Ulangtahun ke-40 Rukunegara

Rukunegara yang diistiharkan pada 31 Ogos 1970 akan merayakan ulangtahun ke-40.

Rukunegara adalah satu wawasan dilahirkan akibat peristiwa gelap dalam sejarah negara kita. Ianya merupakan satu usaha murni bagi mengatasi sikap dan prasangka perkauman yang terpendam dalam masyarkat pada masa itu.

Para pemerintah [the state] dan rakyat telah berikrar akan berpandu kepada kepercayaan dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukunegara.

Penerimaan dan pengamalan Rukunegara dalam kehidupan seharian kita merupakan satu ‘kontrak sosial’ di antara pemerintah dan rakyat bagi mencapai perpaduan mantap dan kemajuan cemerlang.

Bahawasanya Negara Kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

§ Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;

§ Memelihara cara hidup demokratik;

§ Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;

§ Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan

§ Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.


Menjelang 40 tahun ini, sudah tiba masanya untuk membuat satu penilaian objektif terhadap cita-cita yang terkandung dalam kontrak sosial ini.



1. Adakah kita telah benar-benar ataupun berjaya memupuk perpaduan yang lebih erat?

Peranan memupuk perpaduan yang lebih erat seharusnya dipikul bersama oleh para pemerintah dan rakyat. Akan tetapi kewajipan pertama untuk memimpin pembinaan semangat kenegaraan adalah terletak di atas bahu pemerintah negara.

Dalam dekad 70-an, pihak pemerintah telah menggubal beberapa mekanisme untuk mengurus dan menyelesaikan konflik dalam masyarakat, memupuk keharmonian di antara kaum serta memfokus kepada pembinaan perpaduan negara yang mantap.

Di arena politik, penubuhan Barisan Nasional merupakan salah satu langkah integrasi politik berdasarkan satu pendekatan inklusif ke arah pencapaian semangat kenegaraan.

Dalam dekad 80-an nyata bahawa rekahan dalam sistem tadbir urus sudah mula timbul dan persaingan sengit untuk sumber kekayaan telah menjurus kepada tuntutan berkelompok berasaskan suku kaum. Sentimen kumpulan ditonjolkan bagi meraih sokongan oleh parti-parti politik. Sebenarnya, dalam dekad 80-an asas perjuangan perpaduan negara telah diketepikan dan diabaikan oleh para politikus.

Dalam dekad 90-an satu langkah khusus telah diambil bagi menyuarakan keperluan untuk membina Bangsa Malaysia menjelang tahun 2020. Walhal demikian, tiada bukti kukuh bahawa pemerintah telah mengambil langkah-langkah jitu ke arah merealisasikan matlamat tersebut. Pergerakan politik berasaskan kepentingan suku kaum masih diteruskan.

Kini dalam abad-21, tumpuan adalah lebih kepada mobilisasi prasangka dan sentimen suku kaum bagi kepentingan para politikus. Kewujudan beberapa puak politik dan kononnya NGO yang melaung-laungkan sentimen etnik tidak dapat dinafikan.

Tambahan pula, tanda-tanda kumpulan tertentu mulai menyoalkan asas Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963, bukannya satu petanda baik dari sudut integrasi wilayah dan nasional.

Di kalangan rakyat jelata ternyata wujud polarisasi, prasangka etnik dan segregasi sosial yang mengugat keharmonian masyarakat. Keperluan pentadbiran Najib Razak untuk memperkenalkan Gagasan 1Malaysia membuktikan kegagalan pemerintah selama ini untuk menerapkan nilai dan prinsip Rukunegara.

Kesimpulannya, perpaduan erat yang dihasratkan oleh generasi 70-an, masih belum dicapai.


2. Adakah kita telah memelihara cara hidup demokratik?

Sistem demokrasi berparlimen kita adalah berasaskan beberapa prinsip asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.


Pertama: Bagi menjamin cara hidup demokratik, prinsip asas 'pemisahan kuasa' di antara tiga institusi negara, iaitu badan perundangan , kehakiman dan eksekutif adalah penting.

Ini adalah penting untuk menjamin 'check and balance' kuasa-kuasa yang diperuntukan di bawah perlembagaan. Secara teorinya, memang benar ada pemisahan kuasa akan tetapi realitinya badan eksekutif telah merampas kuasa dan telah mendominasi tadbir urus dalam negara manakala badan perundangan (Parlimen) nyata telah menjadi 'rubber stamp' bagi keputusan yang diambil oleh Eksekutif. Dan untuk sekian lamanya, kebebasan dan integriti badan kehakiman yang seharusnya bertindak sebagai pelindung perlembagaan telah dipersoalkan.

Tambahan pula, perkhidmatan awam yang seharusnya bertindak atas dasar berkecuali dan 'impartiality' telah hilang pedoman. Dan media massa pula yang harus bertindak bebas sebagai 'institusi keempat (fourth estate)' dalam sistem demokrasi telah lama mengorbankan prinsip asas ini.


Kedua: Hak-hak demokratik warga yang dijamin dalam perlembagaan telah diabaikan. Kebebasan rakyat untuk 'bercakap, berhimpun dan berpersatuan'” telah disekat melalui perundangan usang seperti Akta Keselamatan Dalam Negara, Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan undang-undang lain.

