Deklarasi Semangat Pergerakan Merdeka

Mukadimah

Kami, pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, sempena kemerdekaan 50 tahun di Semananjung Malaysia dan 44 tahun kemerdekaan di Sabah dan Sarawak, bersama merayakan kenegaraan kita dan mendedikasikan kembali diri kita sendiri dan ahli-ahli kami untuk memajukan demokrasi dan kebebasan.

Pada hari ini, dasar-dasar demokrasi dan prinsip asasi kebebasan yang penting, yang begitu susah sekali diperjuangkan untuk dinikmati oleh semua warga Malaysia, telah terancam atau merosot. Misi kita bukan sahaja untuk mengembalikan norma-norma dan amalan demokrasi. Ia juga untuk menegaskan kembali komitmen kita untuk memelihara dan memberi sokongan kepada institusi-institusi dan proses yang penting, yang merupakan ciri-ciri sistem demokrasi yang penuh bersemangat serta berkembang maju.

Kami menyeru semua warga Malaysia untuk menyokong usaha ini dan menyertai kami dalam menggalakkan demokrasi yang utuh, di mana pengasingan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman dapat dikekalkan, dan pengawasan dan pengimbangan untuk menghalang monopoli atau penyalah-gunaan kuasa oleh cabang eksekutif dapat diperkukuhkan. Alternatif lain adalah untuk melihat negara dan rakyat kita tunduk kepada autoritarianisme yang menjurus kepada masyarakat terbelenggu.

Misi Program

Misi program kita bertumpu kepada pemerliharaan dan pengukuhan hak-asasi manusia dan dasar kebebasan yang berasaskan kepada nilai-nilai penyertaan, kebertanggungjawapan, kejujuran, persamaan dan kepelbagaian. Hak-hak asasi, kebebasan dan nilai-nilai ini perlu sentiasa dijaga dan dipelihara oleh warganegara sekalian dan institusi kumpulan berkepentingan yang berautonomi. Selain daripada fungsi-fungsi institusi politik yang aktif, yakni Parlimen dan agensi kerajaan, badan kehakiman, media massa dan organisasi masyarakat madani mempunyai peranan yang penting untuk memajukan usaha demokrasi di Malaysia.

Terdapat enam bidang di mana kemajuan terhadap sistem demokrasi yang kuat dan tidak mudah luntur perlu diberi penekanan. Mereka ialah:

1. Mendokong hak-hak perlembagaan

Hak-hak perlembagaan kita termasuk hak kebebasan peribadi untuk berfikir, membentuk suara hati dan beragama; kebebasan membuat penyataan ide dan mendapat informasi; kebebasan berpersatuan; dan persamaan di bawah undang-undang tanpa diskriminasi. Pelbagai artikel dalam Perlembagaan Malaysia memberikan dasar yang asas terhadap kebebasan ini. Bagaimanapun, peruntukan-peruntukan perlembagaan itu menjadi semakin lemah dalam masa 50 tahun lepas, terutamanya di bawah undang-undang kecemasan yang sudah lapuk.

Supaya hak-hak ini dapat ditegakkan mengikut semangat asal Perlembagaan Persekutuan kita, kami menyeru perundangan berikut dibatalkan:

* Akta Keselamatan Dalam Negara 1960

* Kanun Keseksaan 1958

* Akta Pencegahan Jenayah 1959

* Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969

* Ordinan Darurat (Peraturan-Peraturan Perlu) 1970

* Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan)1975.

* Akta Dadah Berbahaya1985

* Akta Kediaman Terhad 1933

Semenjak Merdeka, perlembagaan persekutuan kita telah banyak kali dirubah. Ini telah melunturkan semangat asal perlembagaan itu. Bahagian-bahagian yang penting dalam perlembagaan asal, seperti hak kewarganegaraan melalui kelahiran, perbezaan di antara saiz daerah yang dihadkan bagi bilangan pengundi dalam sesuatu konstituensi berbanding konstituensi lain, dan pengawasan Parlimen terhadap kuasa darurat telah begitu banyak diubah sehinggakan berbagai perkara utama dalam perlembagaan persekutuan sekarang tidak lagi mencerminkan versi yang asal.

