PRU-13: BN, Pakatan ‘rebut’ sambutan Hari Malaysia mantapkan pengaruh

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berhimpun di Sabah selama dua hari sempena Hari Malaysia – yang disambut dengan cuti umum julung kali hari ini - dengan harapan mahu memperkukuhkan asas masing-masing menjelang pilihan raya umum ke-13.

Sesetengah mereka melangkah ke negeri jiran Sarawak yang bakal menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri.

Mengenai kedududukan BN Sabah pada keseluruhannya, Datuk Seri Najib Razak berkata, BN Sabah kukuh dan berakar umbi di hati rakyat serta terbukti dengan sambutan mereka terhadap program parti khususnya Program Juara Rakyat.

“Saya berharap jika semua bahagian Umno dan parti-parti komponen BN mengamalkan kaedah yang sama dan semangat yang sama, tidak ada sebab mengapa sokongan rakyat terhadap kita tidak dapat diperkuatkan lagi,” kata beliau di Sandakan hari ini.

Sabah dan Sarawak dilihat menjadi asas kukuh kepada BN mengekalkan kuasa kerajaan persekutuan selepas tewas lima negeri pada pilihan raya umum 2008.

Dipetik Bernama, Najib mengulangi keyakinannya bahawa Sabah masih berupakan “simpanan tetap kerajaan BN” kerana sokongan rakyat tetap kuat terhadap kerajaan perikatan 13 komponennta.

Salah satu komponen BN Sabah iaitu Parti Maju Sabah (Supp) telah meninggalkan BN pada akhir 2008.

Najib berkata, berdasarkan kepada kehadiran antara 40,000 hingga 50,000 rakyat pada Program Juara Rakyat di Sandakan yang dianggapnya sebagai satu rekod yang dicipta Sabah kerana lebih besar berbanding di Hulu Selangor dan ia bukti sokongan akar umbi kepada kerajaan.

Himpunan di Sabah juga digunakan untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mengetuai PR.

Satu lagi laporan Bernama menyebut beberapa jam sebelum upacara rasmi sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka berlangsung, satu kain rentang yang dipasang berhampiran dan tertulis perkataan “16 September Selamat Menyambut Hari Malaysia dan Ulang Tahun Pembohongan Anwar Ibrahim ke Putrajaya,” menjadi tumpuan ramai.

Pemasangan kain rentang itu menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke tempat bersejarah tersebut kerana tarikh 16 September telah dikaitkan dengan pembohongan Anwar.

Bagi rakyat negara ini yang mengetahui perkembangan politik tanah air, 16 September 2008 akan diingati sebagai tarikh bila Anwar menjanjikan kerajaan baru pimpinannya di Putrajaya.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan sehingga ada yang menganggap 16 September sebagai tarikh pembohongan Anwar.

Setakat ini, tidak diketahui pihak mana yang bertanggungjawab memasang kain rentang tersebut.

Hakikatnya, 16 September merupakan tarikh istimewa dan penuh bermakna untuk negara kerana pada tarikh tersebut, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia diadakan sebagai memperingati sejarah dan pengorbanan pemimpin lampau yang menjayakan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan perutusan khas pada majlis itu.

Dua tahun lalu tanggal menjelang 16 September menjadi tumpuan dengan sebahagian anggota Kelab Penyokong Kerajaan BN – kesemuanya ahli Parlimen bertolak ke Taiwan di sebalik desas-desus PR mahu memikat wakil rakyat untuk membentuk kerajaan pusat.

Pada pilihan raya umum 2008, BN memperoleh 140 kerusi Parlimen manakala 82 oleh PR dan Bebas.

Anwar dalam amanat sempena Hari Malaysia pula menegaskan, kenegaraan federalisme yang menjadi salah satu dari tiang seri negara sewajarnya menjadi semakin kukuh dan sepatutnya lagi dihormati.

“Kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa dampak yang bukan sedikit kepada negara. Malangnya semangat pembentukan Negara Malaysia dan faham federalisme yang mendukungnya, malah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan pula, kian hari semakin terhakis,” kata beliau dalam amanatnya yang disiarkan menerusi blognya.

Anwar menambah, pemusatan kuasa kepada kerajaan persekutuan tidak terbendung lagi.

“Faham federalisme, kedaulatan undang-undang dan semangat keperlembagaan diketepikan demi mengekalkan kekuasaan elit pemerintah semata.

“Justeru tidak hairan kita lihat bagaimana negeri-negeri seumpama Kelantan, Sarawak dan Sabah dinafikan hak mereka sungguhpun kaya dengan hasil bumi serta semula jadi.

“Janji-janji manis ditabur di Sabah dan Sarawak misalnya, kerana ia dianggap sebagai ‘deposit’ kemenangan ketika mahu memenangi pilihan raya,” kata Anwar lagi.

Ketua Umum PR ini menambah ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara persekutuan.

Tegas beliau, “jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut.”

Justeru kata beliau, PKR bersama permuafakatan PR tuntas untuk memastikan keadilan dilaksanakan di seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan negara ini dan berusaha sejajar dengan hasrat murni Perlembagaan Persekutuan.

“Malanglah negara ini jika pemerintahnya bertindak menyisihkan dan menafikan hak rakyat sendiri kerana berbeza fahaman politik, ras dan kebudayaan.

“Kini sudah tibalah masanya seluruh rakyat dari Perlis sehingga ke Johor, dari Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak menyertai gelora menuntut Perubahan, agar sirna penindasan dan tertegaknya keadilan,” kata beliau lagi.

PR mengadakan acara memperingati Perjanjian Pembentukan Malaysia di Tambunan dan Keningau.

Pemimpin PR khususnya PKR dijangka akan berada di Sarawak bagi meraikan sambutan Hari Malaysia dan Aidilfitri.

Mengenai signifikan sambutan Hari Malaysia, Najib berkata, “Hari Kemerdekaan telah tetapkan pada 31 Ogos tetapi hari ini ialah hari istimewa untuk rakyat Sabah dan Sarawak sebab mereka rasa bahawa inilah tarikh keramatnya kerana menyertai Malaysia.”

“Tidak menjadi sesuatu percanggahan sama sekali. Kita boleh sambut kedua-dua hari. Hari Malaysia pun kita boleh sambut. Jadi saya tidak anggap ini sebagai satu percanggahan tetapi ini merupakan legasi pembentukan negara Malaysia,” kata Najib dipetik Bernama.

Mengenai kefahaman generasi muda berkaitan Hari Malaysia, Najib berkata, mereka perlu diberi pendidikan formal dan tidak formal agar mereka dapat menghayati signifikan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan negara.

Katanya, peranan berkenaan bukan sahaja boleh dimainkan pihak sekolah melalui pengajaran subjek sejarah tetapi boleh diwar-warkan oleh media massa.

No comments

Powered by Blogger.