Hak asasi rakyat untuk mengumpul dan membantah secara aman isu-isu kepentingan masyarakat telah disekat serta tidak digalakkan oleh pihak berkuasa. Hak asasi orang dalam tahanan juga telah diabaikan dan beberapa kes kematian dalam tahanan masih belum diberi penjelasan yang terbuka.
tidak dapat dinafikan bahawa kini tahap keyakinan rakyat terhadap integriti, amanah, akauntabiliti dan ketelusan institusi institusi negara, adalah amat rendah.

Nyata, cita-cita untuk memelihara satu cara hidup demokratik jauh kesampaian.



3. Adakah kita telah membangun satu masyarakat dimana kekayaan negara telah dinikmati secara adil dan saksama?

Empat puloh [40%] peratus daripada 6.2 juta isi rumah hanya mencari rezeki dengan purata pendapatan RM 1440 sebulan.

Yang lebih ketara jurang perbezaan pendapatan antara 20% isi rumah ‘Teratas’ dan 40% isi rumah ‘Terendah’ masih kekal pada satu paras yang merunsingkan.

Isi rumah ‘Teratas’ memiliki hampir 52% pendapatan berbanding dengan isi rumah ‘Terendah’ yang hanya memiliki 13 peratus.

Jelas bahawa cita cita Rukunegara untuk membangun satu masyarakat dimana kekayaan negara dinikmati secara adil dan saksama, belum tercapai.

{Rujuk:Gaji atau pendapatan sekeluarga RM2,000 sebulan masih tidak mencukupi}



4. Adakah kita telah menjamin satu cara liberal terhadap tradisi dan budaya berbagai corak?

Dalam dekad 70-an dan 80-an, Malaysia dikenali di dunia sebagai satu masyarakat liberal yang menghormati kekayaan budaya dalam masyarakat majmuknya. Malah,negara kita digunakan oleh badan badan antarabangsa sebagai model yang dapat dicontohi oleh negara negara membangun.

Kini, beberapa peristiwa yang mempersendakan budaya dan agama kaum etnik tertentu telah mencemarkan imej negara kita. Peristiwa seperti perarakan kepala lembu; perobohan rumah ibadah; kontroversi tapak pembinaan Mazu dan sekatan penubuhan kelab dan persatuan agama di sekolah antara lain, adalah tanda tanda bahawa kita tidak mendukung prinsip Rukunegara ini.

Komen oleh para akademik seperti “Jangan terlalu berani mencabar” dan panggilan untuk berhijrah kepada negara lain nyata bercanggah dengan inti dan semangat Rukunegara.

Baru baru ini kenyataan yang menghinakan adat resam suku kaum yang disyaki dilafazkan oleh seorang pengetua sebuah sekolah di Kulai adalah amat dikesali. Seseorang pendidik patut lebih memahami betapa pentingnya beliau menghormati dan mengamalkan prinsip Rukunegara supaya anak buahnya dapat memahami dan mendukung prinsip yang sama.

Jelas bahawa kita, Pemerintah dan Rakyat sesama telah melupakan cita cita untuk bertindak secara liberal dan menghormati kekayaan tradisi kebudayaan dalam masyarakat kita.

Dalam perkara ini kita harus mengambil ikhtibar daripada akademik seperti Prof. Mohamad Tajuddin yang memberi pandangan waras terhadap kekayaan tradisi dalam masyarakat kita.



5. Adakah kita telah membina satu masyarkat progresif berasaskan sains dan teknologi?

Rakyat Malaysia adalah terkenal sebagai pengguna teknologi. Malangnya penggunaan teknologi tidak diterjemahkan kepada minda progresif dari sudut pendidikan, pembelajaran, tingkahlaku seharian dan etika kemasyarakatan.

Nilai nilai unggul yang terdapat dalam sesuatu masyarakat progresif adalah termasuk kematangan untuk membincang secara rasional dan terbuka apa jua isu yang dihadapi. Pemerintah dan majority Rakyat masih terperangkap dalam melihat dan membincang setiap isu dengan menggunakan lensa kaum. Malangnya, masyarakat kita masih jauh dari mencapai taraf progresif dari sudut pemikiran.

Kesimpulannya, kita harus mengakui kenyataan mantan Perdana Menteri bahawa negara kita mempunyai “Infrasruktur Kelas Pertama tetapi Minda Kelas Ketiga”!


Peringatan

Sejak tahun 1970, hampir empat generasi warga telah menghafal dan melafazkan prinsip prinsipnya. Malangnya, 40 tahun telah lepas masyarakat kita masih menunjukkan tanda tanda tidak mendukung Rukunegara!

Kini kita perlu balik ke pangkal jalan dan benar benar memahami hasrat generasi warga 70-an yang terkandung dalam Rukunegara.

Kita seharusnya mengambil ikhtibar daripada petikan dari dokumen asal Rukunegara yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Negara [1970], berikut:-
“....keadzaman kita hendak membina satu Bangsa Malaysia yang bersatupadu telah membangkitkan semangat ra’ayat kita berusaha sedayaupaya, dengan di-hadapi rintangan rintangan ini, untuk membina satu masharakat di-mana satu bangsa terdiri dari berbagai kaum, ugama dan kebudayaan, akan kekal dan maju.”

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KE-40 RUKUNEGARA!

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.