Kenyataan Kuan Yew Berniat Perlekeh Najib

Oleh IZMAS

PADA penghujung tahun lapan puluhan, Lee Kuan Yew (ketika itu masih menjadi perdana menteri Singapura) telah melontarkan idea supaya Singapura lebih baik menyertai Malaysia semula. Penganalisis politik tempatan berpendapat lontaran idea Kuan Yew itu bermaksud mencelikkan kesedaran rakyatnya terutama keturunan Cina supaya lebih setia kepada tanahairnya Singapura dibandingkan kehidupan rakyat keturunan Cina di Malaysia yang menurutnya lebih susah dan tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.


Pada ketika itu dikatakan kesetiaan dan kesedaran rakyatnya terutama anak muda kaum Cina berkurangan dan kebanyakan mereka lebih suka berhijrah ke luar negara untuk mendapat kebebasan bersuara yang lebih dan kehidupan selesa dibandingkan hidup di negara sendiri yang amat terkongkong dan tiada kebebasan dalam ertikata sebenarnya.

Pada awal tahun sembilan puluhan, beliau menggemparkan negara apabila menuduh Johor negeri yang kotor, penuh dengan jenayah dan tidak selamat untuk dilawati dan didudukki. Mesej beliau dilihat pemerhati politik bermaksud sebagai amaran kepada rakyatnya tidak kira kaum terutama orang Cina dan Melayu supaya menjauhkan diri dari negeri Johor yang kebetulan amat gemar dan kerap dikunjungi rakyatnya dengan tujuan membelibelah, melabur, membeli harta, makan angin dan makan-makan (terutama makanan laut!).

Tuduhan beliau itu mendapat reaksi spontan keras dan kemarahan dari rakyat Malaysia khususnya warga Johor yang menganggap Kuan Yew menghina pentadbitan kerajaan negeri Johor termasuk Paduka Sultannya. Menurut cerita, Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar turut murka dan mengirim bantahan meminta pemerintah Singapura menjelaskan tuduhan melulu Kuan Yew itu yang dianggap keterlaluan dan tanpa usul periksa.

Terbaharu, beliau dalam temubual dengan Seth Mydans dari akhbar New York Times mengecam sistem politik di negara ini yang menurutnya mengamalkan diskrimanasi kaum, menyisihkan kaum bukan Melayu dengan dasar memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu.

Kecaman beliau itu sudah disifakan bukan saja sebagai percubaan mencampuri urusan politik dalam negara ini, malah dianggap sebagai satu hasutan yang cuba melaga-lagakan perasaan perkauman di antara kaum terbesar di sini serta membantu merungkaikan ikatan sosial di Malaysia. Kenyataan beliau itu berpotensi untuk menyemarakkan perasaan marah orang Cina Malaysia yang ketika ini baru mula memahami dan mendekati konsep 1 Malaysia saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau seolah-olah tidak senang dengan keamanan dan kestabilan yang dinikamati negera di bawah PM baru dengan kenyataannya yang cuba menghasut orang Cina di sini supaya menuntut hak keadilan mereka sebenarnya sedangkan beliau sedar bahawa peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial sudah menjelaskan kedudukan istimewa orang Melayu yang tidak boleh dipersoal dan kedudukan kaum minoriti yang tetap terpelihara.

Apakah maksud sebenar Kuan Yew melontarkan kenyataan itu ketika negara ini sudah mula pulih dari bencana politik tsunamai PRU ke 12 lalu yang menyaksikan kebangkitan desakan dan tuntutan kaum bukan Melayu yang agak keterlaluan dalam beberapa isu yang sudah menyentuh kesabaran orang Melayu? Adakah beliau cuba menuang minyak ke atas api yang sedang menyala dan ingin melihat negara ini kacaubilau dan tidak aman?

Penulis berpendapat tuduhan dan kenyataan Kuan Yew kali ini lebih kepada perasaan kesal dan cemburu beliau kepada situasi di negara ini yang sudah jauh berubah setelah diterajui oleh seorang perdana menteri baru yang tidak boleh dipengaruhi dan diperlekeh seperti PM sebelumnya. Harus disedari banyak perancangan Kuan Yew - melalui rakan karib dan kuncu-kuncunya di zaman PM Abdullah - yang menemui jalan buntu setelah Abdullah bersara termasuk percubaan Siangapura dalam pelaburan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, penguasaan saham dalam GLC milik Khazanah dan banyak lagi projek ekonomi yang menghampakan beliau.

Setelah peralihan kuasa berlaku dengan begitu pantas dari tangan Abdullah kepada Najib, cita-cita, perancangan dan strategi beliau untuk mempengaruhi kepimipnan negara ketika itu tergendala. Rancangan beliau gagal dan tidak kesampaian dengan kebolehan PM Najib yang dilihat lebih cerdik dan berkemampuan dari PM sebelum beliau.