Kami menyeru supaya dinilai semula pindaan kepada perlembagaan yang memansuhkan hak-hak dan kebebasan asasi yang termaktub dalam perlembagaan kita. Pembatalan pindaan-pindaan ini adalah langkah yang amat penting dalam mengembalikan hak-hak dan kebebasan demokrasi.

Kami juga menyeru supaya kerajaan mengesahkan sokongan negara terhadap the International Covenant of Civil and Political Rights, the International Covenant of Economic, Social and Cultural Rights and the Convention Against Torture serta menggabungkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa ini dalam perlembagaan persekutuan dan undang-undang kita.

2. Mengembalikan kebebasan badan kehakiman

Satu ciri teras semua demokrasi tulen ialah pengasingan kuasa cabang-cabang kenegaraan. Untuk mempertahankan hak-hak perlembagaan di Malaysia, konsep teras ini adalah sangat penting dipatuhi. Penggubal-penggubal perlembagaan sengaja meletakkan "teras yang menegaskan kewibawaan dan keulungan undang-undang, kuasa dan tanggungjawab mahkamah untuk membatalkan dan melarang sebarang usaha untuk melemahkan hak-hak asasi (seperti terkandung dalam perlembagaan) sama ada secara perundangan atau tindakan pentadbiran atau cara lain" (Laporan Suruhanjaya Reid, perenggan 161).

Namun, sejak tahun 1988, kebebasan badan kehakiman telah dijejaskan oleh bermacam-macam tindakan yang bertujuan melemahkan kuasa kehakiman dan mengehadkan tanggungjawabnya untuk menjaga, memelihara dan melindungi perlembagaan daripada asakan sebarang tekanan termasuk tekanan eksekutif.

Untuk memulihkan kebebasan dan integriti badan kehakiman, kami menyeru semua warga Malaysia supaya menyokong langkah-langkah berikut:

* Menegaskan pemerintahan berdasarkan undang-undang dan kewibawaan perlembagaan persekutuan
* Menubuhkan suruhanjaya kehakiman yang bebas untuk memastikan kejujuran dan objektiviti dalam perlantikan dan kenaikan pangkat hakim dan menjaga integriti badan kehakiman.
* Memastikan badan kehakiman memiliki bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan apakah suatu perkara yang diajukan kepadanya untuk pengadilan adalah terletak di dalam skop kerjanya mengikut definisikan undang-undang.
* Mengizinkan semua keputusan eksekutif disemak semula oleh badan kehakiman.

Semua warga Malaysia mesti senantiasa berjaga-jaga supaya tidak berlakunya sebarang campurtangan eksekutif yang tidak wajar dalam proses penghakiman. Badan kehakiman yang bergantung kepada pihak lain dan yang boleh dimanipulasikan hanya membawa kepada kelemahan demokrasi.

3. Memastikan pilihanraya yang adil dan bebas

Demokrasi yang tulen bukan sahaja memerlukan semua warga Malaysia memiliki hak memilih dan memecat pemimpin. Ia juga memerlukan proses pilihanraya yang membolehkan pilihan dilakukan secara bebas, dan pemilihan parti dan pemimpin politik agar tidak terpesong pada semua peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan.

Di negara kita, di peringkat kebangsaan dan negeri, manipulasi sempadan kawasan pilihanraya; jurang perbezaan yang ketara bilangan pengundi di antara konstituensi yang bersaiz besar dan kecil; penggunaan alat-alat kerajaan untuk menyokong calon parti politik; semakin berleluasanya kejadian-kejadian 'pengundi hantu', pengundi pos dan pengundi yang tidak hadir semasa pengundian; dan pelbagai kejadian luarbiasa yang tidak beretika telah merosakkan kesahihan proses pilihanraya dan mengurangkan tahap kepercayaan kita terhadap hasil keputusannya.

