Mampukah 'Tiga Abdul' bangkitkan Umno Selangor?

Oleh IDRIS SAMAD

ADA satu program yang Umno Selangor lakukan sekarang. Program ini sebenarnya program 'sesak nafas' namanya. Siapa yang sesak nafasnya, kita bincang kemudian tetapi, nampak sangat, disebabkan terdesak dan sesak, maka mereka anjuran 'road show'.

Mulanya, di pentas itu, yang berceramah hanya Dato' Noh Omar dan 'pasangannya' Mohd Ezam Md Nor. Tetapi, apabila dikritik, atas dakwaan Noh sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor tidak sehaluan dengan bekas Menteri Besar (MB), Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, maka kehadiran Khir ditagih.

Hakikatnya, Umno Selangor yang kini diterajui Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sudah 'sesak nafas'. Mereka sedar, pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sudah memberi petunjuk, orang Melayu belum mahu kembali menyokong Umno dan BN.
Ketika membawa bersama Perdana Menteri (PM) dan bekas PM berkempen membantu calon BN di Hulu Selangor, kemenangan BN yang tidak mampu mengurangkan undi pembangkang benar-benar mengecewakan Najib.

Sesak nafas Umno Selangor dibuatnya. Mereka melihat, tanpa bas dan makan percuma, parti pembangkang sentiasa mampu menarik audien mendengar ceramah mereka.

Di sebelah BN, bukan sahaja disediakan bas dan makan, malahan memberi t-shirt, payung, topi dan duit kocek sekali, mereka masih tidak mampu menarik minat.

Pernah sekali, mereka anjurkan Juara Rakyat. Juga di Hulu Selangor. Selepas itu, mereka secara senyap-senyap menyesal kerana menghabiskan banyak duit untuk menyewa khemah dan menganjurkan program termasuk penyanyi dan pelawak, ia masih tidak mampu menarik perhatian.

Maka, kini dengan slogan mahu selamatkan Selangor, 'Tiga Abdul' ini bergerak atas pentas ceramah. Kata Noh, tiap sudut pembangkang akan kena kerana 'silat dan kuntau' mereka bertiga sudah mampu untuk berdepan dengan sesiapa sahaja.

Malangnya, kehendak rakyat tidak ditunaikan. Secara senyum bekas Bendahari Umno Negeri Selangor, Dato' Adnan Buyong bercakap kepada sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, "bukan bercakap di pentas ceramah boleh menyelesaikan masalah. Memenuhi permintaan rakyat sebenarnya lebih elok dilakukan."

Dalam erti kata lain, Adnan yang berpengalaman bekerja di bawah tiga Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Khir nampak Umno kini banyak membuang masa dengan strategi yang silap.

Menurutnya, kita menyelesaikan masalah dengan mulut, rakyat menjawab masalah dengan undi. Adnan tahu bahawa penceramah Umno, Noh, Khir dan Ezam hanya berceramah dengan pemegang jawatan dalam parti.

Ketua bahagian, ketua cawangan, ketua pemuda, wanita dan puteri, selain ahli jawatankuasannya, yang sudah pasti kehadiran mereka dipaksa.

Ini yang dikatakan sesak nafas. Umno sudah tenggelam punca. Serba-serbi tidak menjadi. Berceramah, kepada kawan-kawan sendiri. Malahan, berceramah pula hanya kerana mahu menafikan mereka tidak bermasalah antara satu sama lain.

Umno Selangor sebenarnya ketandusan pemimpin. Selepas ketiadaan Muhammad dan Abu Hassan, Umno kelihatan seperti teraba-raba mencari pelapis. Mereka menamakan Khir sebagai tokoh muda tetapi sikap dan keletahnya tidak diterima rakyat Selangor.

Di peringkat Pusat mereka mahu menonjolkan Noh dan Mohamad Zin Mohamad, bekas Menteri Kerja Raya tetapi Noh masih kekal tetapi Zin sudah digugurkan dari jawatan. Malahan, heboh orang bercakap Zin terlibat dengan perniagaan kurang betul dari Bangladesh.

Sejauh mana kebenaran tuduhan ini, tiada siapa yang dapat mengesahkan tetapi apabila Zin digugurkan Najib, ada yang mengatakan tentunya ada hal yang tidak kena terhadap diri Zin yang menyebabkan dia terpelanting.

Noh sedang membina imej. Itulah sebabnya, sesekali melihat Noh berpakaian, macam seniman pula. Jika seluarnya hijau, kasutnya juga hijau...sepadan kononnya. Tetapi itu bukan watak pemimpin, itu adalah watak artis.

Suatu ketika kegarangan Noh menyebabkan dia dipindahkan dari jawatannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Kementerian Pelajaran – tetapi ada yang mengatakan ia ada kaitan kontroversi seorang VIP yang ditahan pihak berkuasa di sebuah pusat SPA.

Hari ini, mereka bertiga atau 'Tiga Abdul' ini berjalan serentak dengan naik pentas yang sama, berceramah.

Sejauh mana ia akan bertahan, tiada siapa yang tahu. Lebih penting, Najib tentunya mahu tahu apakah hasil daripada kerja ceramah yang mereka lakukan. Apakah dapat menarik balik sokongan atau, ia sekadar aktiviti politik supaya tidak menampakkan Umno Selangor lesu dan kaku.

Najib juga tentunya mahu melihat kesannya. Jika ia baik, mengapa tidak digunakan strategi yang sama di negeri-negeri yang Umno sudah rebah seperti Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Perak.

Malangnya, masa yang diambil untuk menafikan kerenggangan hubungan Noh dengan Khir sudah memakan masa yang agak panjang sebelum mereka 'melakonkan' semula watak berbaik antara satu sama lain.

"Kami tak ada masalah" dia dipetik sebagai berkata.

Malahan, orang-orang Umno di Selangor sendiri ketawa geli hati apabila melihat gelagat kedua-dua pemimpin Umno ini.
Dulu Khir jadi ketua bahagian, Noh jadi timbalan. Mereka datang dari satu bahagian. Tetapi kemudiannya, mereka berpisah, Noh kekal di Tanjung Karang sebagai ketua dan Khir menjadi ketua bahagian di Sungai Besar.

Khir kalah dalam usaha merebut jawatan Ketua Pemuda Umno, tetapi Noh menang bergaya sebagai Ahli MT. Khir dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang di Dun Selangor tetapi tidak dilantik menduduki kerusi MT.

Jika Najib berminat untuk menawan kembali Selangor, sepatutnya negeri yang mempunyai 22 kawasan Parlimen (22 bahagian Umno) ini sepatutnya mempunyai seorang pegawai di Ibu Pejabat Umno.

Dulu Muhammad pernah dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno, tetapi selepas Muhammad digugurkan, Najib tidak menggantikannya dengan orang Umno Selangor. Najib lebih suka membawa masuk ramai orang Johor dalam MT, termasuk Ketua Penerangan yang diberikan kepada Datuk Ahmad Maslan (Pontian).

Padahal dari Johor, yang menang sahaja sudah memadai mewakili suara Johor. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Timbalan Presiden), Hishammuddin Hussein (Naib Presiden), Dr. Abdul Latif Ahmad (MT). Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda (dilantik menjadi Ahli MT) dan Datuk Abdul Ghani Othman (dilantik sebagai Ahli MT).

Rata-rata melihat sekarang, apakah Noh, Khir dan Ezam akan membawa apa-apa perubahan kepada senario politik Umno Selangor atau ketiga-tiga mereka nanti ditolak dalam pilihan raya akan datang. -

No comments

Powered by Blogger.