Kuan Yew juga sedar kebolehan dan populariti Najib sudah menyaingi kebolehan anaknya, PM Lee di peringkat antarabangsa seperti yang diakui sendiri penganalisis kewangan dan politik antarabangsa termasuk dari barat. Beliau sedar tidak mudah memperlekeh Malaysia di bawah Najib yang boleh menandinggi semua perancangan ekonomi negara jiran itu . Tidak seperti di zaman PM sebelumnya yang menganggap pemimpin Singapura sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan membenarkan menteri-menterinya mentadbir bersama dalam Jawatankuasa Bersama Pembangunan Iskandar Malaysia di Johor yang sudah ditolak Najib.

Najib mempunyai kewibawaan dan idea ekonomi, sosial serta pembangunan sendiri yang sukar dipengaruhi pemimpin Singapura termasuk gagasan 1Malaysia yang cuba diperkenal untuk merapatkan jurang perbezaan antara kaum utama di negera ini selepas berlakunya tsunami PRU ke 12 lalu. Gagasan Najib mula mendapat sokongan kaum India dan Cina berfikiran terbuka yang sedar tentang konsep kesederhanaan dan kewujudaan kebelbagaian kaum di negara ini yang perlu ditangani secara bijaksana dan berhemah.

Kenyataan terbaharu Kuan Yew dilihat sebagai percubaan menganggu gagasan Najib itu dengan kenyataan melulu beliau yang sengaja bertujuan menghasut orang Cina supaya bangkit menuntut hak yang lebih adil dan saksama sedangkan hal itu tidak mungkin berlaku berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada.

Kenyataaan beliau berbau rasis dan sebenarnya lebih tidak adil layanannya kepada orang Melayu di Singapura. Sebagai orang yang pernah lama hidup dan belajar di kota Singa, penulis lihat banyak hak istimewa orang Melayu yang dinafikan sebagai anak watan asal negara itu yang sudah dijamin Perlembagaan republik itu . Di mana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sekolah aliran Melayu di negara itu? Kenapa orang India yang membentuk 5 peratus mendapat 3 jawatan menteri penuh sedangkan orang Melayu yang membentuk 15 peratus sekadar mendapat satu jawatan menteri padahal orang Melayu adalah anak asal negara itu yang sepatutnya diberikan lebih hak? Kenapa jawatan Presiden diberi kepada orang bukan Melayu yang sepatutnya menjadi hak mutlak orang Melayu?

Sebenarnya Kuan Yew tidak layak bercakap soal keadilan dan kesaksamaan hak sesuatu bangsa di negara ini kerana beliau lebih menyimpan perasaan perkauman, tidak adil dan lebih tidak bertimbangrasa dari pemimpin Melayu di negara ini. Banyak penafian hak yang dilakukan Kuan Yew terhadap rakyatnya terutama kaum muda seperti kebebasan bersuara, memberi pendapat secara bebas dan kebebasaan menulis yang amat terhad. Tulisan yang mengkritik sedikit dasar pemerintah apalagi menyentuh kelemahan diri beliau, keluarga dan kabinetnya semuanya dihalang dengan pelbagai tindakan yang tidak boleh dibayangkan.

Semua wartawan dan penulis harus menulis berupa pujian kepada kejayaan beliau, sanjungan kepada parti PAP dan dasar pemerintah Singapura serta tidak boleh menyentuh hal-hal politik yang mengkritik kelemahan pemerintah serta pemimpinnya. Beberapa kawan wartawan yang pernah berani bersikap kritikal mempertikai hak istimewa orang Melayu diberi amaran dan diminta berubah atau menghadapi tindakan keras. Setengahnya diberhentikan kerja dengan cara halus yang sudah diketahui umum seperti hidup di zaman komunis. Tidak kurang yang mengambil jalan mudah dengan berhijrah dan bekerja di negara ini untuk mengelak tindakan yang tidak terduga dari Kuan Yew.

Tidak ada kebebasaan bersuara, menulis dan bercakap sebenar-benarnya di kalangan rakyatnya seperti yang dinikmati rakyat di negara ini yang jauh lebih bebas dan terbuka. Dalam konteks ini, kenyataan dan tuduhan Kuan Yew jelas tidak berasas dan berupa luahan perasaan dendam kesumat yang masih terpendam dalam lubuk hatinya setelah ditendang keluar dari Malaysia dan gagalnya konsep Malaysian Malaysianya. Kenyataan beliau sudah terkena dan tertempias ke muka sendiri!

No comments

Powered by Blogger.