Pengadu Tiada Niat Aibkan Norman & Memey

http://www.mstar.com.my/archives/2010/9/3/mstar_hiburan/norman%20hakim.jpg
Oleh SALWA SHA’ARI

KUALA LUMPUR: Tindakan pengadu dalam kes khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza (gambar) membuat kenyataan di akhbar tempatan dan dalam rancangan hiburan Melodi bukan bermaksud mahu mengaibkan kedua-dua pasangan tersebut.

Sebaliknya, Mohd Yusri Abdul Razak berkata, tindakan itu diambil bagi menegakkan kebenaran selepas dia melihat begitu banyak pembohongan dilakukan Norman dan Memey mengenai kes mereka.

“Sebagai orang Islam, saya bercakap yang benar. Siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya,” kata Mohd Yusri semasa disoal oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada Jumaat.

Fakhrul Azman kemudiannya meminta saksi untuk meletakkan diri dalam situasi Norman dan Memey yang mana kenyataan-kenyataan tersebut menunjukkan mereka bersalah sedangkan mahkamah masih belum membuat keputusan.

Dengan selamba, Mohd Yusri, seorang perunding kreatif yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-enam berkata: “Kalau saya, saya akan malu dengan perbuatan saya.”Saksi yang tinggal bersebelahan premis pejabat Norman itu juga bersetuju bahawa kenyataannya di Melodi yang disiarkan pada 29 Mac lalu adalah bersifat subjudis memandangkan ia dibuat semasa prosiding mahkamah masih berjalan.

Bagaimanapun, Mohd Yusri menambah, kenyataan tersebut hanya dibuat selepas pihak media yang mencari dan merayu kepadanya untuk berbuat demikian.

Dia yang terdahulu menafikan marah kepada Norman dan Memey akhirnya mengakui pernah menggunakan perkataan marah dalam kenyataannya selepas Fakhrul Azman memberitahu, beliau boleh memainkan semula rakaman itu yang terdapat di laman web YouTube.

Pada keterangan lain, Mohd Yusri mempertahankan tindakannya memanggil seorang wartawan Harian Metro semasa membuat aduan kepada Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Saya ada sebab tersendiri. Saya rasa patut (memanggil wartawan),” tambahnya yang telah menyuruh wartawan tersebut untuk pulang kerana bimbang tiada tangkapan akan dibuat.

Katanya lagi, dalam usaha mencegah kemungkaran, dia pernah menyindir abang kepada Norman sebelum membuat aduan kepada Jais.

Suasana mahkamah tegang apabila Mohd Yusri mempertahankan penglihatannya jelas meskipun mengintip menerusi satu lubang kecil yang digelar sebagai ‘lubang keramat’ dan ‘lubang ajaib’ oleh Fakhrul Azman.

Saksi itu juga memaklumkan perbuatannya menutup penghawa dingin dan lampu di premisnya pada malam tersebut serta menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Jais adalah bagi merahsiakan identitinya sebagai pengadu diketahui Norman.

Justeru itu, Fakhrul Azman menyamakan perbuatan saksi sebagai seorang pengintip yang mana Mohd Yusri pula membalas: “Itu tanggungjawab saya sebagai orang Islam. Saya mengintip bagi pihak berkuasa.”

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey, pemilik nama Suhaiza Suhaimi, 21, dibicarakan atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada pukul 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.

Pasangan yang bakal bertunang pada Hari Raya ke-empat di Felda Tenggaroh, Selatan 1, Kota Tinggi, Johor kini berhadapan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Syarie dari Jais, Muhamad Nazri Basrawi memohon supaya perbicaraan ditangguh untuk membolehkan beliau meneliti rakaman tersebut dan juga rekod prosiding sebelum memulakan pemeriksaan semula saksi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Salehan Yatim bersambung 24 September ini.

No comments

Powered by Blogger.