Pahang dan Selangor sokong Shamsul Ketua AMK

PETALING JAYA: Sehari selepas Bendahari PKR Terengganu, Mohd Rafizi Ramli mengumumkan bertanding jawatan Ketua AMK, Pahang dan Selangor pula membuat keputusan menyokong Shamsul Iskandar Mohd Akin mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan akhir tahun ini.

Ketua AMK Pahang, Rizal Jamin berkata, negerinya sebulat suara mahu mengekalkan Shamsul kerana prestasi cemerlangnya memimpin AMK sejak 2007.

Shamsul, ketua PKR Melaka mengambil alih jawatan ketua AMK dari Senator Ezam Mohd Nor (kini kembali menyertai Umno) yang tidak bertanding dalam kongres parti di Seremban pada 2007.

Ketika dihubungi, Rizal berkata, "prestasi Shamsul cemerlang kerana dalam tempoh tiga tahun, AMK mempunyai 166 Cabang (Bahagian) di seluruh negara.

"Sekitar tahun 2007, AMK hanya mempunyai antara 30 dan 40 cabang, maknanya dalam kepayahan beliau berjaya menubuhkan begitu banyak cabang AMK."

AMK Pahang mempunyai 14 cabang dan dalam mesyuarat Selasa lalu memutuskan menyokong Shamsul dalam pemilihan ketua AMK kelak.

Selain Mohd Rafizi, beberapa nama lagi dijangka berbuat demikian sedikit masa lagi, antara yang disebut-sebut ialah ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin dan Hasmi Hashim.

Pemimpin akar umbi

Sementara itu, Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, majoriti pimpinan AMK negeri itu akan menyokong Shamsul.

AMK Selangor mempunyai 22 cabang antara terbanyak di Malaysia.

"Shamsul merupakan pemimpin akar umbi AMK, seorang yang mempunyai komitmen dan konsisten dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsul berkata, Khairul Anuar mahu menggilap pemimpin AMK lain supaya menjadi pemimpin besar.

Malah Khairul Anuar sendiri akan bertanding jawatan timbalan ketua AMK untuk berganding dengan Shamsul berikutan penyandang sekarang, Fariz Musa sudah melebihi umur 40 tahun.

Beberapa pemimpin AMK negeri lain yang dihubungi memberitahu mereka belum membuat keputusan sama ada memilih Shamsul atau Rafizi.

Seorang pemimpin AMK Negeri Sembilan pula menyatakan negeri itu menyokong Badrul atau lebih dikenali sebagai CheguBard untuk jawatan ketua AMK.

"Saya harap CheguBard bertanding kali ini setelah menarik diri dalam pemilihan 2007," katanya.

No comments

Powered by Blogger.