Nasionalkan PAS - Mujahid Menongkah Arus?

Walau pun saya belum berkesempatan memiliki apatah membaca buku baru Dr Mujahid, Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang Dan Dinamisme, namun secara rambang saya dapat menduga fikiran yang terkandung di dalam buku terebut berdasarkan laporan media maya.

Saya yakin, pemikiran Dr Mujahid mewakili pemikiran ramai golongan muda terpelajar di dalam dan di luar PAS.

Harapan yang diletak kepada buku itu ialah, semua persepsi buruk kepada PAS hasil daripada ‘tindakan semasa’ atau ‘respon semasa’ orang-orang PAS terhadap apa yang dikaitkan dengan kebiasaan dan amalan Umno dan kerajaan dapat dikikis.

Misalnya, masih ada orang PAS yang menganggap bangun menghormati lagu Negaraku adalah haram. Dalam suatu mesyuarat, saya pernah dibantah kerana mencadangkan pemakaian baju batik untuk suatu majlis PAS.

Begitu juga dengan pemakaian songkok hitam yang disinonimkan dengan Umno, tak patut dipakai oleh PAS. Semua perkara yang berkait dengan PAS mestilah berwarna hijau dan banyak lagi, meletakkan PAS seolah-olah tersisih daripada aspirasi nasional.

Contoh-contoh di atas adalah contoh-contoh kecil yang terpahat kukuh dalam kepala sebahagian ahli PAS di peringkat akar umbi. Natijahnya ialah, PAS tidak berkembang seperti sepatutnya, PAS menjadi parti ekslusif dan PAS hanya untuk orang PAS.

Malang lagi apabila semua respon biasa ahli PAS itu dikaitkan dengan Islam kerana PAS adalah parti Islam. Akhirnya Islam turut terpalit mungkin secara tidak sengaja dengan ‘pendirian-pendirian’ ahli-ahli PAS itu.

Kesempatan itu diambil oleh Umno untuk melabelkan orang-orang PAS dengan label ekstrim dan macam-macam lagi.

Terbaru ialah tulisan Dr Ridzuan Tee yang masih melabelkan PAS mengkafirkan perlembagaan Malaysia berdasarkan apa yang dinamakan sebagai ‘Amanat Hj Hadi’.

Terus-terang saya katakan, saya bangga dengan Dr Mujahid. Walau pun apa yang ditampilkan ini bukan sesuatu yang baru, ia tetap memberi nafas baru kepada PAS.

Saya percaya ini bukan suatu kerja mudah. Tidak keterlaluan jika saya katakan, dalam kalangan pemimpin PAS pun masih ada yang berfikiran seperti orang PAS pada awal 80 an dahulu.

Kita bukan sekadar memerlukan kepandaian, tetapi juga keberanian. Saya berharap buku ini tidak sekadar menjadi sajian akademik tetapi sesuatu yang realiti.


[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.