Pemasyhuran Sultan Kelantan tak sah, Tuanku Ismail mahu cabar

Oleh Neville Spykerman


KUALA LUMPUR, 20 Sept — Peguam-peguam mewakili Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra berkata, pemasyhuran anakanda sebagai Sultan Kelantan yang baru minggu lalu tidak sah dari segi perlembagaan dan akan dicabar di mahkamah.

“Tuanku Ismail Petra masih Sultan (yang sah) dan kami akan meminta campur tangan Mahkamah Persekutuan,” kata Datuk Param Cumaraswamy.

Pada sidang media khas 14 September lalu, seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra semalam yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

No comments

Powered by Blogger.