Dapsy Selangor Mahu Skandal Pegawai Kewangan Negeri Disiasat

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 5 Sept - Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Selangor menyerahkan memorandum Jumaat lalu bagi mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan skandal kewangan yang melibatkan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Arif Abd Rahman.

Timbalan Ketua Dapsy Selangor, Cheong Siow Foon berkata tujuan pihaknya menyerahkan memorandum tersebut ialah bagi mendapatkan respons Menteri Besar mengenai dakwaan skandal kewangan tersebut yang dikatakan membabitkan penyelewengan sebanyak RM3 juta.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin bagi pihak Menteri Besar.

Menurut Siow Foon, sebuah blog yang dikenali sebagai skandalselangor.blogspot.com mendakwa Mohd Arif telah melakukan penyelewengan dan salahguna kuasa dengan membelakangkan peraturan kerajaan negeri yang sedia ada.

Kata beliau, Pegawai Kewangan Negeri berkenaan telah membuat pelantikan kontraktor secara terus tanpa melalui kerajaan negeri dan tindakan tersebut adalah bertentangan dengan surat pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor.

Tambah Siow Foon, kontraktor yang dilantik dalam satu projek penyelengaraan parit dan longkang di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga tidak mendaftar di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor di mana langkah tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kontraktor lain yang berdaftar.

Beliau berkata pihak Dapsy telah menerima satu dokumen kerajaan negeri bertarikh 9 Julai 2010 beberapa minggu lepas.

Dokumen tersebut diterima daripada beberapa kontraktor yang mendakwa mereka telah dianiaya oleh kerajaan negeri Selangor.

"Ia berkenaan projek penyelenggaraan parit dan longkang di kawasan MPSJ yang melibatkan kos berjumlah RM3 juta di bawah peruntukan Marris dan membabitkan peruntukan sebanyak 27 syarikat yang masing-masing akan memperolehi lebih RM100,000 untuk tempoh setahun.

"Sekali tengok macam surat biasa dan tidak ada apa-apa isu berbangkit tetapi apabila pihak kami menyiasat lebih lanjut, ianya ternyata menyerlahkan penyelewengan dan salahguna kuasa melibatkan pentadbiran kewangan tertinggi kerajaan negeri Selangor dan MPSJ yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah kerajaan yang diwar-warkan sebagai telus dan berintergriti," katanya dalam sidang media selepas itu.

Beliau berkata surat tersebut menyerlahkan sikap rakus dan berkuasanya seorang Pegawai Kewangan Negeri sehingga keputusan boleh dibuat oleh beliau sendiri dengan membelakangkan peraturan yang ada.

"Mungkin juga Datuk Arif masih mengelamun teringat kerajaan yang lama (BN) yang pernah memberi beliau kuasa penuh untuk menyusun senarai kontraktor peribadi yang beliau rasa 'layak' dan mampu memberi pulangan lumayan entah kepada siapa," tegas Siow Foon.

Justeru, Dapsy Selangor mahu kerajaan negeri bersikap telus dengan menyiasat dakwaan ini dan memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakannya di dalam memorandum berkenaan.

Antara lain, Dapsy Selangor mahu penjelasan mengenai apakah sebenarnya prosedur pelantikan kontraktor tersebut, siapakah yang bertanggungjawab memilih senarai kontraktor dan adakah Pegawai Kewangan Negeri berkuasa penuh meluluskan permohonan tersebut tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak terlebih dahulu.

"Menteri Besar perlu memberi penjelasan mengenai skandal pegawai yang terlibat supaya kerajaan negeri bersikap telus dan dedahkan perkara ini untuk pengetahuan rakyat.

"Tan Sri Khalid perlu peka mengenai penyelewengan yang berlaku dan menganggap ianya sebagai satu isu penting kepada kerajaan negeri," jelas beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri harus menyiasat skandal terbabit untuk memastikan kebenarannya agar kerajaan negeri tidak akan dipersalahkan nanti sekaligus bagi memastikan imej dan reputasi kakitangan kerajaan negeri sentiasa bersih.

"Kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menjalankan penyiasatan dan tindakan oleh Tan Sri Khalid sendiri amatlah di hargai supaya Selangor bebas daripada rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan," katanya.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Selangor juga telah menyerahkan memorandum berhubung skandal ini kepada Menteri Besar pada Julai lalu.

Namun, sehingga kini tiada sebarang jawapan susulan diperolehi daripada pihak kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan selanjutnya, Faekah berkata memorandum itu akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk diambil tindakan.

"Biar Tan Sri adakan pendengaran daripada pihak yang didakwa. Kita perlu dapatkan penjelasan mengenai dakwaan tersebut sebelum membuat sebarang tindakan lanjut," jelas Faekah.

No comments

Powered by Blogger.