Bendera: Jahabar serah kepada peguam

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/11feb/launchmujahid.jpg

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Ketua Pegawai Eksekutif laman web The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq menafikan beliau mempunyai hubungan baik dengan tiga pemimpin Bendera Indonesia sebagaimana yang didakwa oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

"Tidak benar, saya sudah suruh peguam uruskan," kata Jahabar ringkas ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita kononnya Jahabar mempunyai hubungan dengan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang banyak membuat provokasi dan bantahan sehingga menghina negara.

Antaranya membuat bantahan di kedutaan Malaysia di Jakarta dan menghina bendera Malaysia.

Utusan memetik kenyataan anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang mendakwa Jahabar mempunyai hubungan dengan tiga pemimpin Bendera.

“Saya mendapat tahu Jahabar ada hubungan dengan tiga pemimpin kanan Bendera iaitu Mustar Bona Ventura (Koordinator Bendera), Adian Napitulupu dan Serdi Semaun.

“Mungkin hubungan itu bersangkut-paut dengan siri provokasi dan penghinaan ke atas kepentingan Malaysia di Indonesia atau Jahabar sekurang-kurangnya boleh menasihatkan Bendera mengenai hal itu jika benar mereka ada kaitan,” kata Zahrain dan dipetik Utusan Malaysia ini.

Jahabar adalag bekas wartawan NST sebelum menjadi salah seorang editor kepada agensi berita antarabangsa Reuters.

(Gambar: Jahabar (kiri sekali) semasa pelancaran buku tulisan Mujahid Yusof malam tadi)


Beliau melepaskan jawatan di Reuters hujung tahun lepas dan mula menjadi CEO TMI mulai Januari tahun ini.

Semalam Jahabar bersama dengan karyawan TMI dan akhbar politik Siasah melancarkan dua buku tulisan Dr Mujahid Yusof di restoran Wau Penyu, Solaris Dutamas.

Buku 'Kita Kan Orang Malaysia' dan 'Menuju PAS Baru' dilancarkan oleh Dr Abdul Aziz Bari, profesor undang-undang perlembagaan dan pengulas politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

No comments

Powered by Blogger.