Sikap dolak dalih, cakap tak serupa bikin seorang pemimpin — Mutalib Azman

27 SEPT — Ketika ini seluruh negara heboh bercerita tentang Ketua Menteri, Lim Guan Eng guna duit haram untuk basmi kemiskinan di Pulau Pinang.

Bayangkan duit RM100 yang diberikan Guan Eng kepada warga emas termasuk umat Islam sebenarnya hasil wang judi.

Kepada orang bukan Islam adalah tidak menjadi masalah untuk mereka menerima wang daripada hasil judi. Tetapi bayangkan ahli keluarga Islam yang menerima wang tersebut.

Bagi orang Islam, wang dari hasil judi adalah haram dan tidak boleh dibelanjakan atau dibeli bahan makanan.

Tindakan pemimpin DAP itu jelas dan terang sebagai satu penghinaan kepada orang Islam di Pulau Pinang.

Saya masih ingat lagi kerajaan Guan Eng merupakan pihak yang paling lantang dan awal membantah judi bola sepak ketika kecohnya isu pertaruhan judi bola hendak dilaksanakan ketika berlangsungnya Piala Dunia 2010.

Tetapi hari ini, jelas satu pembohongan dan cakap serupa bikin oleh kerajaan negeri yang kononnya menentang judi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pihak tertentu dan Pemuda Umno yang mendakwa sumbangan Kerajaan Negeri kepada warga emas dan waris mereka adalah dari hasil judi.

Guan Eng menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

Beliau menggesa Umno yang menyokong kuat pelaksanaan lesen judi sukan supaya insaf dan memperbetulkan kegelinciran moral dalam parti mereka.

Dari laman Twitter-nya, Guan Eng menyifatkan tuduhan Pemuda Umno itu adalah perbuatan munafik.

Kerajaan negeri menganggap dakwaan itu muslihat Umno menyerang kepimpinan Guan Eng selepas gagal dalam isu sebutan namanya dalam khutbah di Pulau Pinang.

Pada saya, dengan bermodalkan RM100 warga emas cuba diperbodohkan.

Ini kerana para penerima sumbangan harus mendaftar sama ada sebagai ahli DAP atau pun penyokong pakatan pembangkang, kemudian barulah mereka diberi “pengiktirafan” RM100.

Wang kerajaan negeri iaitu wang rakyat yang berjumlah RM7.5 juta ditabur untuk membeli pengaruh.

Apa perlunya borang penghargaan yang perlu diisi oleh penerima sumbangan yang mana terdapat ruangan nombor pendaftar pemilih? Kemudian terdapat ruangan kawasan Parlimen dan DUN.

Dalam usaha memperbodohkan warga emas, pihak DAP berjaya mengutip puluhan ribu maklumat warga emas dengan hanya bermodalkan RM100.

Warga emas Pulau Pinang diperbodohkan kononnya ia adalah hasil ihsan kerajaan negeri yang berjaya menghapuskan rasuah maka wang lebihan dikembalikan kepada rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata sumbangan itu adalah hasil dari pendekatan jimat cermat yang diamal kerajaan negeri sejak Mac 2008.

“Pada 2008 perbelanjaan yang berhemah dan sikap jimat cermat oleh kerajaan negeri, daripada peruntukkan sebanyak RM318.56 juta yang dibelanjakan hanya RM283.15 juta. Penjimatan sebanyak RM35.41 juta atau 11 peratus telah digunakan untuk manfaat warga emas dan waris mereka yang kehilangan ibu dan bapa.

Tetapi kini semua sudah terbongkar. Guan Eng akhirnya mengesahkan bahawa kerajaan negeri menggunakan dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Dari segi moral, sikap dolak dalih, cakap tak serupa bikin seorang pemimpin seperti Guan Eng tidak boleh dipercayai lagi. — Utusan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.