Perlu jadi Melayu paling berjaya

SAYA terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan isu kejayaan orang Melayu termasuk surat Dedah maklumat terperinci bagi papar kemajuan Melayu oleh Hazman Haji Jamil (BH, 22 September).

Kita telah berpisah daripada Malaysia dan menjadi watan berdaulat selama 45 tahun. Apakah kayu ukur yang digunakan untuk meyakinkan masyarakat kita bahawa kita sudah maju dan berjaya hingga ke tahap cemerlang?

Kita harus berasa bangga dengan prestasi yang sudah dicapai tetapi harus dibuktikan dengan maklumat yang nyata. Umpamanya, kalau pada zaman bapa saya menjadi guru lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris sudah membanggakan masyarakat kita, apakah kayu ukur sekarang yang layak menjadi penilaian kita?

Pemerintah serta Anggota Parlimen (AP) Melayu sering mendedahkan perangkaan yang menunjukkan kepincangan dan kejayaan masyarakat Melayu/Islam.

Namun, berapa banyakkah daripada sekitar lebih setengah juta orang dalam masyarakat kita yang digolongkan sebagai miskin, sederhana dan kaya?

Apa yang sangat kita khuatiri tentulah golongan orang kita yang terpinggir. Kita harus jujur dan bersedia menerimanya serta mengambil tindakan sewajarnya untuk mengeluarkan mereka daripada lingkaran ini andai kata kekhuatiran ini menjadi kenyataan.

Dengan kedatangan tenaga kerja asing yang berpendidikan dan berbakat, bolehkah masyarakat kita menyaingi mereka? Apakah daya usaha masyarakat kita untuk mengatasi persaingan yang sengit untuk mendapat kedudukan yang selesa di negara sendiri?

Banyak pertayaan yang boleh saya kemukakan lagi, tetapi dengan seribu pertayaan tanpa huraian akan membuat kita menemui jalan buntu dan bersikap pesimis.

Dari itu, saya sokong saranan diadakan bancian terperinci supaya kita kenal pasti kedudukan kita yang sebenarnya. Untuk anggota masyarakat kita yang belum mencapai kejayaan, mereka harus dibimbing hingga berjaya. Bagi yang sudah berjaya, mereka juga harus dibimbing hingga lebih berjaya sehingga ke tahap cemerlang.

Saya syorkan agar Mendaki atau Angkatan Karyawan Islam (AMP) memainkan peranan dengan membuat kajian dan bancian terperinci ke atas masyarakat Melayu/Islam dan paparkan dapatannya tanpa selindung, jujur serta tulus.

Daripada hasil kajian tadi, kita boleh atur strategi yang bersepadu dengan sokongan serta kerjasama seluruh pertubuhan Melayu/Islam dan masyarakat kita sendiri.

Kita harus buktikan Melayu/ Islam Singapura adalah masyarakat yang paling berjaya dalam rumpun Nusantara.

Rahmat Sulaiman

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.