Melayu Perlu Bebaskan Minda Daripada Belenggu Umno-BN

SHAH ALAM 1 Sept - Rakyat perlu memerdekakan minda daripada amalan jahiliah yang membelenggukan pemikiran mereka akibat buaya yang di bawa oleh Umno-Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pada majlis tazkirah sempena Ramadhan sebelum majlis berbuka puasa di Markas PAS Seksyen 18 Ahad lalu, bangsa Melayu wajar mengambil ajaran Islam sebagai tonggak perjuangan kehidupan mereka dalam usaha memastikan pemerkasaan bangsa berjaya ditegakkan.

Turut hadir Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selaku Yang Dipertua dan AJK PAS kawasan.

"Kemerdekaan sebenar adalah membebaskan bangsa daripada belenggu penjajahan minda yang terikat dengan ketidak adilan yang diperjuangkan di dalam membela nasib sesuatu bangsa," tegas beliau.

Katanya lagi, inilah masa terbaik untuk umat Islam bermuhasabah diri dan kembali mengambil jalan Islam apatah lagi di dalam bulan Ramadhan yang pada penghujung natijahnya umat Islam mengharapkan untuk mendapat anugerah takwa.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, penurunan Al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun adalah untuk menjawab semua persoalan semasa yang timbul di dalam masyarakat sebelum, semasa dan selepas zaman Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata akibat daripada meninggalkan ajaran dan hukum Al-Quran, kini terbukti semua agama isme, idealogi dan kepercayaan selain Islam gagal menangani segala isu semasa dan konflik masyarakat.

Tambah Abdul Hadi, hanya dengan Islam sahaja bangsa Melayu akan mendapat kekuatan baru yang hilang sejak sekian lama akibat tersalah memilih wadah perjuangan siasah.

"Ketika zaman Nabi Muhammad, semua kaum dan bangsa dapat berhimpun di bawah payung Islam di Madinah dalam keadaan di mana bangsa lain boleh hidup dalam keadaan aman damai sedangkan Islam berkuasa di situ.

“Inilah keadilan yang Islam perjuangkan dan berjaya tunjukkan serta memberi hak kepada semua yang berhak termasuk tidak mengganggu gugat kehidupan bukan Islam ketika itu. Inilah juga iktibar yang mesti dilihat oleh umat Islam masa kini,” jelas beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.