Bersama bendung bunuh diri di kalangan Muslim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya seorang hamba apabila dia berdiri sembahyang, maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua-dua bahunya, maka setiap kali dia rukuk atau sujud berjatuhanlah dosa-dosanya itu." (Riwayat Atthabarani daripada Ibnu Umar r.a.)
***

SAYIDINA Ali k.w. dilaporkan pernah berkata, didiklah anak kamu untuk zamannya. Ya, zaman sudah berubah, seorang guru memberitahu saya, suasana sekolah sekarang amat berbeza berbanding zaman persekolahannya pada tahun 70-an dan 80-an dulu.

Budak-budak sekarang ‘tidak makan saman’, rintihnya. Kurang ajar mereka sudah keterlaluan, kebanyakannya tidak hormat langsung kepada guru-guru. Dulu hampir tiada langsung kes murid hamil, sekarang perkara itu bagai tidak dapat disorok-sorok.

Nampaknya, negeri Melaka mencatat satu lagi sejarah apabila mewujudkan sebuah sekolah bagi murid hamil yang dinamakan Sekolah Harapan. Malah lima pelajar dilaporkan sudah mendaftar dan memulakan persekolahan di situ.

Selain berleluasanya perzinaan yang membawa kehamilan, salah satu perkara dahsyat yang tidak terfikirkan dulu ialah semakin ramai orang Islam membunuh diri.

Perkembangan ini amat membimbangkan; oleh itu pemimpin negara, agamawan dan ibu bapa malah seluruh anggota masyarakat perlu bermuhasabah diri, mengkoreksi salah dan silap dan dalam mendidik generasi baru sehingga tergamak sejumlah individu membunuh diri.

Kes mati mengejut terbaru membabitkan seorang pengasas produk kecantikan manakala tidak lama dulu seorang tokoh politik dikatakan menembak dirinya selepas menembak mati pembantunya, seorang wanita.

Apabila kita menatap akhbar, kerap dilaporkan individu mati yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut, antaranya terjatuh daripada bangunan tinggi, terjerut lehernya (gantung diri), mengambil pil berlebihan malah ada yang meminum racun atau membakar diri. Demikian juga mereka yang sengaja mencari kebinasaan diri dengan memandu kenderaan secara membabi-buta, mereka mahu membunuh diri melalui kemalangan jalan raya.

Mengapa kejadian mati mengejut ini semakin meningkat sedangkan dalam Islam, tindakan membunuh diri diklasifikasinya sebagai salah satu dosa besar. Apa dimaksudkan dengan dosa besar adalah suatu pelanggaran terhadap perintah dan larangan Allah SWT yang menimbulkan kerugian dan kerosakan terhadap diri sendiri dan orang lain yang bersifat besar.

Allah SWT tidak suka terhadap hamba-Nya yang berbuat dosa. Oleh kerana itu pelaku dosa diancam oleh Allah SWT dengan hukuman baik waktu masih berada di dunia terlebih lagi di akhirat. Hukuman di dunia adalah musibah binasa dan di akhirat berupa seksaan api neraka yang sangat dahsyat.

Firman Allah SWT, bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, pada hal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.” (Q.S. Yunus (10): 13)

Firman-Nya lagi, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang berdosa kekal di dalam azab neraka Jahannam.” (Q.S. Az Zukhruf (43): 74)
Antara dosa besar itu adalah membunuh dan juga membunuh diri. Membunuh diri yang menjadi sasaran adalah dirinya sendiri seperti gantung diri, minum racun, terjun ke jurang dan dengan cara apapun hukumnya adalah haram dan dosa besar. Firman Allah SWT dalam surat An-Nisa ayat 29 difirmankan: ertinya: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”

Membunuh diri merupakah satu kesalahan yang terlalu besar. Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana dijelaskan oleh Nabi s.a.w.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang bunuh diri sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia, tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati membunuh diri sebagai mengikut perbuatan Nabi s.a.w. dan sebagai pengajaran kepada orang lain.

Daripada Jabir bin Samurah, Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Didatangkan kepada Nabi s.a.w. jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyembahyangkan untuknya." (Muslim)

Orang membunuh diri dikatakan berbuat demikian kononnya bagi mengakhiri penderitaannya tanpa menyedari bahawa dia akan mengalami azab berkekalan di akhirat kelak. Derita yang dialami di dunia pasti akan berakhir tetapi tidak demikian halnya di akhirat, ia adalah berkekalan buat selama-lamanya.

Seorang ustaz dalam kelas pengajian mingguannya di masjid berhampiran rumah penulis kerap mengingatkan jemaah agar tidak berputus asa dalam kehidupan. Salah satu faktor orang membunuh diri adalah kerana sudah berputus asa sedangkan Allah SWT Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang menyediakan jalan keluar kepada setiap permasalahan dan bersedia mengampunkan hamba-hamba-Nya yang bertaubat selepas melakukan dosa termasuk dosa besar.

Diriwayatkan seorang pemuda yang menodai mayat seorang wanita muda, diampunkan Allah, demikian juga seorang penyamun yang telah membunuh 99 orang, kemudian menggenapkannya kepada 100 orang. Pendeknya, pintu taubat Allah SWT sentiasa terbuka tetapi dengan syarat orang yang merayu pengampunan itu masih hidup.

Diriwayatkan Firaun yang ditenggelamkan di Laut Merah pada zaman Nabi Musa a.s., sebelum ajal mengakui keagungan Allah SWT tetapi semuanya sudah terlambat disebabkan nyawanya sudah hampir melayang daripada badan.

Maka bagi orang yang membunuh diri, bagaimana mereka boleh bertaubat apabila nyawanya sudah berpisah daripada badan? Itulah paling ditakuti kerana selepas kematian, seksaan yang dihadapi berkekalan.

Demikian dahsyatnya balasan untuk orang membunuh diri, tetapi dengan perkembangan membimbangkan sekarang ini, setiap anggota masyarakat terutama agamawan, pemimpin dan ibu bapa perlu berperanan dan berusaha keras bagi membendung perkara menakutkan ini.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.