Kenyataan rasis: Pemuda MIC mahu KSN ambil tindakan tegas ke atas pegawai kanan awam

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PUTRAJAYA, 29 Sept — Pemuda MIC menggesa Ketua Setiausaha Negara mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai kanan awam termasuk yang terbaru anggota Biro Tata Negara (BTN), yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman agar ia menjadi pengajaran kepada kakitangan kerajaan lain.

Setiausahanya C. Sivarraajh berkata kenyataan yang dikeluarkan pegawai awam seolah-olah mencerminkan imej sebenarnya pentadbiran negara yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Isu perkauman yang dimainkan oleh pegawai awam ini dilihat masih berterusan, sebelum ini ada pengetua dan guru besar yang keluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Yang terbaru pula pegawai kanan BTN yang turut menjadikan isu perkauman ini sebagai modal mereka.

“Jadi kita harap supaya Ketua Setiausaha Negara dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat sebagai pengajaran kepada kakitangan awam lain untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya selepas menyerahkan memorandum di pejabat Ketua Setiausaha Negara di sini.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Sulit Ketua Setiausaha Negara Nordziah Mohamed.

Sivarraajh berkata Pemuda MIC memandang serius terhadap isu tersebut yang dilihat tiada kesudahannya.

“Kita memang memandang serius akan perkara ini kerana sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian diambil untuk mengatasinya.

“Jadi kita harap dengan tindakan tegas yang diambil ia boleh menghentikan pegawai-pegawai awam daripada keluarkan kenyataan sedemikian.

Tambahnya, kakitangan awam terutamanya golongan pendidik tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan kaum lain.

“Seoarang pendidik tugasnya adalah mendidik perkara yang baik-baik bukan mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.

“Sepatutnya mereka memberikan tumpuan kepada agenda pendidikan yang dilihat sebagai platform untuk melahirkan warga profesional,” katanya yang turut diiringi ahli jawatankuasa tertinggi Pemuda MIC.

Sebelum ini Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Inshah Mansor, Kulai, Johor dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Selambau, Kedah, Ungku Aznan Ismail Ungku Ismail didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Siti Inshah didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata nasib Siti Inshah akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan keputusan siasatan akan dibentangkan selepas Aidilfitri.

Terbaru Timbalan Pengarah Belia Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan Hamim Hussain telah mengeluarkan kenyataan bahawa hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas,” kata Hamim pada majlis dialog anjuran Puteri Umno baru-baru ini.

“Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran,” tambah beliau.

Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.

“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.

Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin MIC dan DAP sambil menyifatkan konsep 1 Malaysia yang dibawa Najib menjadi ‘mangsa’ tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga berkata tindakan timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong BTN secara terbuka sebelum ini juga memudaratkan idea 1 Malaysia digerakkan perdana menteri.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam juga mengecam kenyataan-kenyataan bersifat menghina masyarakat bukan Melayu itu hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkembangan tersebut.

Subramaniam juga bimbang kenyataan-kenyataan itu akan dianggap sebagai menggambarkan pendirian pentadbiran Najib, yang sudah tentu akan merosakkan imej beliau selaku perdana menteri.

Selain itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub juga mengecam kenyataan yang dibuat Hamim sambil menyifatkan ia adalah imej sebenar Umno untuk memecah-belahkan semua kaum di negara ini.

No comments

Powered by Blogger.