Surat sokongan: Laporan audit dapati Tee langgar etika, Ronnie bebas

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 8 Sept – Semakan audit kerajaan negeri mendapati bekas setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Selangor, Tee Boon Hock, yang dilucutkan sebagai ahli majlis bulan lalu, telah melanggar etika ketika mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat anaknya.

Bagaimanapun laporan audit itu “membebaskan” Exco Kerajaan Negeri Ronnie Liu daripada sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai melanggar etika dan prosedur.

Tee (gambar), ahli majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) merupakan bekas setisausaha politik kepada Liu.

“Tee gagal membuat deklarasi bahawa syarikat tersebut (yang menerima surat sokongan) adalah milik anaknya,” kata kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Adalah amat jelas terdapat konflik kepentingan dan beliau sepatutnya membuat deklarasi untuk mengelak perlanggaran etika tatacara memberi sokongan untuk dapatkan kontrak,” kata Khalid.

Tee telah dipecat dari DAP awal bulan lalu dan kemudian sebagai ahli majlis MPK.

Dalam kenyataannya Khalid berkata, laporan audit mendapati 10 surat sokongan telah dikeluarkan bagi sokongan terhadap 20 syarikat sepanjang 2008 sehingga tarikh semakan bagi mendapatkan kerja yang ditawarkan MPK.

Daripada 10 surat sokongan yang ini, 16 kontrak kerja bernilai lebih RM900,000 telah ditawarkan kepada syarikat yang disokong oleh Tee.

“Satu kontrak bernilai RM19,924.20 telah diserahkan kepada syarikat Perkhidmatan AA yang mana salah seorang Pengarah Syarikat adalah anak kepada Tee.

“Ketika memberi sokongan, Tee tidak membuat deklarasi bahawa syarikat tersebut adalah milik anaknya dan ini menimbulkan konflik kepentingan,” kata Khalid dalam kenyataan itu.

Bagi kes yang dilaporkan polis berhubung kerja Menaik taraf Longkang Utama di Lebuh Setaka, Taman Chi Liung bernilai lebih RM800,000 oleh Syarikat Paras Enterprise, semakan mendapati tiada surat sokongan daripada mana-mana pihak telah dikeluarkan.

“Tee juga tidak dilantik sebagai Ahli Lembaga Perolehan MPK, seperti yang didakwa,” katanya lagi.

Pemeriksaan audit terhadap penggunaan kepala surat sokonga untuk mendapatkan kontrak kerja MPK dilakukan oleh Jabatan Audit Negeri Selangor.

Hasi laporan ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco hari ini.

Khalid berkata, beliau telah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi untuk mengklasifikasikan semula laporan audit ini agar boleh diedarkan kepada orang ramai.

Selain menyemak dakwaan salah guna melalui surat sokongan yang melibatkan dua ahli majlis MPK, laporan ini juga bertujuan menilai setakat mana penggunaan surat sokongan di MPK telah memberi kesan terhadap pengurusan perolehan MPK.

Kata Khalid, semakan audit terhadap 54 fail sebut harga dam tender di Jabatan Taman dan Rekreasi serta 45 fail sebut harga tender di Jabatan kejuruteraan mendapati pemilihan kontraktor dibuat berasaskan prosedur sebut harga dan tender yang ditetapkan.

Mengenai kedudukan melibatkan Liu, Khalid berkata terdapat 16 surat sokongan telah dikeluarkan oleh beliau dengan tujuh kontrak kerja bernilai lebih RM700,000 telah diperoleh oleh syarikat yang disokong sepanjang 2008 hingga tarikh semakan.

“Pihak Audit bagaimanapun tidak dapat mengesahkan berlaku pemalsuan tandatangan pada surat sokongan menggunakan kepala surat Exco Kerajaan Negeri tetapi terdapat penggunaan kepala surat yang ditandatagani ‘bagi pihak’ Liu.

“Sebanyak 14 Syarikat yang disokong oleh Liu dan Tee telah mendapat kontrak kerja MPK bermula 2008 hingga 2010.

“Tiga syarikat yang disokong Tee pula mempunyai alamat berdaftar yang sama,” kata beliau lagi.

Berhubung isu seorang lagi ahli majlis MPK Hamidah Mat Som, Khalid berkata, semakan mendapati 19 kontrak kerja bernilai lebih RM400,000 telah diperoleh oleh syarikat yang disokongnya dan salah satu syarikat yang disokong adalah milik suami beliau.

“Syarikat ini memperoleh kontrak bernilai RM104,412 daripada MPK untuk laksanakan kerja bagi tempoh 2009-2011.

“Hamidah dilantik sebagai Ahli Lembaga Sebut Harga MPK mulai Julai 2009. Bagaimanapun pemilihan syarikat yang disokong oleh beliau dibuat sebelum beliau dilantik Ahli Lembaga Sebut Harga MPK,” katanya lagi.

Khalid memberitahu, Jabatan Audit Negeri Selangor mengesyorkan MPK agar sentiasa mematuhi Garis Panduan Tindakan Ke atas Sokongan Yang Diterima daripada pemimpin kerajaan, individu berpengaruh atau mana-mana orang mengenai sesuatu urusan kerajaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

“Exco, ADUN dan Ahli Majlis hendaklah mengelak daripada mempengaruhi atau memberi tekanan kepada pengurusan MPK bagi membolehkan keputusan dibuat secara telus,” kata beliau.

Selain itu, menurut jabatan tersebut juga mencadangkan agar tidak melantik ahli majlis sebagai Ahli Lembaga Perolehan Pihak Berkuasa Tempatan.

MPK juga diminta memastikan pemilihan kontraktor secara adil untuk elak syarikat yang dimiliki orang yang sama mendapat kerja berulang kali.

Saranan lain ialah meminta MPK mewujudkan sistem pusingan atau undian bagi sesuatu jenis kerja kepada kontraktor berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan itu.

Sehubungan itu kata Khalid, kerajaan Selangor tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarga.

“Kerajaan negeri berpegang kepada prinsip pentadbiran telus dan bertanggungjawab dan kerana itu kita mengklasifikasikan semula laporan semakan audit ini untuk membolehkan rakyat menelitinya,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.