Anifah Aman Kata Khairy Mencari Publisiti Murahan

Duta Besar Malaysia Ke Indonesia Tidak Akan Dipanggil Pulang - Anifah Aman

PUTRAJAYA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia tidak akan dipanggil pulang kerana tindakan itu hanya akan memburukkan hubungan harmoni antara kedua-dua negara yang terjalin sekian lama, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Mengulas saranan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, beliau berkata gesaan tersebut bertujuan mencari publisiti murahan yang tidak akan membawa apa-apa kebaikan.

"Memanggil duta kita pulang adalah langkah terakhir sebelum kita memutuskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Saya tidak pasti sama ada Khairy tahu atau tidak mengenai perkara ini.

"Dia mungkin seorang yang pandai, tapi tidak bermakna dia seorang yang bijak," katanya pada sidang media di Wisma Putra, di sini hari ini.

Khairy sebelum ini menggesa agar Wisma Putra memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan sekiranya rundingan mengenai jaminan keselamatan Kedutaan Malaysia di Jakarta gagal mencapai kata sepakat.

Beliau turut mendakwa Anifah sebagai tidak tegas dalam mengeluarkan kenyataan mengenai keselamatan kedutaan Malaysia dan tidak menyampaikan kepada Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa mengenai perkara itu dalam pertemuan kedua-dua pemimpin Isnin lepas.

Mengulas lanjut, Anifah berkata kenyataan Khairy itu menunjukkan Ketua Pemuda Umno tersebut tidak mengikuti perkembangan isu.

"Kita tidak sepatutnya masuk dalam perangkap jenis ini. Dia masih muda dan banyak lagi yang perlu dipelajari mengenai diplomasi," katanya.

Anifah berkata semua pihak harus memahami bahawa dalam isu 'Ganyang Malaysia' oleh Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) bukan perspektif seluruh pemimpin dan rakyat republik tersebut.

Beliau juga berkata sudah tidak ada sebarang tunjuk perasaan dilakukan BENDERA di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sejak Selasa lepas, iaitu satu perkembangan baik yang diharap berterusan.

Dalam perkembangan lain, Anifah menyifatkan bahawa rancangan sebuah gereja di Florida, Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran sebagai memperingati tragedi 11 September sebagai biadap.

"Malaysia mengutuk tindakan itu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang paderi. Saya pasti kerajaan Amerika Syarikat mengetahui pendirian orang Islam di seluruh dunia mengenai perkara ini.

"Wisma Putra akan menyatakan pendirian berhubung perkara ini," katanya. - BERNAMA

1 comment

Unknown said...

Selamat hari raya
http://ijoks2009.blogspot.com/

Powered by Blogger.