Penjelasan Ke Atas Penarikan Balik Gelaran "Temenggong"

1. Laporan agensi berita Bernama bertajuk “Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik” bertarikh 30 September 2010 di bawah adalah dirujuk.

2. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, di antara perkara yang paling pahit untuk dilakukan di dalam dunia ini ialah untuk menegakkan kebenaran terhadap ayahanda bonda dan kaum kerabat kita sendiri.

3. Namun begitu, walau betapa pahit sekalipun ia, ia tetap juga perlu dilakukan sebagai mematuhi:

(i) Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Nisa’: Ayat 135)

(ii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya”.

(iii) Sabda Rasulullah, mafhumnya: “Demi Allah! Jika anakku Fatimah sekalipun yang mencuri nescaya tetap akan aku potong tangannya”.

4. Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, tidak pernah terniat untuk memusuhi apalagi untuk mengaibkan adinda Baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra, sebaliknya, tindakan Baginda ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada perasaan kasih sayang yang teramat sangat Baginda terhadap adinda Baginda ini.

5. Tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini adalah didasarkan kepada kesedaran Baginda untuk memenuhi tuntutan Allah yang menghendaki Baginda memastikan diri Baginda dan keluarga Baginda sentiasa dipelihara dari mendapat kemurkaan Allah dan seterusnya memastikan mereka sentiasa berada di dalam keredhaan Allah selaras dengan Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah al-Tahrim: Ayat 6)

6. Selain daripada selaras dengan kehendak agama, tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini juga adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) (versi bahasa Inggerisnya, Laws of the Constitution of Kelantan (Second Part)), iaitu:

(i)
43. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam Negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan, dan jika perkara mengadakan mana-mana Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan itu akan mengenai perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, maka mustahaklah mendapat kebenaran Dewan Negeri.

versi bahasa Inggerisnya:

XLIII. (1) His Royal Highness is the fountain of all honours and dignities within the State and He alone may confer titles and dignities and institute Orders and Badges of Honour and Dignity, and if the conferment of any title and dignity or the institution of any Order or Badge of Honour and Dignity will involve expenditure out of the Consolidated Fund, the approval of the Legislative Assembly shall be necessary.

(ii)

44. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai hak mengada, melantik dan menggelar daripada kerabatnya, sama ada yang jauh atau yang dekat, seorang lelaki menjadi Bendahara atau Temenggong atau Laksamana atau Panglima dan mengkurniakan kepada mana-mana orang lain, sama ada Kerabat D’Raja atau lainnya, akan mana-mana gelaran yang pada zaman dahulu telah ada atau telah biasa dipakai dalam Negeri Kelantan.

versi bahasa Inggerisnya:

XLIV. (1) His Royal Highness has the right to create, appoint and nominate from among His relatives, whether distant or near, a male person to be Bendahara or Temenggong or Laksamana or Panglima and to confer upon any other person, whether royal or otherwise, any title which in former times existed or commonly used in the State of Kelantan.

(iii)

45. (1) Maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia bolehlah menurunkan pangkat mana-mana orang yang telah dikurniakan kepadanya mana-mana pangkat atau gelaran atau Pingat-Pingat Kehormatan mengikut syarat-syarat Perkara 43 atau 44 Bahagian ini, jika ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan yang mengharuskan diperbuat demikian itu.

versi bahasa Inggerisnya:

XLV. (1) His Royal Highness may degrade any person upon whom any rank or title or order or badge of Honour has been conferred by virtue of the provisions of Articles XLIII and XLIV of this Part, if sufficient fault or offence has been committed so as to make such degradation just and expedient.

7. Kami di The Kelantan Insider tidaklah berhasrat untuk mendedahkan “fault or offence” yang telah mewajarkan tindakan Sultan Muhammad Ke-V ke atas adinda Baginda ini kerana walau apa sekalipun Tengku Muhammad Fakhry Petra masih lagi merupakan adinda Baginda.

8. Pada masa yang sama, bagi mengelakkan Sultan Muhammad Ke-V dari menerima tohmahan berlaku tidak adil ke atas adinda Baginda ini, perlulah kami nyatakan di sini bahawa “fault or offence” ini adalah diperakui oleh Kerajaan Negeri Kelantan sendiri, termasuklah oleh Penasihat Undang-Undangnya.

9. Kepada mereka yang masih juga tidak berpuas hati dengan penjelasan kami ini, sila rujuk kembali kepada posting kami bertarikh 10 April 2010 bertajuk “POSTING 3: A DOCUMENT SPEAKS A THOUSAND WORDS” untuk mencari jawapannya.

10. Akhirnya, sukalah ditegaskan bahawa hubungan persaudaraan di antara Sultan Muhammad Ke-V dan adinda Baginda masih berkekalan sepertimana kata bidalan Melayu, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”. Kita menunggu tiba saatnya tatkala Baginda dan adinda Baginda akan bertaut kembali sepertimana kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudara Baginda yang berbunyi, mafhumnya: “Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: “Wahai ayahku! Inilah dia ta’bir mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar; dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku tatkala Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari desa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya; sesungguhnya Dia-lah yang Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana”. (Surah Yusuf: Ayat 100)

Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry Ditarik Balik

30 September 2010 15:01 PM

KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik pelantikan dan penganugerahan gelaran "Temenggong" dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang ditauliahkan kepada adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini setelah surat pemakluman itu diserahkan kepada kakitangan Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini, 10 pagi tadi.

Mohd Aiseri berkata Sultan Muhammad Ke-V turut menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi) yang dianugerahkan sebelum ini kepada Tengku Muhamad Fakhry.

"Penarikan telah dimaklumkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini melalui surat kepada beliau yang dialamatkan di Istana Mahkota, Kubang Kerian," katanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Petra manakala Sultan Muhammad Ke-V adalah yang sulung.

-- BERNAMA

[Sumber]

1 comment

joecharlie said...

Sultan Muhammad Ke-V dan adinda Baginda masih berkekalan sepertimana kata bidalan Melayu, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”ataupun carik-carik bulu ayam, gelaran dah TIADA juga

Powered by Blogger.