Cadangan Takiyuddin Perlu Disokong

ADA 'kuliha'nya juga cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan supaya kerusi Galas yang kosong kini diserahkan saja kepada Pas. Umno tidak payah bertanding. Katanya Takyuddin kalau benar Umno yang melaungkan soal perpaduan kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada Pas sebagai bukti keikhlasannya.

Kalau cadangan itu menjadi realiti ia boleh mengurangkan pergeseran antara kedua buah parti tersebut. Saya nampak cadangan itu ikhlas dan postif. Ia bukan bermakna Pas takut menghadapi pilihan raya berkenaan. Dan jika Umno sedia bermain politik secara profesional ia juga tidak merugikan parti berkenaan, malahan akan dilihat sebagai bijak.

Sebelum ini pun Umno pernah tidak bertanding di pilihan raya kecil Dun Penanti di Pulau Pinang. Umno menggunakan alasan kerana kerusi itu bukan kosong kerana kematian tetapi disengajakan disebabkan PKR ingin menguji kedudukannya. Walhal apa yang berlaku kekosongan kerusi Penanti itu apabila Adunnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Dr Mansor Othman menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Walaupun kerusi Galas kosong kerana kematian wakilnya, Che Hashdim Sulaima Isnin lalu, tidak jadi masalah kalau Umno mengambil sikap positif. Banyak faedah dan untungnya kalau Umno sedia memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Pas. Pertama ia boleh mengendurkan ketegangan antara Pas dengan Umno seperti mana kata Takiyuddin. Kedua ia boleh menyelamatkan banyak wang rakyat dan juga kerajaan. Ketiga sikap politik terbuka dan jilah itu boleh menguatkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Selalunya dalam pilihan raya kecil kedua parti akan mengeluarkan wang yang banyak. Tenaga dan masa juga banyak dihabiskan di sepanjang berkempen. Kerajaan (SPR) juga terpaksa menggunakan wang yang banyak. Bukan itu saja kerajaan harus membayar elaun polis, tentera dan pegawai-pegawai lain yang terlibat menjaga keselamatan di sepanjang pilihan raya berkenaan.

Sekiranya tiada pilihan raya perbelanjaan ini semua boleh dijimatkan dan tidak akan berlaku pembaziran.

Bukan itu saja, sudah sampai masanya parti politik negara ini bersikap profesional dan waras. Tidak mengikut perasaan dan hawa nafsu. Di pihak Umno khasnya perlu menyedari walaupun mereka memerlukan kemenangan bagi menunjukkan kekuatan di Kelantan, tetapi kemenangan itu tidak membawa apa-apa erti. Kedudukan Pas di DUN Kelantan begitu selesa waktu ini. Lainlah kalau kerusi itu milik Umno, ia perlu dipertahankan demi menjaga maruahnya.

Dalam hal ini begitu juga dengan Pas. Sekiranya berlaku kematian di kerusi Umno, Pas hendaklah memberi laluan mudah kepada Umno. Biarlah Umno memiliki semula kerusi itu tanpa tentangan Pas. Sama seperti kedudukan Pas hari ini kalau Umno terus memiliki kerusinya ia tidak menjejaskan kedudukan Pas selaku kerajaan.

Saya rasa persefahaman politik sebegini disukai ramai orang. Ketegangan yang berlaku semasa pilihan raya kecil kadang membawa kepada hal-hal jenayah sesuatu nyang dikesalkan dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Mungkin Umno akan berkata kalau pun mereka memberi laluan, pilihan raya tetap juga akan diadakan. Sudah pasti akan ada mereka yang teringin gambar mereka diletak dipokok kayu akan bertanding sebagai calon bebas. Tidak mengapa kalau itu berlaku. Calon bebas apalah sangat yang ada kepada mereka.

Hari ini kemunculan calon bebas tidak dipadang sebelah mata pun oleh pengundi negara ini. Rakyat hanya memilih dua parti saja, sama ada BN atau Pakatan Rakyat. Betapa bebas cuba mempamerkan dan mengatakan mereka ada agenda - membela itu dan membela ini orang akan tetap menganggap ianya sebagai pengacau. Apa lagi mereka yang menjadi calon bebas itu wibawa dan syaksiahnya boleh dipersoalkan.

Duhai parti politik Pas dan Umno mulailah sesuatu yang baik itu dalam pilihan raya kecil Galas ini. Ia memang sukar untuk dimulakan begitulah fitrah alam ini. Tetapi setelah ia dimulakan selepas itu ia akan jadi perkara biasa. Lakukanlah perubahan ke atas senerio politik kita.

http://msomelayu.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.