Dasar Pembaharuan Najib Hanya Kaya Dengan Akronim

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 3 Sept - Rakyat Malaysia masih tidak dapat memahami pembaharuan ekonomi secara radikal yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meskipun beliau bersungguh-sungguh memperkenalkan pelbagai dasar sejak memegang jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa Reuters, apa yang membimbangkan Perdana Menteri terhadap usaha reformasi yang dilakukannya ialah apabila rakyat Malaysia sendiri mempersendakan akronim setiap dasar yang diperkenalkan beliau.

Ini kerana ada di kalangan rakyat Malaysia yang menggelarkan dasar NKRA sebagai "Najib Kerja, Rosmah Arah" - yang merujuk kepada peranan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat terlalu menonjol melebihi imej suaminya.

Artikel Reuters bertajuk 'Acronym Soup Swamps Malaysia Refrom Drive' bertarikh 25 Ogos itu menyentuh kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri yang memperkenalkan begitu banyak akronim dalam dasar pentadbiran beliau seperti- Model Ekonomi Baru (MEB), Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Special Implementation Task Force (SITF), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Indeks Prestasi utama (KPI).

Reuters menyebut, tanggungjawab bagi pembaharuan ekonomi Malaysia dengan pantas diserahkan Najib kepada Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu) yang bertanggungjawab merumus serta melaksana dasar seperti NKRA dan MKRA (Ministerial Key Result Area).

Meskipun begitu, Pemandu, yang juga membantu memformulasikan Rancangan Malaysia ke-10, bagi mengangkat negara berpendapatan sederhana kepada negara maju menjelang 2020, gagal melakukan rombakan radikal terhadap dasar penarikan balik subsidi kepada rakyat Malaysia.

"Pemandu ialah sebahagian daripada GTP, Program Transformasi Kerajaan, yang juga melibatkan SITF (Special Implementation Task Force).

"Ditambah dengan NKEA (National Key Economic Areas), satu lagi kumpulan pemikir dikenali sebagai EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan tidak terhenti di situ bagi kakitangan awam Malaysia, terdapat lagi Program Transformasi Ekonomi (ETP). DEB dan Model Ekonomi Baru (MEB)," ujar artikel berkenaan.

Menurut Reuters lagi, adalah adil bagi menyoal apa yang diperolehi rakyat Malaysia daripada semua dasar yang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Najib.

"Sementara Malaysia mengalami kesan kemerosotan global dengan pertumbuhan ekonomi 10.1 peratus pada suku pertama 2010 dan 8.9 peratus dalam suku kedua, hakikatnya Najib tidak berjaya membawa perubahan pada Malaysia sepertimana yang beliau janjikan.

Menurut Reuters, Najib sendiri mengakui ekonomi Malaysia berhadapan dengan masalah tenaga mahir dan kos buruh yang semakin ketinggalan kepada China, Indonesia dan Vietnam dari segi perlumbaan untuk membawa masuk pelaburan dan pertumbuhan.

"Pelaburan swasta adalah 12 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar dibandingkan dengan 30 peratus sebelum krisis Asia dan ialah antara terendah di Asia, menurut Bank Dunia. Pertumbuhan produktiviti telah dikurangkan separuh kepada 3 peratus sejak krisis Asia 1998 dan Bank Dunia berkata firma-firma Malaysia kurang inovasi daripada di Thailand, Filipina dan Vietnam," ujar artikel itu.

Menurut laporan itu lagi, pelaburan langsung asing (FDI) jauh ketinggalan berbanding zaman kegemilangan awal 1990 apabila Malaysia mewakili 39.8 peratus kemasukan FDI ke Asia Tenggara.

Bagaimanapun, pada 2009, mengikut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia hanya mewakili hanya 3.8 jumlah kemasukan FDI yang masuk ke rantau itu.

"Momentum pembaharuan Najib yang muncul dengan liberalisasi diserang oleh kumpulan Melayu konservatif yang bimbang hak keistimewaan ekonomi, sosial dan politik mereka di bawah ancaman.

"Rakyat Malaysia dan komuniti pelaburan seluruh dunia sekarang menunggu untuk satu lagi akronim apabila perincian-perincian akhir MEB dan RMK-10 akan diperkenalkan pada September ini serta perundingan awam oleh Pemandau," jelas artikel itu.

No comments

Powered by Blogger.