berpeluang mendapatkan tapak jualan.

Katanya, jika dulu mereka bebas berniaga selepas diberi hak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan tapak jualan, tetapi kini hak mereka diketepikan selepas syarikat besar mengambil bahagian.

“Akibatnya, ramai peniaga kerugian dan ada di antaranya orang kurang upaya (OKU) seramai 20 orang.

“Saya harap pihak berkenaan prihatin nasib peniaga kecil dengan memberi peluang kepada kami untuk berniaga di kaki lima bukan menghalau kami seperti orang asing,” katanya ketika membuat bantahan di Masjid India, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamad Jakel, menolak dakwaan peniaga kecil terbabit kononnya gedung tekstil itu mengambil beberapa tapak bazar Ramadan di kawasan berkenaan.

Katanya, lima tapak di depan premis Jakel dan tujuh di depan syarikat pemegang francaisnya, Sri Pertiwi Textiles Industri (M) Sdn Bhd mendapat kelulusan DBKL dengan lesen sah.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.