Kerajaan-kerajaan tempatan adalah bentuk yang paling asas bagi menegakkan nilai demokrasi dan kebertanggungjawaban umum di peringkat masyarakat akar umbi. Pada 2hb Mac 1965, pilihanraya kerajaan tempatan di dalam negara kita telah digantung dengan janji diberikan bahawa ianya akan dipulihkan "sebaik sahaja keamanan diisytiharkan dan perundangan kecemasan ditarik-balik." Kata janji ini masih belum dikotakan. Pada hari ini, kejadian pembaziran secara sistematis, pengurusan yang salah, dan amalan rasuah yang berleluasa dalam banyak majlis-majlis perbandaran mendorong kepada perlunya penyusunan-semula struktur kerajaan tempatan dan wakil-wakil mereka yang tidak dilantik.

Untuk memastikan warga Malaysia mempunyai peluang yang adil dan bebas untuk memilihan para wakil mereka, kami menyeru supaya perkara-perkara berikut disusun-semula:

* Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah artikel 113(4) perlembagaan persekutuan,
* Menegaskan prinsip "satu orang satu undi", sama ada dengan menghadkan jurang perbezaan saiz konstituensi dan melarang 'gerrymandering' kawasan pilihanraya; atau memperkenalkan semula perwakilan berkadar ke dalam sistem pilihanraya,
* Mematuhi prinsip berkecuali di kalangan badan-badan pentadbiran kerajaan, dengan melarang parti pemerintah daripada membeli undi dengan menabur janji pembangunan dan menyalahgunakan kemudahan perkhidmatan awam untuk kegiatan berkempen,
* Memastikan peluang bersuara diberikan kepada media massa secara bebas dan adil dalam liputan mereka tatkala membuat laporan kegiatan-kegiatan parti,
* Menghapuskan pengundian yang menyimpang daripada kebiasaan, dengan membersihkan senarai pengundi, menghapuskan pengundian melalui pos kecuali bagi anggota tentera yang berada di luar negara, dan menggunakan dakwat yang tidak dapat ditanggalkan,
* Memperkenalkan pilihanraya kepada pemilihan perwakilan Dewan Senat sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula Parlimen.

Akhirnya, untuk melindungi proses dan sistem pengundian pilihanraya, pemindaan tahun 1962 terhadap perlembagaan yang membatalkan hak Suruhanjaya Pilihanraya untuk menguat-kuasakan penggarisan kawasan konstituensi secara adil perlu dimansuhkan. Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pilihanraya perlu diberi kuasa penuh untuk menguat-kuasakan keputusannya, serta dibebaskan daripada sebarang tekanan atau pengaruh politik.

4. Memajukan kebebasan media massa

Pertumbuhan media massa yang bebas, adil dan saksama, dan tidak berat sebelah di Malaysia telah dikekang oleh undang-undang ketat. Parti-parti pemerintah memiliki hampir kesemua syarikat media massa manakala pihak pembangkang tidak diberikan ruang untuk menyalurkan berita serta menerbit dan mencetak suratkhabar. Begitu juga, semakin ramai wartawan telah menjadi mangsa kawalan yang dikenakan oleh pemimpin politik dan rakan-rakan kongsi peniagaan mereka, ataupun mereka sendiri membuat laporan berita yang berat sebelah.

Banyak seruan telah dibuat untuk memansuhkan Akta Pencetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, dan undang-undang darurat yang diperkenalkan dalam zaman penjajah dahulu. Undang-undang ini telah lama memenuhi kebergunaanya dan perlu digantikan oleh satu Akta Kebebasan Maklumat yang menjamin prinsip-prinsip asasi kebebasan media, dan menghapuskan halangan-halangan yang menghindar kebebasan maklumat. Di samping itu, perly dipastikan bahawa media massa akan memenuhi tanggungjawab sosial mereka.

Untuk memastikan kebebasan dan integriti media massa kita, kami menyeru supaya ditubuhkan satu jawatankuasa khas Parlimen bagi penyusunan semula perundangan media yang bakal ditanggungjawabkan untuk meneliti:

* Pemansuhan semua undang-undang yang menghalang kebebasan media, termasuk:
o Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984
o Akta Hasutan 1948
o Akta Rahsia Rasmi 1972
* Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat untuk menguatkan hak orangramai terhadap maklumat awa dan memberi perlindungan kepada 'pembongkar rahsia' (whistleblower)
* Pewujudan mekanisma anti-monopoli yang berkesan bagi melindungi kepelbagaian pemilikan dan kawalan dalam industri media massa

5. Menggalakkan penyertaan masyarakat madani



Masyarakat madani memainkan peranan yang penting dalam sistem demokrasi, terutamanya dalam konteks Malaysia di mana kuasa perundangan legislatif tidak dapat mengawal cabang eksekutif dengan berkesan.

Pada hari ini, walaupun terdapatnya undang-undang paksaan yang mengehadkan ruang demokrasi, banyak pertubuhan dan persatuan bukan-kerajaan telah muncul untuk memperjuangkan hak-hak asasi dan kebebasan dalam bidang-bidang sivil, politik, ekonomi, sosial dan budaya. Melalui kegiatan-kegiatan yang memantapkan keketelusan dan kebertanggungjawaban (accountability) serta meningkatkan kesedaran masyarakat awam, pertubuhan-pertubuhan ini telah memainkan peranan yang penting dalam isu-isu berkepentingan awam, dengan memberikan tentangan terhadap unsur-unsur paksaan yang melemahkan norma dan amalan demokrasi.

Untuk membolehkan masyarakat madani bertapak secara bersemangat dan kritis, kebebasan-kebebasan pembentukan suara hati, berpersatuan dan berkumpul mesti dihormati. Kami menyeru pembatalan Akta Kolei dan Universiti 1971, dasar 'Aku Janji' yang membabitkan kakitnagan kerajaan dan universiti serta artikel 141 Kod Hukum Jenayah terhadap hak berkumpul secara aman. Kami seterusnya menyeru supaya disusun-semula undang-undang berikut:

* Akta Pertubuhan 1966
* Akta Persatuan Pekerja 1959
* Akta Polis 1967

Kami menyeru semua warga Malaysia berdiri mendampingi pertubuhan masyarakat madani yang diancam kebebasan mereka untuk berpersatuan dan berorganisasi, berkumpul dan membentuk suara hati.

6. Melindungi dan meraikan kepelbagaian budaya negara kita

Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri dari pelbagai kumpulan etnik, agama, budaya dan bahasa. Dalam pada kami mengakui bahawa adalah sukar untuk membina sebuah sistem demokrasi yang kuat dan teguh kerana terdapatnya rintangan perbezaan besar di kalangan ahli-ahli masyarakat disebabkan faktor persekitaran alam, etnik, sosio-budaya dan lain-lain, maka kami menyeru supaya diterima empat prinsip am yang mampu menyumbang kepada pembinaan demokrasi yang kuat dalam masyarakat majmuk kita.

Empat prinsip am itu ialah:

* Tidak seorang pun warga yang patut didiskriminasikan serta disekat peluang ekonomi dan pendidikan atas alasan etnik, agama, jantina, kelas, tidak-upaya, umur mahupun corak hidup.
* Negara kita patut melabur dana yang secukupnya dari segi pendidikan, penjagaan kesihatan dan lain-lain perkhidmatan supaya segmen masyarakat yang terpinggir dan miskin diberi peluang untuk maju.
* Semua individu, kumpulan dan komuniti perlu saling menghormati antara satu sama lain sebagai warganegara yang setara dari segi hak dan tanggungjawab yang diperuntukkan dalam perlembagaan.
* Membasmikan gejala rasuah yang begitu menular dan berakar umbi serta merosakkan akhlak dan etika negara kita sementara amalan terkutuk ini memperkayakan mereka yang tamak serta tidak berprinsip.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.